- Iklan -
Berita

Kerajaan komited asingkan kuasa peguam negara, pendakwa raya, kata Azalina

Menteri undang-undang itu juga menyelar pembangkang kerana gagal memisahkan peranan peguam negara dan pendakwa raya ketika mereka berkuasa.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said. Gambar: Bernama

Kerajaan komited dalam usaha pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya bagi memastikan integriti institusi perundangan terpelihara, kata  Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Beliau sekali gus membidas pihak pembangkang yang tidak melaksanakan perkara itu ketika gabungan berkenaan menjadi kerajaan, namun kini sering membangkitkan isu pendakwaan terpilih.

“Kenapa semasa yang di sana jadi kerajaan tidak pisahkan (Pengasingan kuasa) peguam negara? Bila Yang Berhormat di sana kena, kata ‘oh pendakwaan terpilih’, bila sini yang kena – kata padan muka. 

“Kerajaan Madani komited kepada tata kelola lebih adil. Kami walk the talk. Mereka (pembangkang), they don’t walk, they don’t talk,” kata Azalina ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab celahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) dan Hamzah Zainudin (PN-Larut) yang membangkitkan isu pendakwaan terpilih dalam kes-kes mahkamah yang kononnya hanya dikenakan terhadap pembangkang.  

Azalina berkata di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Peguam Negara mempunyai kuasa mengikut budi bicara untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding.

“Setiap peguam negara ada kuasa dakwa dan lepaskan, dan bila hakim membebaskan, tak semestinya tak boleh didakwa.

“Pelbagai Peguam Negara terdahulu termasuk Tommy Thomas pun banyak kes dilepaskan. Sebab itu kerajaan komited pisahkan (fungsi) peguam negara dan pendakwa raya,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga akan melaksanakan satu kajian empirikal sebelum memuktamadkan cadangan pengasingan kuasa antara peguam negara dan pendakwa raya.

Selain itu, dalam penggulungannya Azalina berkata kerajaan dalam proses akhir untuk mendapatkan keputusan dasar berhubung cadangan pindaan yang diperoleh sebelum rang undang-undang mengenai pindaan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) digubal. 

Katanya kerajaan juga berhasrat dan menyasarkan untuk memuktamadkan serta membentangkan pindaan dan penambahbaikan Akta 711 selewat-lewatnya November ini.