- Iklan -
Berita

Saya tiada hubungan dengan Israel, kata tokoh Saudi dipuji Zionis

Mohammad Abdulkarim Al-Issa yang pernah dipuji media Israel menimbulkan kecurigaan dalam kalangan penyokong perjuangan Palestin.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Mohammad Abdulkarim Al-Issa (kanan) bersama rabbi dari AS Arthur Schneier, antara pemimpin pro-Zionis yang turut berkongsi pentas.
Mohammad Abdulkarim Al-Issa (kanan) bersama rabbi dari AS Arthur Schneier, antara pemimpin pro-Zionis yang turut berkongsi pentas.

Tokoh Arab Saudi Mohammad Abdulkarim Al-Issa berkata beliau tidak mempunyai hubungan dengan Israel, selepas penglibatannya dalam pelbagai program bersama pemimpin dan organisasi pro-Zionis di AS menjadi perbualan di Malaysia.

Al-Issa yang dianugerahkan ijazah doktor kehormat dari Universiti Malaya semalam dalam satu konvokesyen khas dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim, pernah dipuji media Israel, yang menganggapnya agen penting dalam rancangan tajaan AS untuk menormalisasi hubungan antara rejim Zionis dengan Arab Saudi.

Al-Issa hari ini menafikan beliau bersimpati dengan Israel, sambil menambah bahawa beliau cuma berkongsi pentas dengan penganut Yahudi dalam menyebarkan kebaikan, sambil menambah mereka dirujuk sebagai "ahli kitab" di dalam al-Quran.

Bercakap melalui jurubahasa ketika menghadiri Persidangan Antarabangsa Ketua-ketua Agama Sedunia di Petaling Jaya, Al-Issa berkata ada kalangan rakyat Israel sendiri yang menentang kejahatan, sambil menambah perbuatan baik melampau anutan agama.

Beliau turut berkata akan mengutuk sesiapa sahaja, termasuk orang Islam, jika mereka melakukan kesalahan.

Tidak jelas sama ada beliau memberi maklum balas spesifik terhadap keraguan umat Islam berhubung penglibatannya dalam program anjuran Zionis.

Pada Isnin, MalaysiaNow menyenaraikan penyertaan Al-Issa dalam pelbagai program dianjurkan oleh Yahudi pro-Zionis di AS, menyebabkan pengguna media sosial tempatan mempersoalkan kerajaan kerana mengalu-alukan beliau.

Antaranya termasuk penyertaannya dalam pelbagai program dianjurkan American Jewish Committee, sebuah pertubuhan pro-Israel yang menyokong tindakan ketenteraan di Gaza.

Al-Issa juga mengadakan pertemuan mesra dan berkongsi pentas dengan beberapa tokoh Yahudi Zionis lain, seperti rabbi berpangkalan di AS Marc Schneier dan Arthur Schneier, dan Rabbi Ephraim Mirvis yang berpangkalan di UK, kesemuanya watak yang mempertahankan serangan Israel ke atas Gaza yang setakat ini membunuh lebih 30,000 orang awam Palestin.

Liga Islam Sedunia (MWL) yang diketuainya dilihat rapat dengan Anwar sejak pemimpin PKR itu menjadi sebahagian daripada Angkatan Belia Islam Malaysia, atau Abim.

MWL juga dianggap alat propaganda Riyadh dalam dunia Islam dan dituduh menyebarkan fahaman Wahabi, fahaman kontroversi yang mendominasi Arab Saudi selama hampir satu abad.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.