- Iklan -
Rencana

Mati di tangan Zahid: Di mana garis merah PH sekarang?

Di manakah suara Mohamad Sabu, Anthony Loke dan Nurul lzzah: adakah mereka kini bersetuju melihat ke arah lain hanya kerana kedudukan politik mereka kini terjamin?

Parti Muda
2 minit bacaan
Kongsi

Tindakan Parti MUDA menarik diri daripada blok berajaan dan memilih untuk menjadi pembangkang pihak ketiga bukanlah satu keputusan yang diambil dengan mudah, namun is adalah satu-satunya jalan bermaruah demi mempertahankan prinsip integriti. 

Keputusan pengguguran 47 pertuduhan rasuah yang melibatkan seorang timbalan perdana menteri bukanlah sekadar isu teknikal mahupun prosedur undang-undang biasa. Ini merupakan satu tamparan hebat kepada integriti sistem keadilan negara dan pengkhianatan mandat rakyat yang paling dahsyat dalam sejarah politik Malaysia. 

Hari ini, MUDA mempersoalkan keberadaan perdana menteri dan barisan kepimpinan Pakatan Harapan yang mempunyai kuasa perdana menteri dan menteri penuh: adakah mereka akan terus membisu seribu bahasa tatkala prinsip keadilan sedang dicarik-carik? 

Persoalan utama yang wajib dijawab secara terbuka adalah mengenai ketelusan siasatan SPRM. 

Jika benar siasatan lanjut telah dijalankan, rakyat menuntut untuk mengetahui siapakah sebenarnya yang disiasat secara menyeluruh. Adakah siasatan ini benar-benar telus atau sekadar satu sandiwara untuk menghalalkan pembebasan individu berkuasa? 

Jika 47 pertuduhan yang dahulunya dianggap kukuh kini tiba-tiba "tidak cukup bukti", maka Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara perlu menjelaskan di mana titik kegagalan itu berlaku: adakah pada kelemahan siasatan awal, atau wujudnya tangan-tangan ghaib yang mencampuri urusan pendakwaan demi kelangsungan kuasa? 

Rakyat hari ini melihat dengan penuh sangsi tentang di mana sebenarnya letaknya "garis merah" PH dalam isu rasuah. Janji reformasi yang dilaungkan di atas lori dan pentas ceramah kini seolah-olah telah dipadamkan demi kepentingan politik. 

MUDA menuntut jawapan jujur: adakah prinsip integriti ini hanya terpakai kepada musuh politik, namun menjadi longgar dan fleksibel apabila melibatkan rakan kongsi kuasa seperti Ahmad Zahid Hamidi? 

Jika setiap skandal boleh diselesaikan dengan nota "Tiada Tindakan Lanjut" (NFA), maka istilah "reformasi" yang dilaungkan selama ini tidak lebih daripada sekadar bahan kempen yang tidak bernyawa. 

Di manakah suara pemimpin utama seperti Mohamad Sabu, Anthony Loke dan Nurul lzzah Anwar? 

Adakah mereka kini bersetuju untuk melihat ke arah lain hanya kerana kedudukan politik mereka kini terjamin? 

Sangat memualkan apabila melihat pemimpin DAP, Amanah, dan PKR begitu agresif menyerang setiap kali isu berkaitan Najib Razak, Dr Akmal Salleh dan musuh politik lain dibangkitkan, namun tiba-tiba menjadi lunak dan kelu dalam kes yang melibatkan sekutu sendiri. 

Adakah manifesto PH selepas ini bersifat selektif, bergantung kepada status kawan atau lawan? 

MUDA juga mencabar Fahmi Fadzil, selaku jurucakap kerajaan, untuk berhenti menggunakan skrip "kestabilan" bagi menghalalkan ketidakadilan. Jangan biarkan sejarah mencatat bahawa suara perjuangan anda hanya berakhir di pintu pagar Putrajaya. 

MUDA akan terus kekal sebagai suara nurani rakyat. Rakyat berhak mendapat jawapan, dan MUDA tidak akan berhenti menuntutnya. 

Tulisan ini adalah pandangan penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.