- Iklan -
Berita

Bekas ketua hakim ingatkan Agong tertakluk dengan nasihat peguam negara walau ‘tidak popular’

Abdul Hamid Mohamad berkata kegagalan Agong untuk mengikut nasihat dalam menjalankan tugas rasmi boleh dicabar undang-undang di mana peguam negara tidak boleh bertindak sebagai pembelaan.

Staff Writers
3 minit bacaan
Kongsi
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Instagram Istana Negara
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Peguam Negara Idrus Harun. Gambar: Instagram Istana Negara

Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad mengingatkan Yang di-Pertuan Agong sebarang tindakan yang bertentangan dengan nasihat peguam negara boleh menyebabkan berdepan dengan cabaran undang-undang yang menyebabkan keputusan boleh dibatalkan di mahkamah sambil menambah beliau perlu mengikut nasihat kerajaan walaupun ia adalah satu perkara “yang tidak popular” dan dikritik oleh ahli politik.

“Jika Yang di-Pertuan Agong membelakangkan nasihat peguam negara, dan sekiranya berlaku cabaran terhadap sesuatu keputusan atau tindakan Yang di-Pertuan Agong di mahkamah, peguam negara sukar untuk mengambil tanggungjawab pembelaan,” katanya sambil memetik artikel 145 (2) Perlembagaan Persekutuan.

Bekas ketua hakim nagara Abdul Hamid Mohamad.

Pandangan beliau itu terkandung dalam sebuah kenyataan bersama pensyarah kanan undang-undang yang juga Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Shamrahayu Abdul Aziz bagi memberikan respons kepada gesaan terbaru daripada Raja-Raja Melayu selain beberapa cadangan ahli politik yang menggesa Putrajaya bersidang semula dan menamatkan perintah darurat dilaksanakan ketika ini.

“Kami berpendapat orang-orang lain yang memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, sekiranya ada, sukar untuk dijamin locus standi bagi mencelah atau membela dalam sesuatu prosiding di mahkamah.”

Mereka turut memberi amaran mengenai sebilangan pihak yang tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan cuba melibatkan istana bagi melakukan apa yang mereka mahu walaupun jelas ia di luar bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu perlu waspada supaya institusi beraja tidak termasuk perangkap mereka. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang bijaksana perlu senantiasa waspada bahawa baginda adalah Raja Berperlembagaan di mana amanah yang baginda galas adalah diperuntukkan oleh Perlembagaan. Baginda semua juga tertakluk kepada kedaulatan undang-undang dan perlu patuh kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan.”

Mereka berkata kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya bagi setiap keputusan yang diambil oleh Agong berdasarkan nasihat peguam negara, perdana menteri dan Kabinet walaupun ia mungkin tidak disukai parti-parti politik daripada kedua-dua pihak, NGO dan orang ramai.

“Remedy mereka adalah di peti undi. Mereka boleh mengkritik kerajaan dan parti memerintah sekuat-kuatnya, tetapi bukan mengkritik Yang di-Pertuan Agong kerana bertindak atas nasihat perdana menteri atau Kabinet atau peguam negara. Itulah sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen yang diamalkan.”

Pensyarah kanan undang-undang Shamrahayu Abdul Aziz.

Hamid bersara daripada jawatan ketua hakim negara pada 2008 selepas 50 tahun berkhidmat dalam bidang kehakiman negara.

Antara kes yang beliau ketuai adalah kes rayuan ketua pembangkang Anwar Ibrahim bagi sabitan kes liwat, di mana Hamid yang mengetuai Mahkamah Perekutuan ketika itu membebaskan beliau pada 2004, selain turut bertanggungjawab dalam kes saman bank yang menyaksikan Agong diarahkan membayar sebanyak RM3.2 juta.

Dalam kenyataan yang sama, Hamid berkata Agong perlu menerima nasihat perdana menteri, kabinet dan peguam negara dalam urusan rasmi walaupun mungkin “nasihat itu tidak disenangi oleh Baginda”.

“Tetapi selagi ia bukan mengenai perkara yang Baginda mempunyai budi bicara, Baginda kenalah menerimanya dengan mengambil kira peranan baginda untuk mendapatkan maklumat secukupnya sebagaimana dibenarkan dalam Perkara 40(1) Perlembagaan,” katanya.

Dalam kenyataan itu juga, Hamid dan Shamrahayu turut menolak cadangan Dr Mahathir Mohamad yang mahu kerajaan menubuhkan majlis khas operasi negara yang melapor operasinya kepada Agong, selain gesaan ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh yang menggesa Raja-Raja Melayu melantik perdana menteri baru.

Mahathir mencadangkan sebuah jawatankuasa yang mirip dengan Majlis Gerakan Negara yang ditubuhkan pada 1969 susulan rusuhan kaum yang berlaku dalam negara.

Hamid mengingatkan Mageran yang ditubuhkan itu adalah ketika negara tidak memiliki kerajaan selepas pilihan raya pada tahun itu di samping turut berkata melaporkan operasi kepada Agong juga tidak dapat dipertahankan kerana kerajaan yang memiliki sumber dananya yang mutlak.

“Katakanlah, kerajaan, menuruti nasihat peguam negara bahawa penubuhan Mageran itu tidak sah, dan oleh itu, adalah salah bagi kerajaan memberi dana untuk membiayai aktiviti Mageran dan, oleh itu, kerajaan enggan memberi dana kepada Mageran, bagaimana Mageran akan berfungsi?”

Hamid turut menolak gesaan supaya Raja Melayu melantik perdana menteri yang baru, mengatakan bukan sahaja Dewan Rakyat yang menentukannya tidak bersidang ketika ini, ia juga tidak termaktub dalam peruntukan kuasa mereka dalam Perlembagaan.

“Kami katakan Majlis Raja-Raja tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian. Tugas dan bidang kuasa MRR ditetapkan oleh Perlembagaan, Perkara 38, Jadual Ketiga dan Jadual Kelima Perlembagaan.

Dalam pada itu, Hamid dan Shamrahayu menolak untuk memberikan ulasan berkenaan dua kenyataan berasingan oleh Agong dan Raja-Raja Melayu yang menggesa Parliament bersidang semula dan menamatkan perintah darurat, mengatakan ia adalah pendapat dan pandangan Raja-Raja.

Mereka berkata sebarang keputusan Agong mestilah sejajar dengan undang-undang dan Perlmebagaan bukan sekadar melihat kepada keselesaan penerimaan parti politik.

“Adalah menjadi tanggungjawab parti yang memerintah untuk menangani aspek politik kepartian.”