- Iklan -
Berita

Jangan cuba ajar kami pertahan kedaulatan, duta AS diberitahu

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang mengecam duta AS kerana memuji perjanjian dagang yang mencetuskan kemarahan awam.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan cuba mempertahankan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 26 Oktober, di mana Malaysia bersetuju membela kepentingan ekonomi Washington sebagai pertukaran untuk mengekalkan tarif 19% yang dikenakan oleh Donald Trump.
Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D Kagan cuba mempertahankan perjanjian dagang yang ditandatangani oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 26 Oktober, di mana Malaysia bersetuju membela kepentingan ekonomi Washington sebagai pertukaran untuk mengekalkan tarif 19% yang dikenakan oleh Donald Trump.

Seorang bekas pemimpin kanan DAP melancarkan serangan terhadap Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D Kagan, susulan kenyataannya menyambut baik perjanjian perdagangan Malaysia dan Washington baru-baru ini yang mencetuskan gelombang kecaman  dari orang ramai dan pakar atas syarat-syarat yang dilihat berat sebelah dan menghakis kedaulatan negara.

P Ramasamy, bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang yang kini mengetuai parti Urimai, berkata Kagan sepatutnya mengawal dirinya supaya tidak menambah penghinaan kepada rakyat Malaysia dengan menggambarkan perjanjian kontroversi itu sebagai satu kejayaan.

"Nasihat ringkas saya kepada duta Kagan: tolong berhenti campur tangan dalam urusan dalaman Malaysia dan jangan ajar rakyat Malaysia tentang apa yang bermanfaat untuk negara ini. Kami tahu apa yang terbaik untuk kami," katanya.

Kagan sebelum ini menyifatkan perjanjian "timbal balik" antara Malaysia dan AS, yang ditandatangani Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump pada 26 Oktober, sebagai membawa "manfaat yang begitu luar biasa" kepada kedua-dua negara.

Kenyataan itu dibuat meskipun perjanjian itu dikecam pelbagai pihak termasuk pakar ekonomi dan ahli politik, yang memberi amaran bahawa ia bakal menghakis kedaulatan Malaysia serta menyerahkan kuasa pentadbiran ekonomi kepada Washington.

P Ramasamy
P Ramasamy

Ramasamy berkata adalah tidak wajar seorang duta asing cuba "bersyarah" tentang hal ehwal Malaysia apatah lagi apabila perjanjian tersebut sarat dengan klausa yang berat sebelah dan tidak adil.

"Saya agak terkejut apabila Kagan memilih untuk menasihati Malaysia, sedangkan perjanjian AS–Malaysia ini sendiri penuh dengan kontroversi. Bagaimana Malaysia boleh memperkukuh inisiatif strategik dan ekonominya di bawah perjanjian yang menetapkan syarat tidak adil dan berat sebelah?” soalnya.

Antara yang menjadi titik kemarahan orang ramai ialah  peruntukan yang mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi melibatkan AS.

Menurut peruntukan itu, sekiranya Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan negara, Malaysia "hendaklah mengambil atau memastikan tindakan yang mempunyai kesan sama", seterusnya menamatkan dasar Malaysia untuk tidak bersekutu.

Ramasamy menuduh Kagan cuba menutup kelemahan perjanjian itu  sambil menambah Anwar telah menggadaikan hak kedaulatan Malaysia melalui perjanjian berkenaan.

Pandangan serupa semakin disuarakan ahli ekonomi, di sebalik percubaan kerajaan mempromosikan perjanjian tersebut melalui jurucakap dan penganalisis yang menyifatkannya "kejayaan" diplomatik Malaysia dalam usaha mengekalkan tarif yang dikenakan Trump ke atas barangan Malaysia.

Antaranya, pakar ekonomi terkenal Muhammed Abdul Khalid  yang berkata sejak kemerdekaan, belum pernah ada perdana menteri atau menteri perdagangan yang menyerahkan kedaulatan negara kepada kuasa asing.

"Jelas, perjanjian ini menggadai kedaulatan pada harga yang sangat murah. Persoalannya, mengapa dengan mudah menyerah diri? Adakah ada musuh dalam selimut dalam kalangan kita?" soalnya.

"Ini bukan perjanjian perdagangan, ia adalah penyerahan kepada sebuah hegemon. 

"Ini tidak banyak berbeza dengan era penasihat British dan Sultan-Sultan Melayu, yang “nasihat” mereka hakikatnya adalah perintah. Jika ini bukan penyerahan kepada kuasa asing, maka apa lagi?" tulisnya.