- Iklan -
Kolum

Aku ini binatang jalang

“Beranikan hati. Kau boleh buat. Kau tak cuba kita tak tahu.”

Hishamuddin Rais
11 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada tahun 1959 aku pindah. Dari “budak pekan” aku kembali menjadi “budak kampung”.

Aku hanya sempat belajar dua tahun di Sekolah Umum Kuala Klawang A, yang didirikan atas bukit menghadap pekan Kuala Klawang.

Guru pertama aku ialah Cikgu Raja Razali. Bersosok gemuk, gempal dan berkulit hitam.

Sebelum cuti tahunan sekolah selesai emak aku diberitahu oleh guru besar, Cikgu Fatimah bahawa ada arahan pindah sekolah dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Emak aku berpindah dari Sekolah Umum Kuala Klawang B ke Sekolah Umum Batu Serambai.

Tiga batu dari pekan Kuala Klawang.

Aku ingat lagi petang itu. Pada hari pertama di tepi rumah guru yang baru aku berkenalan dengan budak kampung Batu Serambai yang pertama.

Budak ini namanya Ahmad bin Endot. Mustahil akan aku lupakan sosok ini.

Dia kawan aku yang pertama di Batu Serambai.

Ketika sampai ke tempat baru aku tiada kenalan, tiba-tiba Ahmad yang berkulit hitam manis muncul.

Dia dengan mesra mengambil basikal roda tiga adik aku dan menolak dan terus bermain dengan aku.

Kemesraan ini menghairankan aku.

Petang itu Ahmad mengajar aku jika hati kita terbuka, kita boleh berkenal suai dengan sesiapa sahaja walau pun orang yang belum pernah kita ketahui.

Ini titik pengenalan yang aku ingati sepanjang hayat.

Pertemuan petang itu amat bermakna dan aku jadikan ilmu yang sentiasa dibawa sepanjang perjalanan hidup ini.

Seminggu kemudian, Sekolah Umum Batu Serambai dibuka.

Aku tidak gelabah di bilik darjah dengan muka-muka baru.

Aku sudah ada kawan, Ahmad. Rupa-rupanya dia menjadi rakan sekelas.

Kelas darjah tiga kami tidak besar.

Ada Rahim, Saari, Jamaluddin, Mat Shah, mereka dari Kampung Kemin.

Dari Kampung Batu Serambai ialah Zainuddin, Abu, Isa, Yusuf, Ahmad dan aku.

Pelajar perempuan tak ramai – Tengku Alawiyah, Raja Noor Hamidah, Salmah dan Zaiton.

Apa yang memeranjatkan aku ialah guru darjah aku masih lagi Cikgu Raja Razali.

Cikgu yang berkulit gelap hitam ini juga berpindah dari Sekolah Kuala Klawang A, kini menjadi guru darjah tiga dan darjah satu.

Darjah tiga dan darjah satu disatukan dalam ruang yang sama.

Hanya dipisahkan melalui susunan bangku. Ini dilakukan kerana darjah satu dan tiga tidak ramai murid.

Sekolah ini sampai ke darjah enam.

Aku rasa jumlah kesemua murid tidak melintasi 100 orang.

Guru besar sekolah ini ialah Cikgu Mat Zain yang berasal dari Kampung Kemin satu batu dari sekolah.

Guru besar mengajar darjah dua. Darjah satu dan tiga Cikgu Razali.

Darjah empat emak aku. Darjah lima Cikgu Brahim dan darjah enam Cikgu Jaaman Abu.

Guru agama kami ialah Ustaz Ramli. Ketika aku membesar di Batu Serambai aku rasakan dunia ini begitu indah sekali.

Aku membesar dalam kampung yang permai.

Wilayah baru yang agak berbeza dari suasana pedalaman di Sekolah Tapak.

Juga berbeza dari Sekolah Kuala Klawang yang dalam pekan.

Ini sekolah kampung. Di hadapan padang sekolah ialah kawasan sawah padi yang luas terbentang.

Di belakang sawah padi ini kebun getah dan rumah orang kampung.

