- Iklan -
Berita

Ladang ternak babi, ayam di kawasan sama langgar peraturan, kata Jabatan Veterinar

Menurut Jabatan Veterinar, ladang itu melanggar Peraturan 19 (1) yang menyatakan bahawa semua spesies haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Mengikut Peraturan 19 (1) semua spesies haiwan dan unggas lain tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi. Gambar: Pexels
Mengikut Peraturan 19 (1) semua spesies haiwan dan unggas lain tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi. Gambar: Pexels

Satu ladang babi di Seberang Perai, Pulau Pinang yang tular sebelum ini kerana menternak haiwan itu bersama ayam pedaging di dalam satu kawasan yang sama, didapati melanggar Peraturan-peraturan Pelesenan Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2020, menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

DVS dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan DVS Pulau Pinang telah mengadakan operasi bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bagi menyiasat aduan tular berkenaan, yang mengesahkan bahawa ladang itu menternak babi bersama ayam pedaging di dalam satu kawasan yang sama.

DVS memberitahu ladang itu melanggar Peraturan 19 (1) yang menyatakan bahawa semua spesies haiwan dan unggas lain hendaklah tidak dibenarkan dipelihara di ladang babi.

"Satu notis arahan telah dikeluarkan kepada pemilik ladang untuk mengosongkan ayam pedaging dari ladang babi berkenaan dalam tempoh tujuh hari," jelas DVS.

Melalui operasi yang dijalankan, DVS menyatakan ayam pedaging hidup yang diternak di ladang terbabit tidak dihantar ke mana-mana rumah sembelihan dan hanya dijual di pasaran bukan Islam dan tidak melibatkan penjualan ke lokasi lain. 

Menurut DVS, ladang babi terbabit berdaftar dengan jabatan itu tetapi tidak mempunyai lesen untuk beroperasi kerana tidak mematuhi peraturan di bawah pelesenan yang menetapkan semua ladang babi perlu menaik taraf kepada sistem kandang tertutup dan pelepasan sifar iaitu tiada sisa kumbahan terlepas ke parit awam.

Ekoran itu, Notis Pengosongan Kandang, Penutupan dan Pemberhentian Operasi telah dikeluarkan kepada ladang terbabit.

Satu kompaun di bawah Enakmen Penternakan Babi (Pulau Pinang) 2016 juga telah dikeluarkan kepada ladang berkenaan dan membawa kepada kompaun sebanyak RM7,500 atau denda RM30,000 atau/dan penjara tiga tahun tertakluk kepada Timbalan Pendakwa Raya, menurut kenyataan itu.

Bagi memastikan perkara itu tidak berulang, DVS menjelaskan semua ladang babi akan diperiksa untuk  memastikan tiada spesies haiwan dan unggas diternak secara komersial di semua ladang babi.

Surat peringatan juga akan dikeluarkan kepada semua ladang babi agar mematuhi peraturan pelesenan ternakan babi.

DVS dalam pada itu juga meminta agar video berkenaan dihentikan penularannya bagi mengelakkan kerisauan kepada orang awam.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi