- Iklan -
Dunia

Ahli parlimen Asean kecam junta Myanmar laksana hukuman mati ke atas tahanan politik

Tindakan junta itu dilihat sebagai percubaan untuk membenarkan secara sah pembunuhan politik.

Bernama
3 minit bacaan
Kongsi
Salah seorang penunjuk perasaan ditembak dalam siri bantahan rakyat Myanmar terhadap junta. Gambar:AFP
Salah seorang penunjuk perasaan ditembak dalam siri bantahan rakyat Myanmar terhadap junta. Gambar:AFP

Pelaksanaan hukuman mati ke atas empat tahanan politik oleh junta tentera di Myanmar adalah perbuatan paling kejam, kata ahli-ahli parlimen Asean semalam selepas media kerajaan itu mengumumkan bahawa hukuman mati telah dijalankan pada tarikh yang tidak diketahui di Penjara Insein, Yangon.

Hukuman mati terhadap empat lelaki itu - Phyo Zeya Thaw, bekas anggota Parlimen Liga Demokratik Kebangsaan (NLD); aktivis terkemuka Kyaw Min Yu, yang juga dikenali sebagai 'Ko Jimmy'; Aung Thura Zaw; dan Hla Myo Aung - yang kesemuanya didakwa di bawah undang-undang antikeganasan, merupakan hukuman mati pertama dilaksanakan oleh mahkamah di Myanmar sejak 1988, menurut Amnesty International, yang sehingga kini menganggap negara itu sebagai telah menghapuskan hukuman mati.

Pelaksanaan hukuman mati yang mengejutkan dunia itu dilaporkan secara meluas dan menerima kecaman antarabangsa.

Dalam satu kenyataan yang mengutuk pelaksanaan hukuman itu berkata perbuatan itu harus dilihat sebagai percubaan oleh tentera Myanmar untuk membenarkan secara sah pembunuhan politik.

“Masyarakat global, dan semua anggota Asean khususnya, harus bangkit dan sedar bahawa pembunuhan itu mencerminkan sifat sebenar rejim keganasan tentera Myanmar di negara itu,” kata Eva Sundari, bekas anggota Dewan Perwakilan Rakyat di Indonesia dalam kenyataan yang sama.

Kenyataan itu turut memetik Tom Villarin, bekas ahli parlimen Filipina yang sependapat dengan Eva Sundari dan berkata kesemua yang dituduh oleh junta tentera dibicarakan secara rahsia, tidak adil dan berat sebelah tanpa perlindungan undang-undang.

“Ramai tahanan politik diseksa dan menerima pelbagai bentuk layanan kejam, tidak berperikemanusiaan atau menjatuhkan maruah, dan kini terdapat berpuluh-puluh banduan di penjara Myanmar yang boleh dihukum bunuh pada bila-bila masa,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Malaysia Charles Santiago berkata perkembangan terkini itu menunjukkan satu lagi peningkatan dalam kekejaman junta, yang timbul berikutan mereka berasa bebas daripada hukuman yang sebahagian besarnya tercetus akibat kegagalan masyarakat global untuk bertindak secara berkesan bagi menghalang junta daripada melakukan kekejaman seterusnya.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan hukuman mati itu juga menjadi bukti bahawa Majlis Pentadbiran Negara (SAC) yang diketuai Min Aung Hlaing tidak berhasrat untuk terlibat dalam sebarang dialog politik yang bermakna dengan pasukan pro demokrasi yang diketuai oleh Kerajaan Perpaduan Nasional Myanmar (NUG).

Dialog sedemikian, merupakan antara perkara penting dalam Konsensus Lima Perkara yang dipersetujui oleh negara anggota Asean dan junta Min Aung Hlaing pada April 2021, namun belum menjadi kenyataan.

“Ia satu penghinaan yang jelas oleh junta terhadap perjanjian yang ditandatanganinya itu, terutamanya apabila pengumuman pelaksanaan hukuman mati itu dibuat dua minggu selepas Duta Khas Pengerusi Asean ke Myanmar, Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn, melawat negara itu.

“Duta khas, dan anggota Asean harus mengutuk hukuman mati itu, dan memikirkan semula pendekatan mereka terhadap krisis di Myanmar dengan serius. Sebagai permulaan, mereka harus mula memberi tekanan kepada SAC dengan sekatan yang disasarkan dan larangan perjalanan di rantau ini untuk menunjukkan kepada Min Aung Hlaing dan orang-orangnya bahawa mereka tidak boleh melakukan jenayah sewenang-wenangnya,” kata Kasit Piromya, bekas ahli Parlimen dan menteri luar Thailand.

Memetik Persatuan Bantuan Tahanan Politik Myanmar (AAPP), ia berkata setakat 22 Julai terdapat 76 banduan di negara itu dijatuhi hukuman mati, termasuk dua kanak-kanak, manakala 41 orang telah dijatuhi hukuman mati tanpa hadir ke mahkamah.

Sejak rampasan kuasa pada 1 Feb 2021, sekurang-kurangnya 2,114 orang telah dibunuh oleh SAC, yang diketuai Jeneral Min Aung Hlaing, dalam kempennya untuk memberi tekanan kepada penentangan meluas terhadap pemerintahan tentera.