- Iklan -
Berita

PN gesa dedahkan butiran tender 'kontrak demi kontrak' syarikat berkait Farhash

Ia selepas Heitech Padu dilaporkan mendapat kontrak bernilai RM190 juta untuk kerja-kerja berkaitan JPJ.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador. Gambar: Facebook

Perikatan Nasional (PN) melahirkan kebimbangan terhadap kontrak RM190 juta yang diberikan kepada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan seorang penyokong setia Perdana Menteri Anwar Ibrahim, dan menggesa Putrajaya mendedahkan butiran kontrak lumayan yang diluluskan.

Pada Isnin, Heitech Padu Bhd dilapor dianugerahkan kontrak tiga tahun bernilai RM190 juta oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan sokongan teknikal infrastruktur, termasuk untuk sistem MySikap.

Bulan lalu, bekas setiausaha politik Anwar, Farhash Wafa Salvador, melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd, muncul sebagai pelabur terbesar syarikat itu dengan kepentingan 15.91%.

Dalam satu kenyataan, PN berkata "kontrak demi kontrak" yang diperolehi Heitech Padu menimbulkan "kebimbangan dan persoalan" mengenai proses tender.

"Kebimbangan ini dizahirkan oleh rakyat apatah lagi antara pemegang saham utama Heitech Padu adalah merupakan bekas setiausaha politik kepada perdana menteri," kata Khairil Nizam Khirudin, yang mengetuai portfolio pengangkutan gabungan pembangkang itu.

Beliau memetik laporan bahawa syarikat itu telah memenangi kontrak sama dengan nilai RM36 juta pada 2021, yang kemudiannya diperbaharui pada 2023 pada nilai RM27 juta.

"Justeru wujud persoalan yang besar akan mengapa kontrak kali ini bernilai RM190 juta untuk 3 tahun? Ini menjadikan kontrak tersebut kini bernilai purata RM63 juta setahun. Kenaikan nilai yang amat besar ini perlu dijawab oleh kerajaan," katanya.

Beliau menyeru Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan supaya bersikap telus dalam semua proses tender melibatkan Heitech Padu.

“(Ini) termasuklah persoalan mengenai nilai kontrak yang tinggi serta senarai semua syarikat yang telah disenarai pendek bagi mendapatkan projek bernilai RM190 juta tersebut."

Terdahulu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Anwar, yang juga menteri kewangan, dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke telah memberi penjelasan berhubung kontrak diberikan kepada Heitech Padu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Fahmi berkata kontrak tersebut diluluskan oleh Kementerian Pengangkutan pada 2 Feb tahun lepas, dalam menolak anggapan ia ada kaitan dengan kedudukan Farhash.

“Jadi tidak ada kena mengena keberadaan mana-mana pihak Heitech untuk kelulusan,” kata Fahmi.

Pembelian saham HeiTech Padu oleh Farhash berlaku hanya sehari selepas MyEG Services Bhd pada 11 Mac memperoleh 14.4% kepentingan dalam syarikat itu pada harga RM31.25 juta.

Pada hari sama, HeiTech Padu mengumumkan kontrak Sistem Imigresen Malaysia (MyIMM) bernilai lebih RM13 juta dilanjutkan setahun lagi.

HeiTech Padu merupakan antara tiga syarikat yang disenarai pendek kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu (NIISe) bernilai RM1 bilion bagi menggantikan MyIMM.

Ini bukan kali pertama Farhash yang juga bekas pengerusi PKR Perak menceburi dunia korporat yang melibatkan syarikat tersenarai yang ada hubungan rapat dengan kerajaan.

Sejak Anwar diangkat menjadi perdana menteri pada November 2022, Farhash dilantik pengerusi di tiga buah syarikat: 7-Eleven, iaitu rangkaian runcit dimiliki taikun Vincent Tan, sebuah firma broker saham dan syarikat fintech.

Kes Farhash bukan satu-satunya yang menimbulkan kebimbangan mengenai nepotisme dan kronisme dalam kerajaan Anwar.

Sebelum ini, pelantikan anak sulung perdana menteri, Nurul Izzah Anwar, yang tewas dalam pilihan raya lalu, sebagai penasihat ekonomi dan kewangan untuk bapanya, menerima kecaman ramai.

Naib presiden PKR itu kini merupakan penasihat Agensi Pelaksanaan Ekonomi dan Koordinasi Strategik Nasional, sebuah agensi di bawah kementerian kewangan diketuai bapanya.