- Iklan -
Berita

Peguam negara jelaskan isu kuasa tetapkan tarikh sidang Parlimen

Perintah darurat yang dikuatkuasakan ketika ini tidak mengubah kuasa Agong yang tertakluk di bawah sistem raja berperlembagaan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah bersama Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Istana Negara

Peguam Negara Idrus Harun hari ini berkata Yang di-Pertuan Agong kekal berada di bawah sistem raja berperlembagaan yang tertakluk kepada nasihat Kabinet walaupun perintah darurat dikuatkuasakan sekali gus menjelaskan perbahasan berhubung gesaan Raja Melayu supaya Parlimen bersidang semula secepat mungkin minggu lalu.

Beliau berkata Agong mesti menggunakan kuasanya untuk memanggil sidang Parlimen dengan peruntukan yang termaktub di bawah Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan kuasa untuk memanggil Parlimen bersidang dan ordinan darurat, namun ia tertakluk di bawah sistem raja berperlembagaan.

“Sehubungan dengan itu, selaras dengan kedudukan Yang di-Pertuan Agong sebagai Raja Berperlembagaan, penjalanan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil Parlimen bersidang hendaklah dijalankan mengikut nasihat Jemaah Menteri atau nasihat seorang Menteri yang bertindak di bawah kuasa am Jemaah Menteri, dan Baginda hendaklah menerima dan bertindak mengikut nasihat itu, menurut Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.” kata Idrus dalam sebuah kenyataan hari ini.

Pendirian serupa turut dikongsi oleh beberapa pegawai kanan perundangan, termasuk bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali, bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.

Idrus berkata perdana menteri atau timbalannya juga memiliki kuasa untuk menetapkan tarikh persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara sekurang-kurangnya 28 hari sebelum permulaan tiap-tiap penggal.

Dalam pada itu, Idrus berkata kuasa eksekutif Agong termaktub dalam Artikel 39 dan 40 Perlembagaan Persekutuan, ia perlu dibaca bersama Artikel 43 yang “jelas menghendaki Baginda untuk melantik Jemaah Menteri bagi menasihati Baginda dalam menjalankan fungsinya”.

Idrus berkata peranan tersebut turut jelas termaktub dalam Suruhanjaya Reid yang ditugaskan untuk mendraf Perlembagaan Persekutuan ketika pemerintahan British, beliau memetik laporan suruhanjaya tersebut mengenai Agong bahawa Baginda merupakan pemerintah negara namun “mesti berperanan di bawah ruang Perlembagaan”.

“Jadi, beliau mesti bertindak mengikut nasihat menteri-menterinya berhubung semua tindakan-tindakan eksekutif…,” kata Idrus memetik laporan 1957.

Beliau kemudian memetik penghakiman pada tahun 1975 yang menetapkan perintah darurat tidak mengubah status Agong sebagai raja berperlembagaan.

“Undang-undang darurat yang menjangkaui kuasa legislatif dari Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong tidak mengubah kedudukannya sebagai raja berperlembagaan, tertakluk kepada Perlembagaan dalam tindakan pada semua keadaan berdasarkan nasihat Kabinet,” kata penghakiman tersebut.

Pada Februari lalu, istana menolak pendapat deklarasi darurat boleh menghalang Parlimen daripada bersidang, mengatakan Yang di-Pertuan Agong boleh membenarkan Parlimen bersidang pada tarikh yang sesuai sepanjang darurat dengan nasihat perdana menteri.

Perintah darurat yang dijangka akan berterusan sehingga Ogos depan telah dikuatkuasakan pada pertengahan Januari lalu di bawah Klausa (1) Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan.

Pada minggu lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah menggesa sidang Parlimen diadakan secepat mungkin bagi membolehkan perbahasan Pelan Pemulihan Negara diadakan di Dewan Rakyat selepas beliau menemui pemimpin parti politik dan Jawatankuasa Khas Bebas Darurat.

Raja-Raja Melayu turut bersetuju dengan Agong sekali gus menggesa sidang Parlimen diadakan selain berpendapat darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos depan.