Thursday, December 2, 2021

Seksyen 18 Ordinan Darurat boleh diperkemas

Seksyen 18 Ordinan Darurat boleh diperhalusi dan diperkemas supaya perbezaan pendapat tentang Seksyen 14(1)(b) dan Seksyen 15(1)(b) ordinan yang sama boleh dielakkan.

Other News

Saya membaca peringatan bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad bahawa Yang di-Pertuan Agong tertakluk dengan nasihat peguam negara walau ‘tidak popular’.

Saya kemudian membaca dengan lebih teliti penjelasan lanjut beliau.

Dan saya pun mengingatkan diri sendiri akan pesan Tun bahawa rencana beliau adalah rencana ilmiah undang-undang. Maka, nilailah ia berdasarkan undang-undang, bukan sama ada ia disukai atau tidak.

Pun begitu, beliau memohon agar ditunjukkan di mana pandangan dan hujah-hujah bersama beliau dan Dr Shamrahayu yang tidak betul.

Tun berpendirian, jika ditunjukkan di mana pandangannya yang tidak betul, disertai dengan hujah-hujah yang lebih baik, beliau akan menerimanya dan membuat pembetulan.

Semestinya saya tabik kepada Tun kerana berlapang dada.

Izinkan saya sekadar berkongsi hujah. Jauh sungguh untuk saya tunjukkan di mana Tun dan Dr Shamrahayu “tidak betul”. Bak kata orang, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Kalau belum cukup ilmu di dada, jangan nak berhujah dengan bekas ketua hakim negara.

Apa-apa pun, saya suka berkongsi Seksyen 18 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021. Ia peruntukan terakhir ordinan, nun di bawah. Barangkali sebab itu ia terlepas pada pandangan mata dan pembacaan. Ia berbunyi begini:

Seksyen 18 Undang-undang yang mengatasi

“Sekiranya terdapat apa-apa percanggahan atau ketidakselarasan antara peruntukan Ordinan ini dengan mana-mana undang-undang bertulis lain, peruntukan Ordinan ini hendaklah mengatasi dan peruntukan undang-undang bertulis lain yang bercanggah atau tidak selaras itu hendaklah disifatkan digantikan setakat percanggahan atau ketidakselarasan itu.”

Tun sendiri mentakrifkan “undang-undang bertulis” – apabila penghakiman beliau menuntut pentakrifan berkenaan – dengan merujuk kepada Perlembagaan Persekutuan. Perkara 160 mentakrif “undang-undang bertulis” sebagai termasuk Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Negeri setiap negeri.

Seksyen 3 Akta Pentafsiran 1948 & 1967 juga memasukkan Perlembagaan Persekutuan and Perlembagaan Negeri setiap negeri sebagai undang-undang bertulis.

Jadi, jika dibaca dengan teliti, Seksyen 18 di atas membolehkan peruntukan Ordinan Darurat [baca: Seksyen 14(1)(b)] mengatasi peruntukan Perlembagaan Persekutuan [baca: Perkara 40(1) & (2)]. Ordinan pula semestinya dibuat atas nasihat peguam negara.

Saya bersetuju dengan Tun bahawa jika Yang di-Pertuan Agong membelakangkan nasihat peguam negara, dan sekiranya berlaku cabaran terhadap sesuatu keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong di mahkamah, peguam negara sukar untuk mengambil tanggungjawab pembelaan.

Oleh yang demikian, orang-orang lain yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ada, sukar untuk dijamin locus standi bagi mencelah atau membela dalam sesuatu prosiding di mahkamah.

Tetapi, peguam negara jugalah yang menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan seksyen 18 yang kesannya adalah seperti dinyatakan di atas.

Melainkanlah kalau Perkara 40(1) & (2) Perlembagaan dan Seksyen 18 Ordinan Darurat dibaca secara harmoni supaya prinsip raja berperlembagaan yang menjadi tunjang perlembagaan kekal dipertahankan.

Apa pun, peguam negara sudah pun tampil dengan kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong kekal berada di bawah sistem raja berperlembagaan yang tertakluk kepada nasihat Kabinet walaupun perintah darurat dikuatkuasakan.

Kalau demikian, dengan hormat, Seksyen 18 Ordinan Darurat boleh diperhalusi dan diperkemas supaya perbezaan pendapat tentang Seksyen 14(1)(b) dan Seksyen 15(1)(b) ordinan yang sama boleh dielakkan.

Hafiz Hassan adalah pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles