- Iklan -
Berita

Salah jika lihat PN hanya bawa isu 3R, Khairy diberitahu

Ahli Parlimen Hulu Selangor Mohd Hasnizan Harun menyebut usul membahaskan isu Zahid ditoalak mentah-mentah semalam.

Ahmad Mustakim Zulkifli
2 minit bacaan
Kongsi
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berucap di hadapan penduduk pada ceramah umum DUN Hulu Kelang semasa kempen Pilihan Raya Negeri di Taman Melawati, 9 Ogos.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berucap di hadapan penduduk pada ceramah umum DUN Hulu Kelang semasa kempen Pilihan Raya Negeri di Taman Melawati, 9 Ogos.

Ahli Parlimen Hulu Selangor dari Perikatan Nasional (PN) Mohd Hasnizan Harun tidak bersetuju dengan pandangan bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin bahawa gabungan itu tidak lantang dalam memberi respons terhadap pembebasan yang diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi awal bulan ini.

Dalam edisi terbaru podcast Keluar Sekejap bersama rakan bekas pemimpin Umno Shahril Hamdan, Khairy juga berkata PN memerlukan lebih ramai "penjaring gol" untuk bercakap mengenai isu yang tidak melibatkan politik identiti atau isu 3R bangsa, raja dan agama.

Namun Hasnizan berkata ramai pemimpin PN yang membawa pelbagai isu selain perkara itu.

"Banyak isu yang pembangkang usulkan telah ditolak mentah-mentah oleh speaker seperti isu Ambalat dan terkini isu Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bagaimana pendakwaraya tidak mahu meneruskan kes.

"Mana-mana usul yang tidak memihak kepada kerajaan memang akan ditolak mentah-mentah," katanya kepada MalaysiaNow.

Kegagalan memanfaatkan isu itu, menurut Khairy mengakibatkan mereka gagal menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Simpang Jeram dan Pulai, meskipun berjaya merebut undi Melayu.

Menurut bekas ketua pemuda Umno itu, PN tidak boleh hanya mengharapkan isu 3R semata-mata untuk menang pilihan raya.

Semalam Hasnizan memaklumkan pembangkang bangkit pada awal sidang khas Parlimen untuk membangkitkan mengenai penjelasan isu mahkamah Zahid.

"Speaker Dewan Rakyat meminta tunggu selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyampaikan pembentangannya.

"Tetapi selesai sahaja pembentangan, speaker terus kata tangguh," katanya merujuk kepada Sidang Khas Parlimen untuk kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang berlangsung selama empat hari bermula Isnin.

Kerajaan Anwar dikritik berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk membebaskan Zahid, yang berdepan 47 pertuduhan rasuah dalam kes Yayasan Akalbudi.

Perkembangan terbaru menyaksikan parti Muda yang berasaskan belia menarik balik sokongannya kepada kerajaan, mengakibatkan gabungan PH-BN hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Menurut Hasnizan, isu peruntukan sering dibangkitkan pembangkang yang mana peruntukan kepada ahli-ahli Parlimen tidak diberikan secara adil.

Antara lain, PN turut membangkitkan isu harga barang, pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) secara bersasar dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Apa pun selagi mana speaker tidak adil dan berpihak sepenuhnya kepada kerajaan, memang sukar untuk kita bawa sesuatu isu,” katanya merujuk kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.