'Busuk tahap langit': Bekas bos SPRM kecam keputusan 'tiada kes' terhadap Zahid
Latheefa Koya mengingatkan bagaimana seorang 'pendakwa raya yang tegas' tiba-tiba tidak hadir perbicaraan di samping peranan presiden Umno itu dalam kelangsungan politik Anwar Ibrahim.
Terkini
Bekas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membidas keputusan kerajaan untuk tidak mengambil tindakan lanjut atas puluhan tuduhan rasuah melibatkan Ahmad Zahid Hamidi, yang dilihat bakal membuka peluang kepada timbalan perdana menteri itu untuk menggugurkan kesemua 47 pertuduhan terhadapnya meskipun dibicarakan sebagai kes prima facie.
Latheefa Koya menyifatkan keputusan Peguam Negara Mohd Dusuki Mokhtar untuk tidak mengambil tindakan lanjut, atau "no further action" (NFA) terhadap kes melibatkan Zahid sebagai "satu serangan terhadap kesaksamaan dan keadilan rakyat".
"Apakah Zahid akan menerima layanan istimewa sebegini jika dia bukan timbalan perdana menteri? Apakah Zahid akan menerima layanan istimewa sebegini jika dia bukan sekutu politik penting kepada Anwar Ibrahim?" soalnya.
"Semuanya busuk tahap ke langit. Ada sesuatu yang hancur di Putrajaya."
Zahid didakwa dengan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah, dan pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.
Presiden Umno itu memainkan peranan penting dalam membawa partinya menyokong Anwar dilantik sebagai perdana menteri susulan pilihan raya umum 2022 yang berakhir dengan parlimen tergantung.
Antara pertuduhan pecah amanah beliau termasuk dakwaan melangsaikan hutang kad kreditnya menggunakan dana Yayasan Akalbudi menggunakan 44 keping cek berjumlah kira-kira RM1.3 juta antara Januari 2013 dan Disember 2016.
Latheefa, yang mengetuai SPRM selama sembilan bulan ketika fasa genting agensi itu memburu bekas pemimpin kerajaan yang terlibat dengan amalan rasuah peringkat tinggi, turut mengingatkan bahawa proses untuk membebaskan Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah bermula sebaik sahaja peguam yang mengetuai pasukan pendakwaan, Raja Rozela Raja Toran, tiba-tiba mengundur diri.
"Sebelum pertuduhan digugurkan, pendakwa raya yang tegas, Raja Rozela, digugurkan daripada kes Zahid,” katanya, merujuk kepada keputusan memberikan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) yang dimohon Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk Zahid.
Raja Rozela, yang dilihat mengajukan soalan bertalu-talu terhadap Zahid sepanjang perbicaraan, dilaporkan tidak hadir di mahkamah beberapa hari sebelum DNAA diumumkan.
Walau bagaimanapun, peguam negara ketika itu, Idrus Harun, mendakwa Raja Rozela memohon “persaraan awal”.
Ketika itu, Raja Rozela dilaporkan mengulas: “Saya seorang penjawat awam... Saya tidak dibenarkan mengulas. Maafkan saya.”
Latheefa berkata hakim Mahkamah Tinggi Colin Lawrence Sequerah, meskipun pernah mendapati wujud kes prima facie terhadap Zahid, tidak mempunyai pilihan selain memberikan DNAA yang diminta AGC.
Menurutnya, susulan keputusan semalam, AGC dalam "percubaan yang lemah dan menyedihkan untuk menjelaskan NFA".
“Apakah AGC akan memberikan layanan yang sama ringan dan istimewa kepada seorang kerani kerajaan biasa yang berdepan tuduhan mencuri beberapa ratus ringgit?
"Selepas ini, siapa yang percaya sistem keadilan jenayah?"
Beliau menyifatkan langkah Anwar untuk melantik Zahid sebagai timbalan perdana menterinya sebagai momen "yang memalukan negara".
“Tidak pernah sebelum ini, sejak Merdeka, seseorang yang berdepan pertuduhan jenayah serius dilantik sebagai TPM."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
