- Iklan -
Berita

Tak sangka saya hidup melihat kemerdekaan diserahkan, kata Mahathir di sebalik kemarahan terhadap perjanjian ditandatangani Anwar

Pemimpin berusia seabad itu pernah memecat Anwar Ibrahim pada 1998 atas alasan cuba melaksanakan dasar yang menguntungkan Barat.

MalaysiaNow
2 minit bacaan
Kongsi
Dr Mahathir Mohamad terkenal sebagai arkitek dasar nasionalis, yang mengemudi negara ke arah pembangunan ekonomi yang pesat sepanjang pemerintahannya.
Dr Mahathir Mohamad terkenal sebagai arkitek dasar nasionalis, yang mengemudi negara ke arah pembangunan ekonomi yang pesat sepanjang pemerintahannya.

Dr Mahathir Mohamad hari ini turut sama menyertai bantahan yang semakin rancak terhadap perjanjian perdagangan Malaysia-AS yang ditandatangani baru-baru ini, sambil menyifatkan dokumen itu bukanlah berupa "perkongsian" mahupun "timbal balik" seperti yang didakwa pemimpin kerajaan.

"Ia penyerahan kebebasan ekonomi yang kita bina dan telah pertahankan dengan susah payah.

"Kita setuju beli kapal terbang, gas dan mesin mereka, patuh pada peraturan digital mereka, benar mereka nikmati hasil mineral nadir bumi kita, buka pasaran kita ikut syarat mereka, dan patuh pada syarat mereka tentang dengan siapa kita boleh atau tidak boleh berniaga.

"Semua ini hanya untuk secebis pelepasan tarif," kata bekas perdana menteri itu yang terkenal dengan dasar nasionalisasi ekonomi ketika pemerintahannya yang menyaksikan pertumbuhan ekonomi pesat pada tahun 1980-an dan 1990-an.

Pada 26 Oktober, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Donald Trump menandatangani apa yang dipanggil perjanjian perdagangan timbal balik, yang disifatkan sebagai usaha meningkatkan timbal balik dan menjamin rantaian bekalan.

Di sebalik kempen media kerajaan mempromosikan perjanjian itu sebagai kejayaannya berunding mendapatkan kadar tarif lebih rendah daripada Trump ke atas barangan Malaysia, orang ramai meluahkan rasa marah di media sosial apabila butiran perjanjian menunjukkan ia mengikat dasar ekonomi, luar negara dan keselamatan negara kepada kepentingan unilateral AS, di samping amaran pengkritik dan pakar bahawa ia melucutkan kedaulatan Malaysia dan kuasa kawal selianya.

Antara yang menjadi titik kemarahan orang ramai ialah  peruntukan yang mewajibkan Malaysia menjadi pemain langsung dalam sebarang konflik ekonomi melibatkan AS.

Anwar_Trump_graphic_MnowMenurut peruntukan itu, sekiranya Washington mengenakan sekatan atau tarif ke atas mana-mana negara ketiga atas alasan keselamatan negara, Malaysia "hendaklah mengambil atau memastikan tindakan yang mempunyai kesan sama", seterusnya menamatkan dasar Malaysia untuk tidak bersekutu.

Tindakan Anwar menandatangani perjanjian mencetuskan kembali tuduhan bahawa pengerusi Pakatan Harapan itu cenderung kepada dasar AS dan Barat, antara alasan Mahathir pada 1998 untuk memecat Anwar daripada kerajaan ketika kemuncak krisis kewangan Asia.

Mahathir, yang terkenal dengan ketegasannya mempromosikan dasar nasionalisasi ketika pemerintahannya, termasuk memulakan kempen memulau barangan Britain dan menjadi dalang kepada "Serangan Subuh" pada 1981 yang menyaksikan gergasi perladangan Britain berpindah milik kepada kerajaan Malaysia, menyifatkan perjanjian perdagangan itu satu bentuk "penjajahan baru" dan "neo-kolonialisme" yang pernah dibimbangi pimpinan negara pada tahun-tahun awal kemerdekaan.

"Berhentilah guna istilah perdagangan dan kerjasama, atau berdiplomasi — akuilah yang anda telah perdagangkan kemerdekaan negara kita kerana anda tidak berani dan terlalu ingin senangkan hati kuasa asing.

"Dan kuasa itu pula ialah pihak yang menyokong dan melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin," katanya, merujuk kepada bantuan ketenteraan Washington kepada Israel.

Mahathir, yang genap usia 100 tahun pada Julai lalu, berkata beliau tidak pernah terfikir akan hidup untuk menyaksikan "bagaimana pemimpin Malaysia sanggup serah kemerdekaan kita hanya untuk nampak hebat buat beberapa minit dan diusap kepala oleh pemimpin asing".

"Tapi ini yang berlaku, dan kini kita terpaksa tunduk pada kehendak Amerika Syarikat dalam hampir semua urusan perdagangan dan ekonomi kita. Ternampak yang kita telah serah kedaulatan kita."