- Iklan -
Luar Sana

PBB tuntut Rusia undur dari Ukraine

Ukraine mendapat sokongan kuat yang menyaksikan 141 daripada 193 anggota PBB menyokong, tujuh menentang manakala 32 lagi termasuk China dan India berkecuali.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Papan tanda elektronik memaparkan keputusan undian oleh delegasi yang menerima pakai resolusi mengenai Ukraine sewaktu mesyuarat peringkat tertinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di New York, 23 Februari. Gambar: Reuters

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi hari ini bagi menuntut Rusia segera dan tanpa syarat mengundurkan tenteranya dari Ukraine, genap setahun perang dengan seruan untuk keamanan yang "adil dan berkekalan". 

Ukraine mendapat sokongan kuat yang menyaksikan 141 daripada 193 anggota PBB menyokong, tujuh menentang manakala 32 lagi termasuk China dan India berkecuali. 

Menjelang ulang tahun pertama perang itu, sokongan untuk Kyiv tidak banyak berubah berbanding Oktober lalu apabila 143 negara mengundi untuk mengecam pengisytiharan penggabungan empat wilayah Ukraine oleh Rusia. 

“Hari ini, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu baru sahaja bercakap dengan sangat jelas,” kata ketua dasar luar Kesatuan Eropah, Josep Borrell. 

"Undian ini menunjukkan bahawa masyarakat antarabangsa menyokong Ukraine."

Undian itu dibuat selepas dua hari perbahasan di mana Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba menggesa masyarakat antarabangsa untuk memilih "antara yang baik dan yang jahat." 

Beliau menolak idea bahawa Kyiv hanya mendapat sokongan Barat – Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan sekutu utama mereka. 

"Undian itu menentang hujah bahawa Global South tidak berpihak kepada Ukraine, kerana banyak negara yang mewakili Amerika Latin, Afrika, Asia mengundi menyokong hari ini," kata Kuleba. 

"Sokongan adalah lebih luas, dan ia hanya akan terus disatukan dan diperkukuh," tambahnya. 

Andriy Yermak, ketua kakitangan kepada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky, melahirkan rasa terima kasih kepada mereka "yang berdiri untuk Ukraine pada ulang tahun pencerobohan Rusia tanpa provokasi." 

"Dunia memahami kebenaran berpihak kepada siapa," katanya.