- Iklan -
Kolum

Hikayat ubi kayu Jo Bedul dan lawak-lawak lain

Para Wak Dogol akan terus bersama kita di Parlimen dengan pelbagai jenaka.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Ketika saya di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) pada tahun 1969, saya berkenalan dengan "interlude". Interlude ini satu tradisi tegar di MCKK. Interlude ini lahir dari budaya pertunjukan konsert.

Dalam pementasan drama ketika babak satu nak masuk ke babak dua, tirai akan dilabuh. Set baru akan diatur. Ketika mengatur set di belakang tirai, interlude akan muncul. Interlude adalah aksi pendek di hadapan tirai. Tujuan untuk mengambil masa memasang set baru untuk babak baru di belakang tirai.

Interlude ini aksi lawak pendek oleh dua atau tiga pelakon. Lawak interlude ini cukup diminati dan menjadi budaya pentas di MCKK.

Bila saya mengajar di Aswara tahun 2007, saya berjumpa pula dengan "extra-turn". Extra-turn muncul dalam budaya Bangsawan – seni teater tradisional Melayu. Extra turn Bangsawan ini sama konsepnya seperti interlude di MCKK.

Extra-turn dan Interlude adalah selingan – masa untuk mengubah set di belakang tirai. Mungkin set Istana Raja beralih ke bilik tidur Tuan Puteri. Selingan ini sentiasa lawak. Sentiasa menghibur.

Parlimen juga adalah teater. Sesekali Agong hadir. Bila Agong hadir, para YB memakai kostum yang pelik dan yang luar biasa – bersongkok, bertanjak dan berdestar. Para YB berteater di Parlimen untuk memutar kepala pengundi.

Teater ini untuk menunjukkan betapa hebat dan agungnya para YB. Justeru boleh melanun secara halal.

Dalam Parlimen, sama seperti dalam teater atau bangsawan, ada Tukang Lawak. Dalam Bangsawan Melayu ada watak Wak Dogol. Sosok ini membuat extra-turn dan membuat interlude. Jika tidak Parlimen jadi kering dan bosan. Hakikatnya Wak Dogol wujud dimana-mana termasuk dalam Parlimen.
 
Dalam istana pun ada Wak Dogol – court jester. Melawak dan menceriakan tamu dan kaum kerabat diraja. 

Dalam Parlimen kita terbaca ketika Dewan bersidang kerap kali ada YB yang menjadi Wak Dogol. Paling menarik bila menteri beralih watak dan terus menjelma menjadi Wak Dogol. Satu Malaysia menyumpah seranah sambil ketawa.

Contoh Wak Dogol terkini dan terbaik ialah Mat Maslan. Contoh Wak Dogol klasik ialah bekas pemimpin MIC Samy Vellu yang wajib mendapat pingat emas dengan lawak-lawaknya.

Mat Maslan terjun dengan lawak-lawaknya.

Samy Vellu terjun dengan labu-labunya. Biarkan. Biarkan.

Setelah PRU15, muncul Wak Dogol baru di Parlimen. Namanya Sany Hamzan. Malah Sany bekas ketua Pemuda Amanah ini sedang bersaing hebat dengan Mat Maslan untuk menjadi Pelawak Parlimen sesi PRU15..

Tup tup tetiba dalam bulan puasa, ada pendatang baru yang memeranjatkan. Wak Dogol baru ini cuba menceriakan suasana ekonomi negara yang muram. Ketika nilai ringgit jatuh, ketika harga barang melonjak naik.

Muncul Johari Abdul sebagai Wak Dogol terkini.

Sosok ini tak ada kerusi Parlimen. Jo Bedul kalah dalam PRU15. Tapi dilantik sebagai Speaker. Jo Bedul diberikan peranan untuk mendogolkan Parlimen. 

Jo Bedul ini sama seperti Saifuddin Nasution, Panglima Sang Setia kepada Anwar Ibrahim. Dua sosok ini adalah orang kanan dan tukang pukul Anwar. Dua-dua tidak ada kerusi Parlimen.

Pada tahun 1793, Marie Antoinette berkata "Kalau tak ada roti makanlah kek". Latar belakang kata-kata yang terkenal hingga hari ini dilafazkan oleh Permaisuri Perancis. Ucapan dilafaz ketika rakyat Perancis sedang bangun memberontak kerana kurang makanan.

