Wednesday, September 29, 2021

Ada apa dengan istilah ‘wilayah’,’negeri’?

Sesuatu istilah yang digunakan secara rasmi dalam perundangan tertinggi dan urusan politik negara adalah berasaskan konteks pembudayaan bahasa.

Other News

Baru-baru ini, alam netizen mengalami sedikit gegaran ringan mengenai kononnya pertukaran istilah negeri kepada wilayah dalam merujuk negeri-negeri Sabah & Sarawak.

Ini ekoran suatu kenyataan oleh Perdana Menteri (PM) kita di Sarawak baru-baru ini di mana beliau merujuk kepada Sabah dan Sarawak sebagai sebuah wilayah.

Jelas, PM kita pun satu, main cakap sahaja sesuatu tanpa menyedari yang dia sedang memberi komen terhadap satu isu berapi dan lupa yang kita sedang hidup di era di mana silap koma pun boleh cetuskan kekeliruan dan polemik politik yang liar.

Jadi ada apa dengan polemik ini dan mengapa  rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak cepat terbakar jiwa dengan isu istilah ini.

Mari kita kaji sedikit konteks dan maksudnya.

Sesuatu istilah yang digunakan secara rasmi dalam perundangan tertinggi dan
urusan politik negara adalah berasaskan konteks pembudayaan bahasa dari aspek sejarah dan warisan tradisi sosio politik sesebuah negara.

Jelas di sini, sebagai negara bekas jajahan Inggeris, kita mewarisi sistem dan istilah-istilah politik yang membawa maknanya tersendiri.

Ini termasuk istilah “state” atau negeri.

Jika dirujuk dari aspek perundangan, menurut Perlembagaan India (Artikel 12) yang juga seperti Malaysia yang amalkan sistem Westminster, istilah “state” adalah istilah yang menanda rujuk sesuatu kesatuan dan negeri, Parlimen dan badan perundangan negara dan semua pihak berkuasa tempatan atau lain-lain dalam wilayah India atau di bawah kawalan pemerintah India.

Mahkamah Agung India juga menjelaskan interpretasi tujuan istilah “state” sangat dekat dengan fungsi pemerintah atau kedaulatan.

Sebenarnya, istilah “state” juga adalah suatu bidang kuasa yang diwujudkan oleh Perlembagaan kepada sesuatu wilayah untuk diberi kuasa untuk membuat undang-undang.

Jadi apakah tidak sesuai untuk merujuk Sabah dan Sarawak sebagai “state” ataupun negeri?

Istilah “wilayah” pula dalam ertikata sistem amalan Westminster adalah bererti kawasan di bawah sesuatu pemerintahan.

Wilayah adalah kawasan tanah yang merupakan sebahagian dari negara, mirip dengan negeri atau daerah.

Ia juga membawa maksud wilayah tanah yang dikuasai politik oleh negara luar ataupun koloni.

Seperti mana Kanada pernah menjadi wilayah jajahan British dan juga contohnya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah ibu kota Persekutuan Malaysia ataupun wilayah jajahan kerajaan persekutuan.

Jadi adalah sangat aneh jika kita hendak merujuk kepada Sabah dan Sarawak sebagai wilayah Malaysia yang membawa maksud Wilayah Jajahan Negara Melayu.

Pasti ini bukan sesuatu yang membawa semangat inklusif dan menenggelamkan kedaulatan dan jati diri sosio politik Sabah dan Sarawak.

Dalam kita hendak membina negara bangsa iaitu bangsa Malaysia, keseimbangan sejarah dan warisan sosio politik dan aturan istilah-istilahnya harus diperjelaskan dan difahami.

Sememangnya pemikiran warganegara di Sabah dan Sarawak diolah dengan satu konstruksi sosial yang terlalu simplistik dan tanpa perdebatan sehingga menjadi sebahagian dari kebiasaan.

Ini masanya untuk kerajaan mengkaji kesemua istilah istilah dan maksudnya dalam konteks Malaysia dan warisan sejarah dan kedaulatan dan jati diri dan kekendirian masyarakat Sabah dan Sarawak terutamanya masyarakat orang asal.

Ini kerana penggunaan wilayah lebih sesuai digunakan untuk menandakan wilayah adat sesuatu etnik di bawah kerajaan negeri atau kuasa politik Sabah.

Seperti yang dikatakan sebelumnya, istilah-istilah yang digunakan harus mencerminkan pembudayaan bahasa ditanah kita dari aspek sejarah dan amalan.

Kita bukan Filipina atau Indonesia untuk mengunakan istilah wilayah atau provinsi seperti mana juga kita tidak gunakan istilah “gratis” untuk merujuk kepada free/percuma kerana kita tidak mewarisi budaya bahasa Belanda.

Istilah Sabah Sarawak sebagai sebuah negeri tidak salah dan lebih tepat kerana ianya satu istilah yang merujuk kepada kuasa politik dan bidang kuasa berdaulat.

Istilah wilayah mempunyai konotasi jajahan dan bermasalah dan merujuk kepada wilayah-wilayah jajahan British yang digabungan dalam persekutuan baru bekas jajahan British iaitu Malaya yang seterusnya menjadi Malaysia.

Dalam tahun 2021, kita harus melangkah kedepan dan bergerak membina negara yang kita ingini secara bersama.

Yang lebih penting, kuasa-kuasa dan tanggungjawab yang harus dimiliki oleh kerajaan negeri untuk mendirikan negeri dan masyarakatnya mengikut acuan warisan dan cabaran akan datang adalah lebih penting dari polemik istilah.

Perlembagaan Malaysia jelas menandakan Persekutuan dinamai Malaysia terdiri daripada kesemua negeri-negeri di Malaysia, Wilayah Persekutuan dan wilayah bagi negeri  Sabah.

Masa untuk bercakap mengenai apa maksud menjadi sebahagian dari Malaysia dan penyertaan Sabah dan Sarawak dalam membina negara ini sebagai rakan sekutu.

Kita bersatu dalam kepelbagaian dan bersatu dalam satu rangka yang sama dengan mengiktiraf dari mana kita ini dan kemana kita akan pergi.

Suara Bayu merupakan pembaca MalaysiaNow

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

Follow us on Telegram for the latest updates: https://t.me/malaysianow

Subscribe to our newsletter

To be updated with all the latest news and analyses.

Related Articles