- Iklan -
Luar Sana

Brazil isytihar darurat kesihatan haiwan 180 hari selepas kesan kes selesema burung

Setakat ini negara itu mengesahkan lapan kes H5N1 dalam burung liar, termasuk tujuh di Espirito Santo dan satu di Rio de Janeiro.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Satu tabung uji berlabel ‘Selesema Burung’, telur dan sekeping bendera kebangsaan Brazil dilihat dalam ilustrasi pada 14 Januari. Gambar: Reuters
Satu tabung uji berlabel ‘Selesema Burung’, telur dan sekeping bendera kebangsaan Brazil dilihat dalam ilustrasi pada 14 Januari. Gambar: Reuters

Brazil semalam mengisytiharkan darurat kesihatan haiwan selama 180 hari selepas negara itu mengesan kes pertama virus selesema burung pada haiwan liar, demikian menurut dokumen yang ditandatangani oleh Menteri Pertanian Carlos Favaro. 

Jangkitan sub jenis selesema burung H5N1 pada burung liar tidak mencetuskan larangan perdagangan, berdasarkan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia. 

Bagaimanapun, kes selesema burung di ladang biasanya mengakibatkan keseluruhan kawanan terbunuh dan boleh menyebabkan sekatan perdagangan dari negara pengimport. 

Brazil adalah pengeksport daging ayam terbesar dunia dengan nilai jualan AS$9.7 bilion (kira-kira RM44 bilion) tahun lalu.

Setakat ini negara itu mengesahkan lapan kes H5N1 dalam burung liar, termasuk tujuh di Espirito Santo dan satu di Rio de Janeiro. 

Menurut Kementerian Pertanian negara itu, pusat operasi darurat diwujudkan bagi menyelaras, merancang dan menilai "tindakan nasional berkaitan dengan selesema burung."

Meskipun negeri pengeluar daging utama Brazil terletak di selatan, namun kerajaan negara itu kini dalam keadaan berwaspada selepas kes berkenaan dikesan.

Ini kerana selesema burung dalam kalangan burung liar di negara lain kebiasaannya disusuli penularan pada haiwan ternakan komersial.

Saham syarikat pengeksport ayam terbesar dunia berpusat di Brazil BRF SA, melonjak 3.6% sebelum pengumuman kerajaan itu dan berakhir 0.5% lebih rendah selepas pengisytiharan berkenaan. 

Pada hujung minggu lalu, Kementerian Kesihatan mengambil sampel 33 individu yang disyaki dijangkiti selesema burung di Espirito Santo, namun semunya dikesan negatif sub jenis H5N1.