- Iklan -
Luar Sana

Pengeluar senjata Indonesia bekalkan peralatan ketenteraan kepada Myanmar, dakwa aktivis

Kumpulan telah memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Indonesia mendakwa bahawa tiga pengeluar senjata milik kerajaan telah menjual peralatan kepada Myanmar sejak rampasan kuasa.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Penunjuk perasaan melaungkan slogan semasa protes menentang rampasan kuasa tentera di Myanmar, di luar kedutaan Myanmar di Jakarta, Indonesia, 5 Februari 2021. Gambar: Reuters
Penunjuk perasaan melaungkan slogan semasa protes menentang rampasan kuasa tentera di Myanmar, di luar kedutaan Myanmar di Jakarta, Indonesia, 5 Februari 2021. Gambar: Reuters

Kumpulan hak asasi manusia pada Selasa menggesa Indonesia untuk menyiasat penjualan senjata yang disyaki oleh syarikat milik kerajaan kepada Myanmar, ketika republik itu cuba menggalakkan perdamaian sejak rampasan kuasa tentera 2021 yang mencetuskan konflik meluas. 

Kumpulan itu memfailkan aduan kepada suruhanjaya hak asasi manusia kebangsaan Indonesia pada Isnin mendakwa bahawa tiga pengeluar senjata milik kerajaan telah menjual peralatan kepada Myanmar sejak rampasan kuasa, menurut Feri Amsari, penasihat undang-undang kepada aktivis itu. 

Myanmar dilanda keganasan sejak tentera menggulingkan kerajaan yang diketuai oleh pemenang Hadiah Nobel Keamanan Aung San Suu Kyi lebih dua tahun lalu. 

Kumpulan yang membuat aduan itu termasuk dua organisasi Myanmar, Pertubuhan Hak Asasi Manusia Chin dan Projek Akauntabiliti Myanmar, dan Marzuki Darusman, bekas peguam negara dan pembela hak Indonesia.

Kumpulan tersebut mendakwa bahawa pengeluar senjata Indonesia PT Pindad, pembuat kapal PT PAL dan syarikat aeroangkasa PT Dirgantara Indonesia telah membekalkan peralatan ke Myanmar melalui sebuah syarikat Myanmar bernama True North.

Menurut mereka syarikat True North dimiliki oleh anak seorang menteri kerajaan tentera negara itu.

Syarikat induk pertahanan milik negara Defend ID, yang unitnya termasuk PT Pindad, PT PAL dan PT Dirgantara Indonesia, dalam satu kenyataan semalam berkata bahawa syarikat itu tidak mengeksport peralatan pertahanan ke Myanmar selepas 1 Februari 2021, ketika rampasan kuasa tercetus di Myanmar.

Pengarah PT Pindad sebelum ini memberitahu media bahawa ia tidak menjual produk kepada Myanmar sejak 2016. 

PT Dirgantara Indonesia berkata ia tidak pernah mempunyai kontrak dengan Myanmar atau pihak ketiga yang berkaitan.

True North bagaimanapun tidak segera menjawab untuk mengulas isu ini tetapi profil syarikat tidak bertarikh yang dilihat oleh Reuters menunjukkan bahawa ia mengenal pasti tiga pengeluar senjata Indonesia sebagai "rakan kongsi strategik". 

Aktivis itu berkata Myanmar telah membeli pelbagai barangan daripada syarikat itu, termasuk pistol, senapang serbu dan kenderaan tempur. 

Sebagai pengerusi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, Indonesia telah cuba untuk terlibat dengan kedua-dua tentera Myanmar dan pembangkang dengan harapan dapat memudahkan perbincangan.

Indonesia mengundi menyokong Resolusi Perhimpunan Agung PBB yang menyeru "semua negara anggota PBB untuk menghalang pengaliran senjata ke Myanmar" selepas rampasan kuasa.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia berkata ia sedang meneliti aduan itu. 

Reuters cuba menghubungi jurucakap Kementerian Pertahanan untuk mendapatkan maklum balas namun tidak berjaya.

Darusman berkata suruhanjaya hak asasi, dikenali sebagai Komnas HAM, bertanggungjawab menyiasat isu tersebut memandangkan firma milik kerajaan tertakluk kepada kawalan dan pengawasan kerajaan.

Pelapor khas PBB mengenai Myanmar melaporkan pada Mei bahawa tentera Myanmar telah mengimport sekurang-kurangnya AS$1 bilion (RM4.73 bilion) senjata dan bahan berkaitan sejak rampasan kuasa, sebahagian besarnya dari Rusia, China, Singapura, Thailand dan India.