- Iklan -
Luar Sana

Google tarik balik aplikasi permainan ‘Slavery Simulator’ selepas bantahan Brazil

‘Slavery Simulator’ adalah permainan video berbahasa Portugis yang menyaksikan pemain boleh menjual beli hamba dan menyusun strategi untuk menghalang sebarang pemansuhan perhambaan bagi mengumpul kekayaan maya.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar ilustrasi menunjukkan tangkap layar satu permainan video yang dipanggil 'Slavery Simulator', di Rio de Janeiro, Brazil, pada 26 Mei. Gambar: AFP
Gambar ilustrasi menunjukkan tangkap layar satu permainan video yang dipanggil 'Slavery Simulator', di Rio de Janeiro, Brazil, pada 26 Mei. Gambar: AFP

Google telah menarik balik aplikasi permainan yang membenarkan pemain membeli, menjual dan menyeksa "hamba" maya berkulit hitam selepas bantahan berunsurkan perkauman di Brazil. 

Dikenali sebagai "Slavery Simulator," permainan berbahasa Portugis itu menyaksikan pemain boleh menjual beli hamba dan menyusun strategi untuk menghalang pemansuhan perhambaan bagi mengumpul kekayaan maya.

Menurut pejabat pendakwaan, pihaknya telah membuka kertas siasatan berhubung “ucapan berunsur kebencian” berkaitan permainan video itu yang dimuat turun oleh ratusan pengguna telefon pintar.

Pembangun aplikasi itu sendiri telah membuat penafian yang mengutuk "semua jenis perhambaan" dan menegaskan permainan itu hanya "semata-mata untuk tujuan hiburan." 

Selepas menarik balik aplikasi itu daripada Playstore, 

Google dalam satu kenyataan berkata, "aplikasi yang menggalakkan keganasan atau kebencian terhadap kumpulan orang atau individu tertentu kerana warna kulit atau asal usul etnik mereka" tidak akan dibenarkan pada platformnya. 

Syarikat itu mempelawa pengguna untuk melaporkan kandungan yang bersifat keterlaluan.

Kementerian Kesaksamaan Kaum Brazil berkata pihaknya telah meminta Google untuk melaksanakan langkah sewajarnya "bagi menapis kandungan yang mengandungi ucapan berunsur kebencian, sikap tidak bertoleransi dan perkauman" dan "menghalangnya daripada merebak dengan begitu mudah, tanpa kesederhanaan."

Perkauman masih menjadi masalah di Brazil, negara terakhir di Amerika yang menghapuskan perhambaan, pada tahun 1888. Lebih 56% penduduk adalah Afro-Brazil. 

"Brazil ialah salah satu negara yang mempunyai paling ramai pengguna di platform Google, dan di sana terdapat aplikasi yang mengimbas kembali era perhambaan, dengan bonus untuk mereka yang paling banyak menyeksa," kata Renata Souza, ahli Parlimen berhaluan kiri di Rio de Janeiro. 

"Ini bukan sahaja perkauman, tetapi juga fasisme," katanya kepada AFP. 

"Di Brazil, kami mempunyai gerakan neo-fasis yang tidak gentar untuk ke hadapan... kerana kekurangan peraturan di rangkaian sosial." 

Google telah bersuara menentang rang undang-undang yang bertujuan membendung maklumat salah dalam talian di Brazil, sambil mengatakan ia "serius mengancam kebebasan bersuara."

Penyokong Souza menyebut rang undang-undang itu sebagai pertahanan yang sangat penting terhadap penyebaran maklumat palsu dan ekstremisme dalam talian, tetapi pengkritik mengatakan ia sama seperti menapis kandungan.

Seorang hakim Mahkamah Agung mengarahkan siasatan dilakukan ke atas Google dan Telegram berhubung "kempen kesat" mereka terhadap rang undang-undang itu.

Sentimen perkauman semakin membuak-buak di kalangan rakyat Brazil sejak penghinaan terhadap pemain bola sepak mereka, Vinicius Junior yang beraksi untuk Real Madrid di Sepanyol. 

Lampu pada patung Christ the Redeemer di Rio de Janeiro telah dipadamkan selama sejam sebagai solidariti kepada pemain itu.