- Iklan -
Rencana

Wahai Kementerian Pengangkutan, bangkitlah dari lena!

Kejadian terbaru melibatkan kematian seorang bayi petanda sudah tiba masanya syarikat pengangkutan diheret ke mahkamah.

Shahrim Tamrin
3 minit bacaan
Kongsi

Sudah tiba masanya pihak berkuasa bertegas dan tidak lagi bertolak ansur terhadap operator atau syarikat pengangkutan dengan mendakwa mereka di mahkamah setiap kali nahas jalan raya kenderaan komersil mengakibatkan kematian dan kecederaan pengguna jalan raya lain.

Dua hari lalu, kita diledakkan dengan berita kematian bayi lelaki berusia setahun, Amir Husayn Amirul Ridzuan, akibat rempuhan sebuah lori di mana pemandu melompat keluar sebelum kenderaan berat tersebut merempuh laju tiga kenderaan di Plaza Tol Kajang, Selangor.

Selepas itu, sebuah lori treler merempuh enam kenderaan di hadapan Masjid Sabak Uni, Jalan Kluang-Batu Pahat, Johor sehingga menyebabkan kematian seorang pemandu Perodua Viva.

Sekitar 2017, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pernah melancarkan iCOP SHE, iaitu satu kod keselamatan untuk syarikat industri pengangkutan yang merangkumi garis panduan, audit dan latihan garis panduan keselamatan. Pada masa ini, tanggungjawab tersebut telah dipindahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Semenjak 2008, saya kerap bertanya kepada Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), SPAD, polis dan JPJ mengenai rekod mahkamah untuk kes pertuduhan nahas jalan raya terhadap operator atau syarikat pengendali logistik atau syarikat bas ekspres atau pengarah syarikat pengangkutan kenderaan komersil akibat telah disyaki unsur-unsur lalai dari segi operasi atau keadaan kenderaan tidak memuaskan.

Saya juga mencari dokumen mahkamah serta memohon pengesahan dari pihak berkuasa dan jawapannya adalah mengejutkan.

Untuk rekod, tiada pengendali rel dan pengangkutan jalan raya telah diheret ke mahkamah semasa era SPAD dan LPKP sebelum ia dibubarkan.

Sepanjang pemerhatian saya, termasuk sejak APAD ditubuhkan, belum pernah pendakwaan dilakukan oleh JPJ atau polis di mahkamah terhadap pengendali syarikat pengangkutan setiap kali bencana kenderaan berat berlaku merekodkan kematian dan kecederaan.

Sebagai konteks, jumlah kematian terbesar untuk nahas sebuah kenderaan di Malaysia dengan 37 maut pada Ogos 2013 yang melibatkan sebuah bas henti-henti di KM3.6 Jalan Genting Highlands-Kuala Lumpur berserta nahas bas persiaran di Gerik dengan kematian 15 orang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris empat bulan lalu. 

Sehingga ini, kedua-dua operator pengangkutan atau pun pengarah syarikat bas terbabit belum lagi dihadapkan ke mahkamah.

Bilangan operator pengangkutan darat yang telah dihadapkan ke mahkamah kerana disyaki cuai atau terdapat kelalaian ketara di dalam aspek keselamatan kenderaan dan operasi harian mereka – jumlah pendakwaan terhadap mereka selama ini adalah sifar.

Saya tertanya-tanya, adakah JPJ atau polis ingin melakar satu sejarah dengan mendakwa mana-mana pengendali pengangkutan ke mahkamah di atas kecuaian secara langsung atau tidak langsung terhadap nahas jalan raya di bawah operasi syarikat?

Menurut Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 dan di dalam peraturan permit berserta kod keselamatan iCOP SHE, syarikat pengangkutan boleh dikenakan tindakan mahkamah kerana kecuaian atau kegagalan mematuhi garis panduan keselamatan.

Namun, saya dimaklumkan oleh beberapa pegawai tinggi kerajaan bahawa usaha pendakwaan terhadap syarikat adalah sukar kerana proses pendakwaan rumit akibat tiada dapatan jelas serta ketiadaan pertuduhan khusus.

Sehubungan dengan itu, saya menggesa dan merayu kepada menteri pengangkutan serta golongan bijak pandai di dalam Jawatankuasa Kesesakan dan Keselamatan Jalan Raya (JKK) peringkat Kabinet termasuk Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan dan Ketua Pengarah JPJ, agar tidak lagi bertolak ansur dan berhenti membuat alasan untuk tidak mengambil tindakan tegas terhadap operator atau syarikat pengangkutan dan pengarah syarikat.

Sekarang masa yang tepat untuk pihak berkuasa mengheret operator pengangkutan yang degil dan cuai ke mahkamah. 

Bangkitlah dari lena wahai Kementerian Pengangkutan berserta pihak berkuasa demi nyawa rakyat.

Saya percaya rakyat sudah muak mendengar perkhabaran pembentukan pelbagai jawatankuasa ketika kematian dan kecederaan orang ramai semakin meningkat akibat ketiadaan tindakan tegas kerajaan.

Shahrim Tamrin ialah bekas ahli lembaga pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya.

Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.