- Iklan -
Berita

Banjir kilat landa Pulau Pinang

Hujan lebat dan angin kuat yang bermula 11 pagi itu turut menyebabkan puluhan pokok tumbang dan banyak bumbung rumah di kawasan daerah Seberang Perai Utara diterbangkan angin.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Pemandangan dari udara bangunan Komtar dan Jambatan Pulau Pinang.
Pemandangan dari udara bangunan Komtar dan Jambatan Pulau Pinang.

Hujan lebat dan angin kuat yang melanda Pulau Pinang pagi ini menyebabkan beberapa kawasan termasuk pusat bandar dan perkarangan pusat pentadbiran negeri di Komtar dilanda banjir kilat sehingga menyebabkan kesesakan teruk.

Hujan lebat dan angin kuat yang bermula 11 pagi itu turut menyebabkan puluhan pokok tumbang dan banyak bumbung rumah di kawasan daerah Seberang Perai Utara (SPU), dekat Georgetown diterbangkan angin.

Antara kawasan yang dinaiki air hingga kira-kira 50 sentimeter ialah Jalan Datuk Keramat, Jalan Rangoon, Jalan Magazine, Jalan Transfer, Jalan Anson dan kawasan Tanjong Tokong di bahagian pulau manakala kawasan seberang pula di Bukit Mertajam, Teluk Air Tawar, Pokok Sena serta Kuala Muda.

Banjir kilat itu dilaporkan surut sepenuhnya kira-kira 12.30 tengah hari manakala pokok-pokok yang tumbang dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Moktar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian banjir kilat di negeri itu serta ribut yang dilaporkan di beberapa kawasan di SPU. 

"Pihak bomba terima panggilan kecemasan berhubung puluhan pokok tumbang dan beberapa bumbung rumah penduduk diterbangkan ribut di kawasan SPU tapi setakat ini tiada mangsa terlibat.

''Pihak bomba sedang memantau situasi dari semasa ke semasa dan kebanyakan pokok tumbang telah dialihkan oleh pihak berkuasa tempatan manakala bumbung rumah penduduk yang rosak akibat dilanda ribut akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini," katanya.

Kejadian ribut itu turut menyebabkan sebahagian bumbung bangunan di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang di Pongsu Seribu dekat sini turut diterbangkan ribut, namun tiada pelajar atau petugas di situ mengalami kecederaan.

Sementara itu, seorang mangsa Norhasni Abdul, 60-an berkata keseluruhan bumbung rumahnya di Teluk Air Tawar, dekat Georgetown diterbangkan angin dan menyebabkan air hujan masuk ke dalam rumahnya.

Katanya kejadian itu berlaku sangat pantas dan mereka sekeluarga tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumahnya terutama barangan elektrik.

"Saya baru sampai di rumah ketika hujan lebat kerana balik dari berniaga dan tiba-tiba angin kuat...terus terbangkan semua bumbung rumah, kami tak sempat buat apa-apa dan hanya fikir selamatkan diri sahaja ketika itu.

"Jumlah kerugian saya tak tahu lagi, saya harap pihak berkuasa dapat membantu saya untuk membetulkan bumbung rumah kami secepat mungkin supaya kami sekeluarga dapat tinggal dengan selamat," katanya ketika dihubungi, hari ini.