- Iklan -
Berita

Isu darurat banjir antara dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini

Status capaian internet laju di Sabah, implikasi pelaburan Amazon Web Services turut dibincangkan, antara lain.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah kereta hampir-hampir ditenggelani air akibat banjir yang melanda Kampung Temehel, Yong Peng, Johor.
Sebuah kereta hampir-hampir ditenggelani air akibat banjir yang melanda Kampung Temehel, Yong Peng, Johor.

Persoalan mengapa kerajaan masih tidak melaksanakan darurat banjir khususnya di Johor berikutan situasi buruk yang berlaku akibat bencana itu, bakal dibincangkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, perkara itu akan dibangkitkan Shahidan Kassim (PN-Arau) kepada perdana menteri Anwar Ibrahim pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT).

Pada sesi itu juga, Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) meminta perdana menteri menyatakan implikasi kepada ekonomi negara dengan komitmen pelaburan oleh Amazon Web Services bernilai RM25.5 bilion menjelang 2037. 

Yusuf Abd Wahab (GPS-Tanjong Manis) pula bertanyakan mengenai persediaan kerajaan dalam memastikan komuniti perniagaan dan swasta di Sabah dan Sarawak mendapat manfaat melalui jalinan kerajaan dengan kerajaan (G2G) serta perniagaan kepada perniagaan (B2B) susulan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Pada sesi jawab lisan, Suhaimi Nasir (BN-Libaran) meminta menteri komunikasi dan digital menyatakan status pencapaian internet berkelajuan tinggi di Sabah yang sepatutnya telah beralih kepada teknologi 5G.

Selain itu, Abdul Hadi Awang (PN-Marang) pula ingin tahu langkah kerajaan untuk mewujudkan sistem "ombudsman" bagi menangani masalah salah laku dalam kalangan ahli politik dan penjawat awam termasuk pihak berkuasa.

Selesai sesi itu, persidangan Dewan Rakyat akan diteruskan dengan perbahasan hari terakhir Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di peringkat dasar.

Persidangan kali ini berlangsung selama 31 hari sehingga 4 April.