Sawah padi dipagari oleh Sungai Klawang dan bonda.

Bonda ialah tali air yang dibuat khas untuk laluan air.

Air sungai Klawang yang datang dari bukit bukau hutan belantara di Bukit Tangga dimasukkan ke dalam bonda apabila air sungai ditahan oleh empangan batu.

Ada satu perkara yang aku rasa berbeza dari kampung lama aku di Tapak atau Kampung Tengah.

Di Batu Serambai ramai penduduk kampung dari keluarga Raja.

Di belakang sekolah ialah rumah Raja Agong, di sebelah kiri sekolah rumah Raja Husin.

Di sebelah rumah Raja Husin ialah rumah Raja Raman.

Depan sekolah rumah Raja Hamjat dengan anak perempuannya Raja Abut dan Raja Atup.

Raja Hamzah dan adiknya Raja Arshad.

Kedai depan sekolah milik Raja Suman, adiknya Raja Kadir.

Dalam kelas aku ada Raja Noor Hamidah anak Raja Wahab dan Tengku Alawiyah anak Tok Penghulu Tengku Razak.

Malah Cikgu Raja Razali guru kelas aku adalah anak watan Batu Serambai.

Semua rumah di sekeliling sekolah adalah rumah keluarga raja kecuali Kedai Makcik Jarah.

Kedai di sebelah kiri sekolah ini menjadi tempat tumpuan.

Kedai runcit, kedai teh, kedai jual getah dan kedai membaca surat khabar.

Kedai Makcik Jarah ini menjadi alamat pos untuk semua warga Kampung Batu Serambai.

Suami Makcik Jarah, Pakcik Dusa bekerja sebagai pemberi ubat di Hospital Daerah Jelebu di Petaling.

Pada awalnya ketika sampai ke Batu Serambai aku tidak menyedari perkara “Raja” ini.

Setelah beberapa minggu tinggal di Batu Serambai baru aku mula sedar.

Bila sekolah dibuka aku mula bertemu dengan kenalan baru.

Aku mula berkawan dengan Raja Brahim yang tua setahun daripada aku.

Kami panggil dia Ayen.

Kakaknya Raja Zaleha, abangnya Raja Mustapha, adiknya Raja Musa dan Raja Abu Bakar.

Mereka ini anak kepada Raja Husin dan Mak Engku.

Aku hanya mengenali emak Raja Ibrahim sebagai Mak Engku.

Ini nama panggilan dari orang kampung dan cara dia membahasakan dirinya.

“Mak… sapa raja-raja ni? Ramai keliling sekolah ini.”

Aku dengan sifat yang sentiasa ingin tahu.

Aku nak tahu kenapa dan apa benda itu, terutamanya apabila aku bertemu dengan perkara baru.

“Mereka suku sakat Raja.”

“Raja mana?”

“Raja kita di Seri Menanti.” Emak aku memberi penerangan.

Aku sendiri merasakan penerangan kali ini tidak mencukupi.

Lalu aku teringat akan Seri Menanti di mana emak aku pernah menjadi cikgu mengajar anak-anak Raja di sana. Malah Tok Wan Rahmah aku pernah bersurah bagaimana dia mengintai anak Raja mandi di perigi.

“Anak rajo ni tangan kida. Tak roti basuh berak.” Tok wan aku bersurah.

Dan kami sekeluarga semua ketawa.

Ini lawak keluarga kami apabila nama Seri Menanti timbul dalam perbualan.

“Pasal apa Ayen bila mak dia panggil dia tak jawab saya? Mak dia panggil dia jawab ku. Ku ni apa mak?”

Aku bertanya lagi tentang Raja.

Ini timbul kerana pada satu petang ketika aku lalu depan rumah Raja Husin aku dengar Ayen dipanggil oleh emaknya. Dia menjawab ku.

“Ku tu jawapan sopan pada mak dia. Sama macam kau jawab ‘ya saya’. Ya Engku, di pendekkan jadi ya ku.”

Emak aku menerangkan duduk perkara.

“Raja Husin tu Raja macam mana? Dia ini Raja apa Mak?” Aku masih tak puas hati.

