- Iklan -
Berita

Farhash fail rayuan segera dalam percubaan ke-3 halang MalaysiaNow lapor isu lesen cari gali Sabah

Permohonan segera itu dibuat dua hari selepas Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi untuk tidak membenarkan injunksi sementara terhadap portal berita itu.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Farhash Wafa Salvador.
Farhash Wafa Salvador.

Bekas pemimpin PKR yang kini ahli perniagaan jutawan Farhash Wafa Salvador telah memfailkan rayuan segera dalam usaha beliau menghalang MalaysiaNow daripada melaporkan lanjut tentang kelulusan lesen cari gali mineral meliputi sebuah kawasan hutan simpan yang luas behampiran sempadan Kalimantan.

Menurut surat daripada firma guaman mewakili bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim itu, sijil perakuan segera telah difailkan dengan pengurusan kes ditetapkan pada 13 Oktober di Mahkamah Rayuan.

Farhash dan rakan niaganya Aminudin Mustapha gagal dalam percubaan pertama mereka di Mahkamah Tinggi Shah Alam, diikuti percubaan kedua di Mahkamah Rayuan, untuk mendapatkan injunksi sementara terhadap MalaysiaNow.

Injunksi itu bertujuan menghalang MalaysiaNow daripada menerbitkan laporan berkaitan pendedahan bahawa syarikat mereka, Bumi Suria Sdn Bhd, telah mendapat kelulusan lesen cari gali mineral pada 2024 daripada Sabah Minerals Management (SMM).

Plaintif mahu membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 4 September yang menolak permohonan injunksi itu, menjelang saman fitnah RM10 juta mereka terhadap MalaysiaNow.

Sebelum ini, hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Noor Hayati Mat menyatakan walaupun bukan untuk mahkamah memutuskan sama ada plaintif difitnah, pembelaan yang dikemukakan oleh MalaysiaNow "bukanlah tidak benar secara terang-terangan".

Plaintif juga diperintahkan membayar kos guaman RM5,000 kepada MalaysiaNow.

Pada 21 Julai, MalaysiaNow melaporkan bahawa permohonan Bumi Suria untuk mendapatkan lesen cari gali mineral telah diluluskan oleh SMM dalam mesyuarat lembaga pengarah pada 21 Mei tahun lepas, yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, yang juga merangkap pengerusi SMM.

Semakan dengan Suruhanjaya Syarikat mendedahkan bahawa keputusan itu dibuat hanya dua minggu selepas Farhash dan Amin menguasai Bumi Suria.

SMM kini terpalit skandal rasuah melibatkan pemimpin kanan kerajaan selepas ahli perniagaan Albert Tei mendedahkan siri rakaman video yang menunjukkan beberapa Adun Sabah berbincang bayaran rasuah mencecah sehingga jutaan ringgit.