- Iklan -
Berita

Benarkah ahli Parlimen PN lesu bawa isu rakyat?

Dua pandangan mengenai prestasi PN sebagai pembangkang selepas hampir menubuhkan kerajaan pada PRU lalu

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Perikatan Nasional, dengan 74 ahli Parlimen yang hampir semuanya Melayu-Islam, memberikan cabaran kepada kerajaan Anwar Ibrahim.
Perikatan Nasional, dengan 74 ahli Parlimen yang hampir semuanya Melayu-Islam, memberikan cabaran kepada kerajaan Anwar Ibrahim.

Walaupun melakar sejarah sebagai blok pembangkang terbesar ditambah dengan hampir semuanya Melayu-Islam, ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) dilihat lesu dalam membawa isu rakyat yang boleh mencabar kerajaan dari dalam dan luar Dewan Rakyat.

Beberapa penganalisis politik melihat PN tidak banyak bersuara dalam isu yang boleh mencalar imej Pakatan Harapan (PH) sebagai gabungan progresif, di samping mampu memadamkan stereotaip pembangkang kononnya hanya mengutarakan isu Melayu dan Islam yang boleh membawa keuntungan politik.

Contoh yang jelas adalah apabila kontroversi cubaan meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung kerakyatan, yang mencetuskan kritikan pedas daripada mereka yang selama ini menganggap kerajaan campuran dipimpin Anwar Ibrahim sebagai "lebih baik" daripada pembangkang yang "bersayap kanan".

Pindaan itu, yang kini ditangguh susulan protes kumpulan hak asasi dan mangsa yang dinafikan kerakyatan, disifatkan zalim terhadap bayi terdampar dan anak-anak tanpa kerakyatan.

Walaupun isu itu hangat diperdebatkan masyarakat sivil, lain ceritanya dengan blok pembangkang.

"Di Parlimen, tiada wakil rakyat PN yang mampu menggarap isu-isu prolifik dalam perbahasan Parlimen," kata penganalisis politik, Mazlan Ali daripada Universiti Teknologi Malaysia, ketika ditanya mengenai prestasi PN yang hampir membentuk kerajaan berikutan Parlimen tergantung pada pilihan raya umum yang lalu.

Mazlan memberi contoh perdebatan Belanjawan 2024 tahun lalu.

"Tiada idea-idea atau alternatif yang diberikan oleh pembangkang kepada kerajaan."

Ini meskipun banyak isu yang menjadi hangat di media sosial, seperti kos sara hidup dan masalah bekalan beras yang masih belum menemui penyelesaian komprehensif walaupun diwujudkan kementerian khusus untuk keterjaminan makanan.

PN mempunyai 74 ahli Parlimen, tetapi enam daripadanya berpaling tadah dengan menyatakan sokongan kepada Anwar.

Mazlan berkata ia menunjukkan masalah dalaman yang melanda gabungan itu.

Ini dirumitkan lagi dengan apa yang dilihat sebagai tindakan Anwar menghala senapang ke atas musuh politiknya melalui siasatan rasuah.

"Ini berkemungkinan menyebabkan mereka kehilangan fokus." 

Antara pemimpin yang dituduh termasuk Presiden Bersatu dan pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, yang berdepan empat pertuduhan rasuah berjumlah RM232.5 juta.

Manakala Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan pula dibicarakan kes rasuah dan penggubahan wang haram, dan Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris didakwa di atas tuduhan menghasut.

Bagaimanapun, pemerhati politik Azizi Safar berpandangan majoriti wakil rakyat PN menunjukkan prestasi yang baik.

Menurutnya, ia bagaimanapun tidak mendapat liputan media utama.

"Ini menyebabkan PN nampak seperti tidak menjaguhi isu-isu rakyat yang panas pada masa ini," kata Azizi, yang merupakan bekas setiausaha eksekutif Barisan Nasional Pulau Pinang.

Katanya, walaupun  PN "lesu", kerajaan masih kelihatan "gelabah" disebabkan penyokong PH sendiri sudah mula menyuarakan kekecewaan terhadap gabungan itu.

Ia berikutan siri tindak tanduk pentadbiran Anwar yang jelas melanggari janji reformasi, termasuk penggunaan akta drakonian, pelbagai sekatan yang dikenakan terhadap media, dan cukai-cukai yang samada baru diperkenalkan atau dinaikkan, seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan, Cukai Perkhidmatan Digital dan Cukai Barangan Mewah.

Bagaimanapun, Azizi akur yang PN berada dalam zon selesa dengan sokongan Melayu yang masih menyebelahinya.

"PN mungkin rasa selesa dan yakin majoriti sokongan orang-orang Melayu masih bersama mereka walaupun mereka tidak bersungguh-sungguh memainkan isu-isu rakyat pada masa ini.

"Mungkin juga strategi PN untuk tidak memainkan isu-isu rakyat secara maksimum supaya tidak dilihat mengganggu gugat kestabilan politik."