- Iklan -
RencanaBaru Terbit

Zahid perlu bersihkan nama menerusi mahkamah, bukan peguam negara

NFA lazimnya dibuat di peringkat siasatan sebelum pertuduhan difailkan atau sebelum perbicaraan bermula, dan jauh sekali selepas tuduhan itu disahkan kukuh (prima facie).

Tun Faisal Ismail Aziz
2 minit bacaan
Kongsi

Isu berkaitan keputusan "No Further Action" (NFA) terhadap kes Presiden Umno dan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, yang melibatkan 47 pertuduhan dan telah diputuskan oleh mahkamah sebagai prima facie, bukan isu politik semata-mata. Ia adalah isu prinsip undang-undang, integriti institusi keadilan dan kepentingan awam. 

Keputusan peguam negara mengumumkan NFA terhadap satu kes prima facie berprofil tinggi ini sudah pasti menambahkan lagi sebab mengapa keyakinan rakyat terhadap perdana menteri dan institusi undang-undang negara terus terhakis.

Apabila Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan sesuatu kes sebagai prima facie case, ia membawa maksud bahawa unsur asas pertuduhan telah disokong oleh keterangan saksi dan dokumen yang mencukupi untuk memanggil tertuduh membela diri. 

Dalam undang-undang jenayah, ini bukan dapatan kecil atau bersifat teknikal, tetapi satu penemuan kehakiman yang jelas bahawa kes tersebut tidak lemah, tidak remeh dan wajar diputuskan sepenuhnya melalui perbicaraan mahkamah.

Dari sudut amalan pendakwaan, NFA lazimnya dibuat di peringkat siasatan, iaitu sebelum pertuduhan difailkan atau sebelum perbicaraan bermula, khususnya apabila bukti tidak mencukupi atau kes tidak sesuai untuk didakwa. 

Dalam kes ini, perbicaraan telah berjalan, puluhan saksi telah dipanggil, ribuan halaman dokumen telah dikemukakan, dan mahkamah telah membuat dapatan prima facie. 

Menjadikan kes pada tahap ini sebagai NFA adalah satu tindakan yang luar biasa dan bertentangan dengan amalan pendakwaan biasa. Justeru, perdana menteri dan kerajaan PH-BN wajib memberikan penjelasan yang jelas dan meyakinkan kepada rakyat berhubung tindakan luar biasa ini.

Walaupun peguam negara mempunyai budi bicara di bawah Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, kuasa tersebut bukan kuasa mutlak tanpa semakan. Prinsip undang-undang awam menetapkan bahawa budi bicara mesti digunakan secara rasional, bersebab dan demi kepentingan awam. 

Keputusan untuk menghentikan satu kes prima facie tanpa alasan yang jelas dan telus bukan sahaja menimbulkan persepsi penyalahgunaan kuasa, malah berpotensi menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kebebasan dan profesionalisme institusi pendakwaan.

Lebih membimbangkan, keputusan ini boleh dilihat seolah-olah menafikan peranan institusi kehakiman. Apabila mahkamah telah menjalankan fungsinya dan memutuskan bahawa keterangan pendakwaan adalah mencukupi, tindakan pentadbiran menamatkan kes tersebut secara tiba-tiba tanpa alasan yang kukuh, berisiko mencabar prinsip pengasingan kuasa. Dalam sistem perlembagaan, pertuduhan jenayah sepatutnya diputuskan oleh mahkamah, bukan ditamatkan melalui keputusan eksekutif selepas dapatan kehakiman dibuat.

Memandangkan kes ini melibatkan dakwaan serius, iaitu rasuah salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram terhadap seorang timbalan perdana menteri, status prima facie kes ini menuntut tahap ketelusan dan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi. 

Kegagalan membiarkan kes ini diselesaikan melalui proses kehakiman sepenuhnya hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa wujud layanan berbeza antara individu berprofil tinggi dan rakyat biasa, sekali gus melemahkan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

Sekiranya kes ini didakwa sebagai sekadar “pendakwaan politik”, maka jalan yang paling bersih, bermaruah dan meyakinkan, lebih-lebih lagi apabila melibatkan 47 pertuduhan yang telah mencapai tahap prima facie, ialah melalui perbicaraan penuh di mahkamah. 

Pembebasan atau pelepasan melalui keputusan kehakiman yang beralasan adalah jauh lebih kukuh dan meyakinkan berbanding penamatan kes secara pentadbiran.

Tun Faisal Ismail ialah ketua penerangan Bersatu.

Tulisan ini adalah pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.