“Keturunan dia dulu-dulu… dia Raja .. kita ini bono.. bila cakap dengan mereka kita bahasakan diri kita sebagai patik. Ini bahasa bersopan.”

Emak aku menjelaskan dengan perkataan-perkataan yang aku tak faham.

“Bono, patik ni apa Mak?“

“Laaa banyak sangat kau bertanya… kau nak jadi Raja ke?” Mak aku melawak.

“Bono ni apa?” Aku mengulangi pertanyaan.

“Bono ni kito. Orang biasa… orang bukan ada darah Raja di panggil orang bono. Kau ni bono.. Ayen, Musa dan Tapa tu Raja. Patik ini diri kita. Patik tu bila kita bahasakan diri kita bila bercakap dengan Raja.”

“Kita tak boleh jadi Raja ke mak?”

“Tak boleh. Bukan darah keturunan kita. Tulah nanti. Raja ni ada daulat. Kalau kau mengaku Raja kau akan jatuh sakit. Kau akan sakit perut. Tulah. Kau bukan keturunan Raja. Kita bono. Payah ke nak faham?”

Emak aku macam hilang sabar dari pertanyaan aku yang berulang-ulang.

“Sakit perut pasal apa?” Aku bertanya soalan lagi.

“Pasal kau bono mengaku Raja. Tulah ni kena sumpah daulat Raja.”

“Daulat ni apa?”

“Daulat ini ilmu Raja.”

“Sapa beri daulat ni mak? Dalam kelas bila Cikgu Raja Razali panggil kenapa tak ada sapa jawab ku. Raja Razali takde daulat ke?”

“Sekolah lain. Sekolah dah moden.”

Mak aku menjawab ringkas dan tak tahan dengan soalan bertalu-talu dari aku.

Aku pula mahu pencerahan kerana semua ini amat baru untuk aku.

Semenjak penerangan itu aku mula faham apa itu Raja, bono, daulat dan tulah.

Dari pemahaman ini aku makin selesa duduk di keliling kampung keluarga Raja dan berkawan-kawan dengan anak Raja di Batu Serambai.

Raja yang aku anggap betul-betul Raja ialah Raja Husin.

Dia ini pakar silap mata.

Kami budak budak selalu berbisik-bisik bercerita yang Raja Husin ini ada memelihara jin.

Mengikut surah budak-budak, jin Raja Husin ini akan membantunya dalam permainan silap mata.

Dalam pertunjukan Raja Husin paling menarik ialah Awang.

Awang ialah patung kayu yang boleh bercakap sendiri.

Kami budak-budak amat takut dengan Awang.

Ini kerana dari Awang yang boleh bercakap sendiri dan berbual-bual dengan Raja Husin.

Patung kayu Awang ini menambah kuat keyakinan kami bahawa Raja Husin ini ada memelihara jin.

Raja Husin bukan hanya terkenal di Jelebu malah di luar Jelebu pun orang kenal siapa dia Raja Husin.

Sebut sahaja Raja Husin “Magic Show” orang di Negeri Sembilan akan tahu.

Tapi Raja Husin ini agak jarang di kampung.

Dari anaknya Ayen aku selalu dengar ayahnya berada di Seremban di Istana Hinggap.

Raja Husin mengikut surahnya anaknya amat rapat dengan Raja Menawar, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Dari apa yang aku lihat Raja Husin inilah yang menjadi tali ikatan penyambung keluarga raja-raja di Kampung Batu Serambai dengan Yang di-Pertuan Besar Raja Negeri Sembilan.

Hari berjalan. Masa berubah.

Bila cuti Jumaat dan Sabtu atau waktu petang, kami budak-budak kampung akan mandi sungai, mandi dalam bonda, mengail ikan, atau melukah atau memasang tajur mencari ikan.

Aku membesar dalam kampung yang luas terbentang.

Sesekali datang musim bola.

Sesekali datang musim guli dan gasing.

Kami bermain, bermain dan bermain.

Budak-budak kampung lebih banyak bermain dari belajar.

Satu pagi di sekolah aku dipanggil oleh Cikgu Jaaman Abu.

