- Iklan -
Editorial

Apabila Najib gagal segagal-gagalnya

Najib mungkin sudah terlebih sudu dari kuah dalam usahanya menjatuhkan Muhyiddin.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Beberapa tahun dari sekarang, sarjana sains politik berpeluang mengkaji perancangan yang dilakukan Najib Razak sejak tahun lalu dalam kertas kajian bertajuk, “Bagaimana untuk gagal dalam menggulingkan kerajaan”.

Untuk beberapa bulan menuju peletakan jawatan Muhyiddin Yassin, Najib bertubi-tubi menyerang usaha kerajaan menguruskan krisis Covid-19, sambil mendakwa kaedah kerajaan menguruskan sebuah krisis global – yang menyebabkan negara maju pun melutut dalam kegagalan – “gagal segagal-gagalnya”, meminjam kata-katanya.

Hari ini, ketika kerajaan kembali kepada Perikatan Nasional yang menjadi sasaran Najib dan kuncu-kuncunya dalam usaha menggulingkannya, ungkapan yang sering diulang oleh tukang karutnya dalam hantaran media sosial ditumpukan pula kepada dirinya.

Sejak Oktober lalu, Najib dan panglimanya Ahmad Zahid Hamidi, dibantu seseorang yang boleh, patut dan akan – tetapi belum pernah – menjadi perdana menteri, sibuk menjejaskan setiap usaha kerajaan dalam melawan pandemik.

Najib sudah lakukan segalanya: daripada membuat ramalan hambar tentang program vaksinasi (“Bossku” pernah menganggarkan Malaysia akan mengambil masa sehingga enam tahun untuk capai sasaran imuniti kelompok), kepada pelbagai muat naik sinis dan gurauan di laman media sosialnya hampir setiap jam.

Kemuncaknya ialah apa yang boleh dianggap sebagai mercu tanda kegagalannya: ketika beliau dan sekumpulan ahli Parlimen Umno mengumumkan penarikan balik sokongan mereka sambil mengisytiharkan kerajaan tumbang, di waktu genting usaha melawan Covid-19.

Najib mungkin sudah terlebih sudu dari kuah dalam usahanya menjatuhkan Muhyiddin, seperti mana sikapnya ketika beliau tampak yakin dalam berdepan seorang lelaki berusia 93 tahun pada pilihan raya umum tiga tahun lalu.

Hakikatnya, Muhyiddin adalah orang sama yang pernah dipecat Najib pada 2016, dan dua tahun kemudian orang inilah menumbangkannya.

Kalau sudah kena main dengan penyangak berusia 30-an, kalau tak sedar akaun peribadinya menyimpan wang yang begitu banyak, dan kalau masih tidak dapat menjelaskan barangan kemas dan beg tangan isterinya yang boleh memuatkan beberapa biji lori, tidak perlulah berangan-angan untuk menjatuhkan seorang yang membuktikan bangkit semula bukan sekali, bukan dua kali, tetapi kini untuk kali ketiga.

Dalam usaha menggulingkan kerajaan, seharusnya Najib ambil iktibar dari pengalaman yang pernah ditempuhi oleh individu tertentu.

Satu ketika, tak lain tak bukan mendiang Karpal Singh pernah mengutuk individu ini, di samping pemimpin dari partinya sendiri DAP, supaya bertaubat daripada terus membuat masalah kepada negara.

Kini, teguran keras itu terpakai kepada Najib dan ahli Parlimen seangkatannya, juga mereka yang menggelar diri mereka pejuang hak asasi, yang selama ini kecoh tentang “kerajaan gagal”, ketika pentadbiran berhempas-pulas cuba menghidupkan semula ekonomi dan memastikan kejayaan program vaksinasi, sambil menolak tawaran kerajaan melakukan reformasi yang penuh bererti yang dapat memulihkan sistem yang telah robek sejak 1980-an.

Najib yang berdepan 42 pertuduhan jenayah dinasihatkan tidak menambah angka itu dengan terus melemahkan usaha menyelamatkan negara.

Beliau membuktikan dirinya “gagal segagal-gagalnya” dalam menguruskan kewangan negara sehingga rakyat Malaysia menanggung malu. Kini, beliau gagal segagal-gagalnya dalam membantu negara mengatasi pandemik.

Abdar Rahman Koya adalah CEO dan editor MalaysiaNow.