Kepala Permaisuri Antoinette dipenggal bersama-sama kepala suaminya King Louis ke-16. Akhirnya Perancis menjadi sebuah republik.

Tahun 2024, Jo Bedul, seperti Marie Antoinette, berkata, jika tak ada beras, sila makan ubi kayu. Kah kah kah.

Latar belakang kata-kata Jo Bedul itu sama seperti di zaman Revolusi Perancis. Tahun 1793 di Perancis roti hilang dari pasaran. Tahun 2024 di Malaysia beras tempatan hilang dari pasaran. 

Jangan risau, kepala Jo Bedul masih lekat dilehernya. Malaysia memerlukan ramai Wak Dogol untuk menghibur hati dalam suasana ekonomi meleset, ringgit jatuh dan perang di sana sini.

Tapi ada satu perbezaan hakiki antara roti Antoinette dengan ubi kayu Jo Bedul.

Ubi kayu adalah ingatan bersama – collective memories - warga Tanah Melayu dalam zaman Jepun.

Jo Bedul yang menjadi Wak Dogol mungkin tidak sedar akan cerita kesengsaraan rakyat makan ubi kayu di zaman Jepun. Malah selain dari "pedang panjang Jepun" yang diingati oleh rakyat ialah beras putih panjang – bukan Basmati dari Sungai Ganges, tapi ubi kayu.

Untuk Bani Melayu, ubi kayu ini mengingatkan kembali bukan saja kesengsaraan di zaman Jepun, malah kepada ingatan ngeri kezaliman pemerintahan Jepun.

Justeru tahun pertama Kerajaan Titah akan dinobatkan dengan berita ubi kayu. Ubi kayu zaman Jepun, kita teringat muka dan sejarah Jeneral Yamashita penakluk Tanah Melayu.

Ubi kayu tahun 2024, kita akan tergambar muka dan sosok Johari Abdul.

Yamshita digantung mati seperti Marie Antoinette. Johari Abdul masih diperlukan untuk menelurkan lawak-lawak baru untuk mengsangsarakan rakyat.

Para politikus kita bercakap seolah-olah ada kekosongan di antara dua telinga mereka. Cakap ikut sedap. Bercakap dulu kemudian berfikir.

Satu ketika dulu – sebelum zaman Internet/Youtube/Tik Tok – bila para YB atau menteri bercakap bangang, maka wartawan akan dituduh salah kutip dan salah lapor..

Hari ini di zaman TikTok, salah kutip dan salah lapor ini tidak lagi boleh dijadikan Iron Dome dan perisai keselamatan politikus bangang.

Ucapan Ubi Kayu Jo Bedul dapat dilihat tanpa ada jari lima Fahmi Fadzil cuba mengaburi.

Apa yang jelas, Jo Bedul bercakap tanpa berfikir. Sebenarnya ada beberapa saat sebelum kita membuka mulut di mana kita diberi peluang untuk berfikir. Politikus tidak ada keupayaan ini. Cakap ikut sedap mulut.

Justeru ucapan dilihat bebal sejarah. Bebal latar belakang. Bebal fakta. Malah Jo Bedul sendiri gagal memahami apa bunyi yang terkeluar dari mulut dirinya sendiri.

Ini berbeza dari menggarap tulisan. Bila menulis kita ulang baca berkali kali, ubah sana ubah sini untuk menjadikan tulisan itu kukuh dan padu.

Malah menulis dengan suasana melawak juga bukan satu yang enteng. Mengkritik, mengutuk, memperlekeh disadur dengan lawak - semuanya memiliki seni tersendiri.

Hikayat Ubi Kayu Jo Bedul heboh dalam Internet. Kutukan demi kutukan terpancut dari pelbagai sudut. Bukan saja cadangan makan ubi kayu ganti beras tidak masuk akal, malah hakikatnya, sekilo ubi kayu lebih mahal dari sekilo beras putih tempatan!

Mengubah Bani Melayu dari makan nasi bukan suatu yang baru. Biar saya surahkan disini hikayat lama pada satu ketika yang lama dulu.

Projek roti ganti nasi

Di zaman UITM dipanggil ITM, ketika ITM tercacak sendirian atas bukit yang gondol, ketika penghuni ITM sentiasa membawa payung kerana wilayah Shah Alam seperti padang pasir - ketika itu dicadangkan, malah dijalankan, satu projek roti ganti nasi. 