Ini waktu rehat.

Aku sampai ke bilik darjah enam.

Emak aku ada sama.

Murid dan guru sedang berehat jam 10.00 pagi.

Cikgu Jaaman menghulur kuih karipap pada aku.

Aku mengambil kuih dalam suasana yang tak selesa.

Aku tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Aku hairan kenapa mak aku ada bersama Cikgu Jaaman.

“Baca ini. Baca.” Cikgu Jaaman menghulur sekeping kertas ke tangan aku.

Aku melihatnya. Tulisan tangan Cikgu Jaaman Abu. Macam pantun tapi bukan pantun.

“Baca lah… ini sajak… sajak Chairil Anwar… sajak ‘Aku’.”

Cikgu Jaaman memberi penjelasan.

Aku merangkak-rangkak membaca:

Kalau sampai waktuku,
Ku mau tak seorang ‘kan merayu,
Tidak juga kau,
Tak perlu sedu sedan itu,

Aku ini binatang jalang,
Dari kumpulannya terbuang,
Biar peluru menembus kulitku,
Aku tetap meradang menerjang….

Aku memandang pada emak aku.

Kemudian aku pandang Cik Gu Jaaman.

Sebenarnya aku tidak tahu apa yang sedang aku baca.

“Sham. Kita akan adakan jamuan sekolah. Sambut perayaan Hari Raya, kau akan baca sajak ini. Boleh? Kena hafal. Jangan pakai surat. Boleh?”

Cikgu Jaaman memberi penjelasan.

“Beranikan hati. Kau boleh buat. Kau tak cuba kita tak tahu.”

Kata putus dari Cikgu Jaaman Abu.

Aku memandang pada emak aku.

Kemudian aku memandang pada Cikgu Jaaman Abu. Aku mengangguk dua kali tanda setuju.

Dalam darjah tiga tahun 1959 aku dipaksa berkenalan dengan sajak “Aku”.

Aku sendiri tidak tahu apa itu sajak.

Aku tidak tahu siapa penulis yang bernama Chairil Anwar ini.

Yang aku tahu aku wajib hafal sajak ini untuk aku bacakan di jamuan sambutan Hari Raya Sekolah Umum Batu Serambai tahun 1959.

Inilah kali pertama aku naik atas pentas.

Waktu berjalan.

Bila musim hujan air sungai akan naik.

Kalau hujan turun malam Jumaat maka inilah masa terbaik ketika cuti sekolah untuk budak kampung bercempera mandi sungai.

Kami yang masih belum bersunat tanpa segan silu akan mandi telanjang ramai-ramai.

Lubuk pilihan kami ialah di tepi sawah tak jauh dari jambatan di sebelah Surau Lebai Juri.

Dari atas jambatan atau dari tebing kami akan menjunam terjun ke dalam sungai yang airnya melimpah ke tepi sawah.

Hanya yang berani saja akan terjun dari jambatan.

Aku sendiri tak berani mencuba terjun dari jambatan.

Pernah pada satu pagi Sabtu ketika air melimpah setelah hujan lebat kami bercempera.

Pagi itu Yusuf kawan sedarjah aku ada bersama.

Usop ini budak kampung yang berani.

Rumahnya tidak berapa jauh dari sungai.

Bukan saja Usop berani terjun dari jambatan, kadang kala dia terjun dari pokok kundang di tepi sungai.

Aku masih dapat menggambarkan bagaimana si Usop telanjang bogel naik ke jambatan dan berlagak sebagai superman.

Lalu dia bersuara: “siapa berani lawan aku?”

Kemudian Usop akan terjun ke dalam sungai.

Di pagi Sabtu itu si Usop sedang berlakon babak “siapa berani lawan aku?”

Tiba-tiba muncul Pakcik Jaafar yang sedang mengheret basikal.

“Aku berani lawan engkau.” Pakcik Jaafar bersuara dari tepi jambatan.

Usop menoleh. Dia tak jadi terjun.

Usop mengambil seluar baju lari beredar.

Kami yang dalam sungai pun menjadi tak selesa.

