- Iklan -
Berita

Tiada peruntukan sama rata Adun Pulau Pinang, kata ketua menteri

Chow Kon Yeow berkata walaupun peruntukan akan disediakan untuk semua Adun, sama ada daripada kerajaan atau pembangkang, tetapi jumlahnya tidak akan sama.

Staff Writers
1 minit bacaan
Kongsi
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat sumpah sebagai Adun Padang Kota di George Town, 29 Ogos. Gambar: Bernama
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow mengangkat sumpah sebagai Adun Padang Kota di George Town, 29 Ogos. Gambar: Bernama

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata negeri itu tidak akan mengikut jejak langkah Kelantan dalam menyalurkan peruntukan sama rata kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.

“Kita (kerajaan negeri) akan meneruskan dasar pemberian peruntukan sama kepada Adun, sama ada kerajaan mahupun pembangkang secara kekal tetapi (nilai peruntukan) tak sama rata,” katanya dipetik Bernama semalam.

Chow ditanya sama ada kerajaan negeri gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan menyalurkan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang sama seperti yang dilakukan kerajaan Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dipimpin Perikatan Nasional (PN). 

Beliau juga berkata semua wakil rakyat yang baru dipilih akan menggunakan baki peruntukan yang tidak digunakan yang diberikan kepada wakil rakyat terdahulu untuk kawasan mereka. 

Chow berkata masih terdapat baki peruntukan yang tambahnya akan digunakan untuk suku keempat tahun ini, sebelum peruntukan baru diumumkan.

“Bagi (11 Adun) pembangkang adalah sama, kalau ada baki peruntukan itu akan digunakan baki peruntukan itu,” katanya.

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud berkata pada 23 Ogos lalu bahawa Adun akan menerima peruntukan sama rata daripada kerajaan negeri. 

Beliau berkata kerajaan negeri akan melayan semua Adun secara adil termasuk daripada pembangkang kerana mereka semua dipilih oleh rakyat. 

Pada pilihan raya 12 Ogos lalu, PAS dan Bersatu menyapu bersih 43 daripada 45 kerusi Dewan Undangan Neger (DUN) yang dipertandingkan.

Dua kerusi lagi dimenangi oleh Hafidzah Mustakim (Kota Lama) dari PH dan Mohd Syahbuddin Hashim (Galas) dari BN.

Di Pulau Pinang pula, PN memenangi 11 daripada 40 kerusi dalam DUN, dengan selebihnya kepada gabungan PH-BN.