- Iklan -
Luar Sana

Presiden Sri Lanka yakin ekonomi mula berkembang hujung tahun ini

Ia sedang berusaha dapatkan jaminan China bagi menyokong program penstrukturan semula hutang dengan IMF, kata Wickremesinghe.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pemangku presiden Ranil Wickremesinghe (tengah) melawat kuil Buddha di Colombo pada 12 Mei lalu. Gambar: AFP
Pemangku presiden Ranil Wickremesinghe (tengah) melawat kuil Buddha di Colombo pada 12 Mei lalu. Gambar: AFP

Ekonomi Sri Lanka dijangka berkembang semula mulai akhir tahun ini dan kerajaan berharap dapat membebaskan negara daripada krisis ekonomi menjelang 2026, kata Presiden Ranil Wickremesinghe kepada Parlimen pada Rabu.

Pulau di Lautan Hindi dengan 22 juta penduduk itu bergelut dengan kegawatan ekonomi terburuk sejak merdeka daripada Britain pada 1948, yang membuatkan ia gagal membayar pinjaman selain terpaksa mendapatkan wang sebanyak AS$2.9 bilion daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

"Kita kini bergerak daripada ekonomi negatif kepada positif. Menjelang hujung 2023, kita boleh mencapai pertumbuhan ekonomi," kata Presiden Wickremesinghe dalam satu kenyataan dasar khas kepada Parlimen.

"Kita kini telah dapat meningkatkan rizab asing yang telah jatuh kepada sifar sehingga AS$500 juta."

Rizab rasmi Sri Lanka mencecah AS$2.1 bilion pada hujung Januari, tertinggi dalam tempoh kira-kira setahun, menurut data terkini bank pusat.

Rizab itu termasuk pertukaran AS$1.5 bilion dengan Bank Rakyat China, di mana Sri Lanka tidak dapat memanfaatkannya kerana ia memerlukan pulau itu mempunyai rizab tiga bulan.

Sri Lanka, melalui bantuan China, sedang berusaha untuk mendapatkan jaminan pembiayaan bagi menyokong penstrukturan semula hutang untuk memuktamadkan program IMF, tambah Wickremesinghe.

"Kita sedang berbincang secara langsung dengan China. Kita telah menerima maklum balas positif daripada semua pihak. Kita kini sedang berusaha ke arah menyatukan pendekatan negara lain dan China."

India dan Jepun, pemberi pinjaman utama Sri Lanka yang lain turut menyatakan sokongan.

Wickremesinghe berkata kerajaan boleh memulihkan ekonomi jika orang ramai bertolak ansur dengan cukai langsung yang tinggi untuk enam bulan lagi. Katanya, bulan lepas ekonomi untuk setahun penuh boleh menguncup 3.5% atau 4.0% selepas menyusut 11% tahun lepas.

"Jika kita meneruskan rancangan ini, kita boleh bangkit daripada muflis menjelang 2026. Seperti yang saya sentiasa rayu, jika semua parti di Parlimen ini menyertai proses untuk membina negara, kita akan dapat meloloskan diri daripada krisis ini lebih awal."

Kenaikan cukai pendapatan baru-baru ini telah menjejaskan pekerja bergaji, dengan kesatuan sekerja dan profesional sektor swasta membuat bantahan.

Wickremesinghe berkata matlamatnya adalah untuk mengurangkan inflasi kepada satu digit menjelang akhir tahun. Kadar inflasi utama Sri Lanka, Indeks Harga Pengguna Colombo, susut kepada 54.2% pada Januari daripada 57.2% pada Disember.