Akhirnya kami juga keluar dari dalam sungai.

Ambil seluar dan baju terus balik ke rumah.

Pakcik Jaafar yang mengheret basikal itu ialah ayah si Usop. Aduh!

Pakcik Jaafar ini potong stim pesta mandi sungai kami pada pagi itu.

Kesah Usop “siapa berani lawan aku?” menjadi bualan kami budak-budak Batu Serambai.

Lama juga Usop tak bersama kami bercempera mandi sungai.

Mungkin dia segan dengan apa yang berlaku. Untuk kami kesah Usop ini menjadi surah klasik.

Hari berjalan, bulan beredar.

Bila sekolah nak dibuka sampai berita buruk.

Sekolah Umum Batu Serambai hanya akan ada tiga kelas sahaja, darjah satu dua dan tiga.

Murid-murid darjah empat, lima dan enam wajib pindah sekolah.

Ada dua pilihan, Sekolah Umum Amar Penghulu tiga batu dari Batu Serambai atau ke Sekolah Umum Kuala Klawang.

Aku terpaksa berpisah dengan kawan-kawan budak kampung Batu Serambai.

Ramai memilih untuk ke Amar Penghulu.

Aku memilih untuk kembali ke sekolah di pekan Kuala Klawang.

Kini aku menjadi budak setengah kampung dan setengah bandar.

Darjah empat tahun 1960 di musim cuti panjang emak aku diarahkan untuk mengikuti kursus cara pendidikan yang moden.

Emak aku menjadi guru di zaman Jepun.

Pendekatan baru, cara mengajar baru yang lebih moden wajib diketahui oleh semua guru.

Maka emak aku wajib berkursus.

Kursus dua minggu ini dijalankan di Seremban.

Emak aku menyewa rumah di Ampangan Seremban.

Aku dan adik aku membonceng sama ke Ampangan dengan alasan untuk menemani emak yang sedang berkursus.

Hari pertama di Ampangan aku terasa tersilap kerana mengekor emak aku.

Aku jadi kera sumbang tanpa kenalan.

Adik aku menjadi teman setia.

Hari kedua aku nampak seorang budak sedang berjalan ke arah rumah sewa kami.

Dia kelihatan sebaya dengan aku.

Ketika ini aku teringat kepada apa yang dilakukan oleh Ahmad Endut bila ternampak aku kali pertama.

Tanpa segan dan silu aku membuat perkara yang sama, aku hampiri budak ini.

Dengan senyum yang luas aku membuka mulut dan bertanya: “Padang di sini kat mana?”

Soalan seperti aku ini budak sesat agar dilihat tidak mengancam.

“Saya pun tak tahu… saya bukan dari sini.” Jawapan aku terima.

“Dari mana?”

“Dari Tapah. Datang cuti sekolah. Kakak kerja di Seremban.”

“Ooo. Tapah ni … kat mana?”

“Di Perak. Dekat Ipoh.”

Satu nama tempat yang membuka mata budak kampung dari Jelebu yang belum pernah sampai ke Perak.

Nama kawan baru aku Azmi. Dia sebaya dengan aku.

Adiknya Kero baru darjah tiga dan adik perempuan Ina baru nak masuk sekolah.

Rumah sewa kakak mereka di sebelah rumah sewa yang mak aku sewa.

Maka kami sama-sama pendatang ke Ampangan.

Kami mula berkawan-kawan dan meneroka wilayah Ampangan.

Tidak banyak yang dapat aku lakukan.

Aku budak kampung mati akal untuk bermain dalam kawasan perumahan yang agak sempit.

Aku sudah biasa dengan sawah terbentang dan sungai mengalir.

Di Ampangan rumah yang rapat-rapat merimaskan.

Sesudah dua minggu kursus emak aku tamat.

Kami akan pulang ke Jelebu.

Sehari sebelum berangkat pulang aku berjumpa Azmi.

“Mi.. esok aku pulang ke Jelebu. Nanti kalau ada chan kita jumpa lagi? Kau tulis surat pada aku. Ni alamat aku. Aku nak juga sampai ke Tapah satu hari nanti.”

“Saya pun akan pulang ke Tapah. Kakak akan hantar. Sekolah nak buka. Ina nak mula sekolah.”

Aku menghulurkan alamat kepada Azmi. Azmi pula menuliskan alamat rumahnya di Tapah. Setelah bertukar alamat kami berpisah.

Sekolah Melayu dibuka pada hari Ahad tetapi pejabat pos tutup hari Ahad.

Hari Isnin aku ke Pejabat Pos Kuala Klawang.

Dengan setem 10 sen aku pos kan surat bersampul biru kepada Azmi.

Tidak banyak yang aku tulis hanya bercerita yang aku, mak dan adik aku selamat sampai ke kampung.

Aku tak sabar menunggu surat jawapan dari Azmi. Dia berjanji akan membalas surat aku.

Surat ke kampung Batu Serambai akan dibawa oleh Posmen Maniam dari Pejabat Pos Kuala Klawang.

Maniam naik basikal dari Kuala Klawang hingga ke Amar Penghulu.

Sistem pos amat mudah.

Maniam hanya perlu meninggalkan surat-surat ini di beberapa buah kedai di tepi jalan.

Kalau ada surat berdaftar Maniam akan beri tahu tuan kedai.

Esoknya tuan empunya surat akan menunggu.

Kalau telegram sampai maka posmen bermotosikal akan datang ke rumah.

Jaringan tolong menolong di kampung amat kuat. Telegram pun boleh diambil oleh orang lain. Yang penting sampai ke tangan tuan empunya.

Aku sekolah pagi. Waktu petang lepas makan tengah hari aku akan pergi merayau ke kedai Makcik Jarah dengan harapan ada surat dari Tapah.

Seminggu aku menunggu.

Tak ada surat dari Azmi.

Aku putus harapan hingga dua minggu kemudian satu petang tanpa di rancang aku menghampiri kedai Makcik Jarah.

Aku nampak Raja Hamzah ada di kedai.

Tiba-tiba Raja Hamzah menggamit aku dan menayangkan sekeping surat.

Aku berkejar untuk mengambilnya.

“Ni sapa ni?” Raja Hamzah bertanya dengan muka yang ketat lagi masam.

Aku melihat nama di sampul surat.

Jelas nama aku.

Sahih ini surat yang aku tunggu dari Azmi.

“Surat saya.”

Aku ambil dengan suka hati dan terus berlari ke rumah.

Di atas rumah emak dan kakak aku sedang melipat kain.

Aku dengan tak sabar terus bersuara kuat “siapa berani lawan aku?”

Aku menayangkan surat itu seperti lakonan Usop di atas jambatan.

“Mak surat dari Azmi… yang di Ampangan dulu… sapa berani lawan aku?”

Emak dan kakak aku yang tak tahu hujung pangkal menjadi tercengang.

“Surat apa?” Emak aku bertanya.

“Surat untuk Raja Hishamuddin Rais. Ini surat untuk Raja Hishamuddin”. Aku menepuk perut dan ketawa.

“Tak sakit perut pun. Tak ada daulat pun. Tak ada tulah… tak cuba kita tak tahu… aku dah cuba… tak sakit perut pun. Ini buktinya. Ini surat untuk Raja Hishamuddin.”

Aku ketawa dan menunjukkan surat pada kakak aku.

“Apa berita dari Azmi?”

Emak aku bertanya dengan suara seorang guru.

Secara rasional Emak aku menerima hakikat aku tidak sakit perut.

Epilog:

Pada tahun 1960 dalam darjah empat aku membuktikan tentang sakit perut, daulat dan tulah.

Aku akan terus berterima kasih kepada Cikgu Jaaman Abu yang memberi aku nasihat, “tak cuba kita tak tahu”.

Cikgu Jaaman Abu ini juga bertanggungjawab memperkenalkan aku kepada sajak “Aku”, kepada Chairil Anwar dan sastera.

Hasilnya aku menjadi binatang jalang yang tidak memerlukan sedu sedan itu.

Kalau pun peluru menembusi kulitku, aku tetap akan meradang dan menerajang.