- Iklan -
Luar Sana

TikTok perkenal had masa skrin untuk pengguna muda

Remaja perlu memasukkan kod laluan untuk terus menonton video selepas 60 minit dan kanak-kanak bawah 13 tahun memerlukan ibu bapa atau penjaga menetapkan atau memasukkan kod laluan untuk tambahan masa 30 minit, kata TikTok.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
TikTok bakal memperkenalkan had masa skrin automatik selepas syarikat itu dikritik hebat kerana penggunaannya yang melalaikan kanak-kanak dan remaja. Gambar: Pexels
TikTok bakal memperkenalkan had masa skrin automatik selepas syarikat itu dikritik hebat kerana penggunaannya yang melalaikan kanak-kanak dan remaja. Gambar: Pexels

TikTok pada Rabu berkata ia akan memperkenalkan had masa skrin harian automatik selama satu jam untuk akaun milik bawah 18 tahun, selepas platform media sosial itu dikritik berhubung penggunaannya yang melalaikan golongan muda.

Remaja perlu memasukkan kod laluan untuk terus menonton selepas 60 minit dan mereka yang berumur bawah 13 tahun memerlukan ibu bapa atau penjaga untuk menetapkan atau memasukkan kod laluan untuk menambah 30 minit masa tambahan, kata TikTok.

Aplikasi perkongsian video itu berkata perubahan tersebut akan dilaksanakan "dalam minggu-minggu akan datang".

Jika akses orang muda kepada TikTok adalah melalui akaun pasangan keluarga, ibu bapa boleh menetapkan masa skrin maksimum untuk anak mereka berdasarkan hari dalam seminggu, tambah TikTok.

TikTok versi Cina, Douyin, dihadkan kepada 40 minit penggunaan harian untuk kanak-kanak bawah 14 tahun dan tidak boleh diakses untuk mereka antara 10 malam dan 6 pagi.

Ciri baharu ini merupakan tambahan kepada langkah sedia ada untuk mengawal masa skrin golongan muda seperti diperkenalkan tahun lepas yang menggalakkan remaja mendayakan pengurusan masa skrin dan pemberitahuan peti masuk mingguan yang merumiskan masa skrin pengguna.

Bagaimanapun pengguna muda masih boleh menyahpilih ciri had masa atau berbohong tentang umur mereka, seperti pada platform lain.

Laman media sosial China itu berdepan kritikan mengenai masa yang terlampau lama digunakan kanak-kanak berumur antara empat dan 18 tahun yang menonton video dicadangkan kepada mereka berdasarkan citarasa dan algoritma mereka.

Menurut kajian terbaru oleh aplikasi kawalan ibu bapa Qustodio, kanak-kanak di bawah umur menghabiskan purata satu jam dan 47 minit pada TikTok setiap hari pada 2022.

Kebimbangan tentang perlindungan data di Barat juga telah menjejaskan aplikasi yang dimiliki oleh syarikat China ByteDance, dengan Kesatuan Eropah baru-baru inimelarang kakitangan mereka menggunakan aplikasi itu pada waktu kerja.

Rumah Putih pada Isnin memberi tempoh 30 hari kepada agensi persekutuan untukmenyekat TikTok daripada semua peranti keluaran kerajaan, menetapkan tarikh akhir untuk mematuhi larangan.

Kanada juga mengharamkan TikTok dalam semua peranti kerajaan atas sebab keselamatan, dan ia mungkin menandakan permulaan tindakan lanjut terhadap aplikasi itu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.