- Iklan -
Berita

DAP pilih orang Nga di Kuala Kubu Baharu selepas berputus asa dengan pengundi Melayu?

Beberapa pemimpin PH mahu DAP meletakkan calon Melayu dengan harapan dapat menambah bilangan wakil Melayu di blok kerajaan di DUN Selangor, kata sumber.

MalaysiaNow
3 minit bacaan
Kongsi
Nga Kor Ming merupakan tokoh DAP yang beberapa kali mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya yang didakwa menghina orang Melayu.
Nga Kor Ming merupakan tokoh DAP yang beberapa kali mencetuskan kontroversi dengan kenyataannya yang didakwa menghina orang Melayu.

Pemilihan pembantu Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil Kuala Kubu Baharu akan datang dibuat selepas kepimpinan parti menolak rancangan awal meletakkan calon Melayu, sumber kanan DAP Selangor memberitahu MalaysiaNow.

Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon, selepas beberapa nama disenarai pendek oleh DAP, dalam apa yang dilihat mengukuhkan lagi pengaruh Nga dalam parti itu.

Sumber itu memberitahu MalaysiaNow, kepimpinan parti itu menolak nama Syed Hidayat Syed Hassan, seorang ahli majlis lantikan DAP dalam Majlis Perbandaran Hulu Selangor.

Ketika dihubungi, Syed Hidayat berkata beliau tidak mengetahui namanya telah disenarai pendek.

Beliau mengalu-alukan pencalonan Pang, menyifatkan keputusan itu dapat memastikan sokongan padu pengundi Cina ketika pengundi Melayu berpecah.

"Disebabkan perpecahan itu, meletakkan calon Cina lebih baik dari Melayu," kata Syed Hidayat.

Sementara itu, MalaysiaNow juga dimaklumkan, beberapa pemimpin PH di Selangor mengharapkan DAP akan meletakkan calon Melayu.

"Kawan-kawan kami di PH mahukan seorang calon Melayu, supaya jika kami menang, sekurang-kurangnya bilangan Adun Melayu dalam parti pemerintah boleh ditambah," kata sumber DAP itu yang enggan disiarkan namanya.

Pilihan raya negeri tahun lalu menyaksikan wakil rakyat bukan Melayu membentuk majoriti dalam blok pemerintah Selangor, situasi yang pertama kali berlaku dalam tempoh yang lama, merumitkan usaha PH-BN untuk melawan persepsi bahawa kerajaan gabungan mereka tidak membawa suara Melayu.

Kali terakhir bukan Melayu mendominasi DUN Selangor ialah pada pilihan raya 1969, apabila Umno yang memimpin Parti Perikatan ketika itu kalah di tangan DAP dan Gerakan, dua parti dikuasai Cina, yang bersama-sama calon bebas memperoleh bilangan kerusi sama 14-14.

Tanpa mengambil kira kerusi Kuala Kubu Baharu, hanya 16 daripada 33 ADUN PH-BN di Selangor kini berbangsa Melayu. Manakala 22 Adun Perikatan Nasional (PN) membentuk blok pembangkang Melayu terbesar dalam sejarah Selangor.

Pang bakal menentang Khairul Azhari Saut dari Bersatu, membuka jalan kepada suatu pertandingan di mana latar belakang kaum calon memainkan peranan.

Kuala Kubu Baharu, yang merupakan sebahagian daripada kawasan Parlimen Hulu Selangor di mana Melayu merupakan majoriti, terdiri daripada 46% pengundi Melayu, 30% Cina dan 18% India.

Sumber DAP itu berkata, walaupun calon Melayu pada mulanya "dipertimbangkan dengan serius", kepimpinan parti merasakan sentimen anti-kerajaan di kalangan orang Melayu kini berada di kemuncaknya di sebalik pelbagai isu seperti kenaikan harga barang dan kenaikan harga petrol yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Walaupun orang Melayu membentuk majoriti, adalah dirasakan sia-sia sahaja meminta mereka mengundi calon DAP."

Pemilihan Pang Sock Tao, pembantu Nga Kor Ming, sebagai calon PH di Kuala Kubu Baharu menandakan pengaruh pemimpin DAP itu yang semakin kuat.
Pemilihan Pang Sock Tao, pembantu Nga Kor Ming, sebagai calon PH di Kuala Kubu Baharu menandakan pengaruh pemimpin DAP itu yang semakin kuat.

Pemilihan calon yang dikaitkan dengan Nga juga satu keputusan "sengaja", kata sumber DAP itu lagi.

"Nga dilihat sebagai wajah yang 'sangat Cina' dalam DAP, maka menjadi harapan mereka pengundi Cina memberi sokongan padu kepada calonnya, lebih-lebih lagi apabila dirasakan tiada peluang untuk meraih undi Melayu di kawasan itu."

Nga, yang juga pengerusi DAP Perak, terpalit dengan pelbagai kontroversi berhubung kenyataannya yang mengundang kemarahan kumpulan Melayu.

Ini termasuk kenyataanya menyerang tindakan memboikot syarikat makanan segera tertentu, iaitu sebahagian daripada kempen umat Islam sedunia yang menyasarkan barangan AS untuk menghukum bantuan ketenteraan AS kepada Israel dalam kempen ketenteraan di Gaza.

Nga turut mencetuskan beberapa kontroversi lain sebelum ini.

Pada 2016, beliau mencetuskan kemarahan Umno kerana cuba menggambarkan amalan duit Raya sebagai satu bentuk rasuah.

Pada 2019, Nga disiasat atas catatan di akaun Facebook dikaitkan dengannya, yang menggesa kaum Cina menyatakan rasa tidak puas hati mereka kepada Sultan Selangor kerana arahannya supaya papan tanda jalan di negeri itu tidak lagi menggunakan tulisan Cina.

Pada tahun yang sama, semasa kempen pilihan raya kecil di Tanjung Piai, beliau melabelkan PAS sebagai parti pelampau, sambil menyindir pemimpinnya yang berjanggut panjang dan berpakaian jubah.

Dalam kempen pilihan raya umum 2022 pula, beliau melabel PAS sebagai parti "Taliban" dan berkata Malaysia akan menjadi seperti Afghanistan sekiranya PN berkuasa.

Baru-baru ini, Nga sekali lagi dikritik selepas menggunakan konsep "feng shui" yang diamalkan Cina bagi menjelaskan pengumuman mengejut projek kerajaan bernilai RM5 juta di Kuala Kubu Baharu.