- Iklan -
Luar Sana

Badan kesihatan haiwan sokong vaksinasi selesema burung elak pandemik

Tahap penularan sebenar selesema burung yang mengakibatkan kemusnahan ekonomi dan peribadi telah menyebabkan telah menyebabkan kerajaan mempertimbangkan semula vaksinasi unggas.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seekor itik dilihat di pantai Lobos, di tengah-tengah peningkatan kes jangkitan selesema burung, di Lima, Peru 22 Februari. Gambar: Reuters
Seekor itik dilihat di pantai Lobos, di tengah-tengah peningkatan kes jangkitan selesema burung, di Lima, Peru 22 Februari. Gambar: Reuters

Kerajaan patut mempertimbangkan langkah memvaksin unggas untuk mengekang selesema burung serta mengelakkan virus itu daripada bertukar menjadi pandemik baharu, kata ketua pengarah Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).

Ratusan juta burung dan mamalia yang dijangkit di seluruh dunia dilaporkan terbunuh akibat wabak itu.

Tahap penularan sebenar selesema burung yang mengakibatkan kemusnahan ekonomi dan peribadi telah menyebabkan telah menyebabkan kerajaan mempertimbangkan semula vaksinasi unggas.

Bagaimanapun, sesetengah negara seperti Amerika Syarikat (AS), tetap enggan melaksanakannya terutamanya kerana sekatan perdagangan yang akan dikenakan. 

"Kita bebas daripada krisis Covid di mana setiap negara menyedari hipotesis pandemik adalah benar," kata Ketua Pengarah WOAH Monique Eloit kepada Reuters dalam satu temu bual. 

"Memandangkan hampir setiap negara yang menjalankan perdagangan antarabangsa kini telah dijangkiti, mungkin sudah tiba masanya untuk membincangkan vaksinasi, selain pemusnahan sistematik yang kekal sebagai alat utama (untuk mengawal penyakit itu)," katanya. 

WOAH yang berpangkalan di Paris mengadakan sesi umum lima hari mulai Ahad, dan akan menumpukan pada kawalan global terhadap selesema burung yang sangat patogenik, atau HPAI.

Tinjauan WOAH menunjukkan hanya 25% daripada negara anggotanya akan menerima import produk berasaskan ayam yang divaksin terhadap HPAI. 

Semua 27 negara anggota Kesatuan Eropah bersetuju tahun lepas untuk melaksanakan strategi vaksin selesema burung. 

Perancis, yang membelanjakan kira-kira AS$1.10 bilion (kira-kira RM5 bilion) pada 2021/22 untuk mengimbangi industri unggas bagi pemusnahan besar-besaran, ditetapkan menjadi negara EU pertama yang memulakan program vaksinasi, bermula dengan itik. 

"Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk menggunakan alat lain yang kini tersedia seperti vaksinasi. Dan ini, untuk kesihatan haiwan, untuk kesihatan awam tetapi juga untuk bertindak balas terhadap cabaran masyarakat," kata Menteri Pertanian Perancis Marc Fesneau pada pelancaran Sesi Umum WOAH.

Eloit berkata langkah EU ke arah vaksinasi boleh mendorong negara lain untuk mengikutinya.

"Jika blok seperti EU, yang merupakan pengeksport terbesar, mula bergerak ke arah itu, ia akan memberi impak yang besar," kata Eloit. 

Jabatan Pertanian AS (USDA) memberitahu Reuters pada Jumaat bahawa "demi kepentingan untuk tidak meninggalkan sebarang usaha bagi memerangi HPAI, USDA terus menyelidik pilihan vaksin yang boleh melindungi ayam daripada ancaman berterusan ini". 

Bagaimanapun, ia masih menganggap langkah biosekuriti sebagai alat paling berkesan untuk mengurangkan virus dalam kumpulan komersial, katanya dalam jawapan melalui e-mel. 

Risiko kepada manusia daripada selesema burung kekal rendah tetapi negara mesti bersedia untuk sebarang perubahan dalam status quo, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Eloit berkata vaksinasi sepatutnya memberi tumpuan kepada unggas bebas, terutamanya itik, kerana selesema burung disebarkan oleh burung liar yang berhijrah yang dijangkiti. 

Katanya, pemvaksinan ayam pedaging, yang menyumbang kira-kira 60% daripada pengeluaran ayam global, tidak masuk akal.

Strain H5N1 yang telah berleluasa dalam wabak HPAI semasa telah dikesan dalam bilangan mamalia yang lebih besar dan membunuh ribuan haiwan termasuk singa laut, musang, memerang dan kucing.