'Hujah karut', peguam negara digesa halang usaha 'aneh' Anwar dapatkan kekebalan
Kumpulan peguam Lawyers for Liberty berkata peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam tidak boleh mengabaikan tindakan perdana menteri.
Terkini
Kumpulan peguam Lawyers for Liberty (LFL) hari ini turut berkongsi rasa terkejut pelbagai pihak berhubung tindakan kontroversi Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan kekebalan undang-undang bagi dirinya menjelang saman sivil serangan seksual terhadapnya, dengan menyifatkan tindakan itu "tidak masuk akal" dan tanpa sebarang asas undang-undang.
LFL turut mempersoalkan hujah peguam Anwar dalam menggunakan Perkara 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, merujuk kepada beberapa persoalan dikemukakan kepada Mahkamah Persekutuan dalam permohonan mendapatkan imuniti untuk perdana menteri.
"Peruntukan-peruntukan itu hanya berkait dengan kuasa eksekutif persekutuan, pembentukan Kabinet dan bahawa Agong bertindak atas nasihat. Ia tidak memberikan mana-mana perdana menteri semasa dengan kekebalan, dan sebarang percubaan ke arah itu adalah bertentangan dengan prinsip yang sudah pun diterima mengenai tafsiran peruntukan perlembagaan," kata pengarah LFL, Zaid Malek dalam satu kenyataan.
"Ringkasnya, untuk mencadangkan bahawa di negara kita, perdana menteri kebal daripada tindakan mahkamah oleh orang awam, adalah sesuatu yang karut dari segi undang-undang," katanya.
Di bawah Perkara 183 Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong dan sultan sesebuah negeri diberikan kekebalan daripada saman sivil atau jenayah atas kapasiti peribadi mereka, melainkan saman tersebut mendapat kebenaran peguam negara.
Zaid berkata Yang di-Pertuan Agong masih boleh berdepan kes sivil dan jenayah di bawah peruntukan sama.
"Adalah tidak boleh dipertahankan dan tidak boleh diterima apabila PM diberikan kekebalan yang tidak dimiliki oleh Agong.
"Dalam keadaan ini, menjadi kewajipan bagi peguam negara untuk campur tangan dalam saman sivil tersebut dan menentang sebarang percubaan memberi imuniti kepada perdana menteri. Peguam negara sebagai penjaga kepentingan awam tidak boleh mengabaikan perkara ini dengan tidak berbuat apa-apa."
Anwar disaman oleh Muhammed Yusoff Rawther, bekas pembantu penyelidiknya, yang mendakwa pemimpin PKR itu menyerangnya secara seksual pada Oktober 2018, iaitu beberapa hari sebelum memenangi Pilihan Raya Kecil Port Dickson.
Perbicaraan dijadualkan bermula pada 16 Jun di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Yusoff kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh selepas didakwa dengan tuduhan dadah dan senjata api susulan serbuan kontroversi polis ke atas kenderaannya pada September tahun lalu.
Pemuda berusia 33 tahun itu telah berulang kali menafikan tuduhan terhadapnya, dan menyatakan beliau menjadi mangsa mereka yang berkuasa dengan menamakan Anwar dan bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador sebagai antara pihak yang menyimpan dendam terhadapnya.
Permohonan Anwar mendapatkan kekebalan telah mencetuskan pelbagai reaksi daripada ahli politik dan pengamal undang-undang, di mana kebanyakan mereka menyifatkan ia sesuatu yang tidak pernah berlaku di samping mengejutkan.
Dalam afidavit difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lalu, peguam Anwar yang baru dilantik, Megat Abdul Munir Megat Abdullah Rafaie, turut memohon penangguhan prosiding perbicaraan sivil sementara menunggu permohonan di Mahkamah Persekutuan.
Antara lain, Anwar mahu mahkamah tertinggi memutuskan sama ada "seorang perdana menteri yang sedang memegang jawatan menikmati kekebalan terhad daripada tindakan sivil berhubung dakwaan perlakuan peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya", sambil menambah saman sivil tersebut akan "menjejaskan keupayaan beliau untuk melaksanakan fungsi eksekutif dengan berkesan".
Beliau juga memohon mahkamah memutuskan persoalan sama ada dalam membenarkan sesebuah tindakan saman sivil melibatkan dakwaan terhadapnya sebelum menduduki jawatan akan "menjejaskan kestabilan sebuah institusi teras kerajaan".
Selanjutnya, Anwar mengingatkan tanggungjawab mahkamah "melindungi kebebasan dan maruah seorang penyandang jawatan awam daripada tindakan litigasi yang boleh menjejaskan keupayaan untuk melaksanakan tugas-tugas awam, dalam keadaan tiada jenayah dibuktikan".

LFL berkata adalah tidak relevan serangan seksual sebagaimana yang didakwa itu berlaku sebelum Anwar memegang jawatan tertinggi.
"Jika ini menjadi pertimbangan, ia akan melucutkan hak undang-undang mana-mana pihak untuk membuat tuntutan sah terhadap mana-mana perdana menteri semasa mahupun yang akan datang, dan jelas melanggar prinsip kesaksamaan yang dianuti dalam Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan bahawa 'semua orang adalah sama di sisi undang-undang'."
Ia mengingatkan Anwar mengenai tanggungjawab moral sebagai perdana menteri untuk menegakkan perlembagaan dan tidak cuba "membatalkan atau mengubah prinsip asas yang termaktub di dalamnya".
"Tindakan Anwar memfailkan permohonan aneh ini sepatutnya membunyikan loceng amaran untuk semua rakyat Malaysia kerana ia merupakan percubaan pintu belakang untuk memperkenalkan konsep kekebalan undang-undang kepada perdana menteri, iaitu ketua cabang eksekutif, semata-mata kerana kedudukannya.
"Ini bukan konsep yang wujud di mana-mana negara demokrasi; ia adalah pelanggaran kedaulatan undang-undang dan terang-terangan bersifat autoritarian," tambah Zaid.
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
Paling Popular
Tiada artikel ditemui.