- Iklan -
Luar Sana

Tiada rancangan hantar tentera British ke Ukraine buat masa ini, kata PM UK

Sehingga kini, Britain dan sekutunya telah mengelak daripada menghantar tentera secara rasmi di Ukraine untuk mengurangkan risiko konflik langsung dengan Rusia.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Britain Rishi Sunak. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Britain Rishi Sunak semalam memaklumkan bahawa kerajaan negara itu tidak mempunyai rancangan untuk mengerahkan tenaga pengajar tentera ke Ukraine dalam masa terdekat.

Sunak berkata demikian ketika mengulas komen yang dilaporkan oleh menteri pertahanannya bahawa beliau mahu memulakan latihan dengan tentera Ukraine di negara itu. 

Sehingga kini, Britain dan sekutunya telah mengelak daripada menghantar tentera secara rasmi di Ukraine untuk mengurangkan risiko konflik langsung dengan Rusia. 

Menteri pertahanan Britain, Grant Shapps, yang dilantik memegang jawatan itu bulan lalu, dalam wawancara bersama akhbar The Sunday Telegraph berkata beliau mahu menempatkan tenaga pengajar tentera ke Ukraine, selain melatih angkatan tentera Ukraine di Britain atau negara Barat lain. 

Beberapa jam selepas wawancara itu diterbitkan, Sunak berkata kerajaannya tidak mempunyai rancangan untuk menghantar tentera Britain ke Ukraine dalam masa terdekat.

"Apa yang dikatakan oleh setiausaha pertahanan ialah mungkin suatu hari nanti kami akan melakukan beberapa latihan itu di Ukraine," kata Sunak kepada pemberita pada permulaan persidangan tahunan Parti Konservatif di Manchester. 

"Tetapi itu sesuatu untuk jangka panjang, bukan di sini dan sekarang. Tidak ada askar British yang akan dihantar untuk berperang dalam konflik semasa." 

Bekas Presiden Rusia Dmitry Medvedev pada Ahad berkata mana-mana askar British yang melatih tentera Ukraine di negara itu akan menjadi sasaran oleh tentera Rusia.

Britain telah menyediakan kursus latihan ketenteraan selama lima minggu kepada kira-kira 20,000 rakyat Ukraine sepanjang tahun lalu, dan berhasrat untuk melatih bilangan yang sama pada masa depan.

Dalam wawancara dengan The Sunday Telegraph, Shapps berkata terdapat skop untuk menawarkan latihan ketenteraan di Ukraine selepas perbincangan pada Jumaat dengan ketua tentera British. 

"Saya bercakap hari ini tentang akhirnya membawa latihan lebih dekat dan sebenarnya ke Ukraine juga," katanya dipetik sebagai berkata. 

“Terutama di negara barat, saya rasa peluang sekarang adalah untuk membawa lebih banyak perkara ‘dalam negara’,” tambahnya. 

Shapps menambah bahawa beliau berharap syarikat pertahanan British seperti BAE Systems akan meneruskan rancangan untuk menubuhkan kilang senjata di Ukraine.