- Iklan -
Berita

NGO kecewa kerajaan teruskan projek tambakan di Pulau Pinang

Persatuan Pengguna Pulau Pinang dan Sahabat Alam Malaysia merayu kepada kerajaan persekutuan dan negeri, menyebut projek itu akan memberi kesan terhadap komuniti nelayan.

Staff Writers
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan udara projek Pulau Pinang Selatan di luar Gurney Drive di Pulau Pinang.
Pemandangan udara projek Pulau Pinang Selatan di luar Gurney Drive di Pulau Pinang.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) mengulangi gesaan mereka untuk menghentikan projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSI), ketika kerja awal dilaporkan bermula hari ini. 

Dalam satu kenyataan, kumpulan itu merayu Putrajaya dan kerajaan Pulau Pinang untuk tidak meneruskan projek penambakan itu, menyebut ia akan memberi kesan terhadap komuniti nelayan tempatan.

“Selain daripada isu undang-undang, kami amat kecewa kerana kerajaan Madani bertekad untuk meneruskan projek tersebut walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan oleh nelayan termasuk PEN Mutiara, persatuan nelayan rasmi dan Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang dan semua unit perkampungan nelayan di sini,” kata mereka.

“Kerajaan Madani melafaz akan bertindak demi kepentingan awam bagi memastikan keadilan sosial, tetapi kini mengabaikan bantahan keras daripada persatuan nelayan rasmi.  Dalam hal ini ianya tidak menghala ke arah tadbir urus yang baik dan kerajaan yang prihatin.

“Tolong dengar suara mereka yang mewakili kepentingan tulen nelayan dan tidak mengalah kepada lobi pihak swasta yang mengutamakan keuntungan berbanding kesejahteraan awam. 

“Kami menggesa agar permulaan kerja penambakan ini akan dihentikan dengan segera.”

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada Mei berkata projek PSI akan diteruskan dengan pembinaan hanya satu daripada tiga pulau buatan yang dirancang di perairan Permatang Damar Laut, dekat Bayan Lepas – pengurangan kira-kira 49%.

“Hanya Silicon Island (Pulau A) seluas 2,300 ekar (930.7) akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan keseluruhan membabitkan tempoh 10 hingga 15 tahun bagi kerja-kerja tambakan, manakala Pulau B membabitkan keluasan 1,400 ekar (566.5 hektar) dan Pulau C seluas 800 ekar (323.7 hektar) tidak diteruskan,” katanya pada 11 Mei.

Tetapi CAP dan SAM berkata langkah mengurangkan skala projek tidak meredakan kebimbangan mereka atau komuniti nelayan.

“Seperti yang kami hujahkan berulang kali, projek ini tidak diperlukan kerana tanah di Seberang Perai adalah lebih daripada mencukupi untuk sebarang pengembangan aktiviti ekonomi,” kata mereka.

Mereka juga mempersoalkan permulaan kerja awal di Pulau Silikon yang menurut Chow telah bermula hari ini, menyoal sama ada kerajaan negeri mendapat kebenaran merancang untuk memulakan projek itu di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976.

“Ini adalah keperluan undang-undang yang perlu dipatuhi,” tambah mereka.

Sambil menambah nelayan mencabar kelulusan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek itu, mereka berkata belum ada tarikh pendengaran ditetapkan.

“Memusnahkan ekosistem penting yang kaya dengan kepelbagaian biologi, yang tidak boleh diganti adalah tidak wajar dan tidak masuk akal,” kata mereka.

“Kami sekali lagi merayu kepada kerajaan persekutuan dan perdana menteri khususnya, serta kerajaan negeri agar tidak memburukkan lagi ketidakadilan sosial dan alam sekitar dengan meneruskan projek penambakan ini.”