Percubaan ini dilakukan di asrama ITM. Dengan bangganya budak-budak kampung dari Ulu Tembeling atau Jemapoh diberi makan roti. Nasi dihilangkan dari menu hostel.

Ini dengan harapan anak-anak siswa Melayu di ITM yang makan roti akan menjadi bijak bestari seperti Albert Einstein atau Yuri Gagarin.

Projek roti ganti nasi di ITM gagal meleset. Lidah dan perut Melayu tidak dapat dipisah dari beras dan nasi. Melambak-lambak roti keping terbuang. Yang gembira hanya Gagak dan Pipit Pekan.

Sejarah roti ITM ini mungkin Jo Bedul tidak mengetahui. Atau jika Jo Bedul di ITM ketika itu, mungkin dia akan mencadangkan agar nasi diganti dengan keladi.

Persoalan hakiki yang masih belum dijawab ialah ke mana hilangnya BPT – beras putih tempatan?

Saya sendiri hairan sudah berbulan-bulan kehilangan beras tempatan ini menjadi induk berita tanpa ada pencerahan yang tuntas.

Pertama, apakah pak tani di Jelapang Padi tidak lagi menanam padi?

Kedua, apakah pemanasan dunia hari ini telah mengurangkan hasil padi di Kedah?

Ketiga, jika ada kartel padi, mengapa tidak dilawani seperti Mat Sabu berjaya melawan kartel telur?

Semua soalan ini perlu dijawab. Orang ramai perlu mendapat pencerahan. 

Belum pun kes ubi kayu Jo Bedul, mengenap muncul pula Mahfuz Omar membawa berita kas kas.

Jo Bedul cadang ubi kayu ganti nasi. Si Mahfuz cadang kas kas ganti bawang. Ini kerana harga bawang meledak naik.

Saya kurang arif tentang kas kas. Lalu saya bertanya kepada Lebai Google apa bendanya kas kas ini.

Ini jawapan Lebai Google: Kas kas merupakan biji-bijian yang berasal dari bunga popi atau nama saintifiknya Papaver somniferum; Kas kas dituai dengan mengeringkan pod atau lenggai bunga popi yang sudah masak ranum; Menurut Ensiklopedia Britannica, kas kas tidak mengandungi unsur narkotik kerana cecair candu hanya terbentuk sebelum bunga popi benar-benar masak. Namun sedikit kandungan alkaloid masih wujud.

Awalnya saya tidak percaya berita kas kas ganti bawang. Mungkin ini cara musuh politik Amanah nak memperlekeh Mahfuz kerana dia kini menjawat pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang. 

Cari punya cari, saya temui memang benar kas kas ganti bawang ini cadangan Mahfuz.

Hendak memasak bawang harga mahal, boleh diganti dengan kas kas, kata Mahfuz.

Aduh! Ayat ini bunyinya bangang. Kas kas rempah. Bawang sayuran diperlukan untuk menumis.

Pada hemat saya, apa yang sah dan terbukti jelas ialah si Mahfuz ini tidak pernah memasak dan tidak pernah ke dapur. Jika dia memasak pasti dia tahu peranan bawang amat berbeza dari peranan kas kas.

Atau apakah Si Mahfuz ini mahu bersaing dengan Mat Maslan untuk dinobat sebagai Wak Dogol Negara?

Mahfuz wajib sedar dia juga akan bersaing hebat dengan Jo Bedul.

Atau si Mahfuz ini tahu kas kas ini ada unsur candu? Jika banyak digunakan kita akan khayal. Rakyat yang khayal akan jadi lembu diikat hidung.

Bila Jo Bedul kata makan ubi kayu semua ikut makan ubi kayu. Mat Maslan kata ikan mahal beli daging. Semua beli daging. Pakar formula Rafizi Ramli kata jika makan di luar mahal, sila masak sendiri.

Semua akur dengan arahan kerana semua khayal bercandu memasak pakai kas kas ikut arahan Mahfuz Omar. 

Jika Samy Vellu, Mat Maslan, Rafizi, Sany Hamzah, Jo Bedul, Mahfuz Omar dan para YB yang sewaktu dengan mereka tidak wujud, pasti ada Wak Dogol lain sebagai pengganti.

Justeru untuk Parlimen PRU15 ini, para Wak Dogol ini akan terus bersama kita. Mereka akan berextra turn, berinterlude sehingga ada yang mati tercekik makan ubi kayu atau tertelan segumpal biji kas kas.