- Iklan -
Rencana

Rampasan buku-buku kiri cetus kemarahan pembaca

Insiden rampasan buku ini dilihat sedikit sebanyak mendatangkan kekecewaan kepada ramai orang terutamanya kepada pencinta buku.

Nur Muhammad Naufal Durokhman
3 minit bacaan
Kongsi

Baru-baru ini, terjadi satu insiden rampasan buku yang dibuat oleh pihak penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sebuah kedai buku di ibu kota sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya peminat-peminat buku. 

Kejadian yang berlaku di Toko Buku Rakyat, Kuala Lumpur itu ditularkan di media sosial oleh pemilik kedai buku tersebut, Benz Ali yang mendakwa pihak penguat kuasa KDN merampas atau dalam bahasa sopannya “meminjam” beberapa buah buku tanpa membeli buku terbabit yang dilihat memberi ancaman keselamatan kepada negara walhal buku-buku yang dirampas bukan berada di dalam senarai buku-buku yang dilarang untuk dijual.

Antara buku-buku yang dirampas oleh pihak penguasa KDN adalah “Marx: Sang pendidik revolusioner” tulisan Robin Small dan “Koleksi puisi masturbasi” hasil tulisan saudara Benz sendiri. Jadi adakah kerajaan rampas buku-buku terbabit semata-mata kerana adanya perkataan “Marx” di situ? Seolah-olah namanya itu menjadi “taboo” bagi masyarakat di sini.

Mungkin kerana Marx merupakan seorang tokoh yang mengasaskan fahaman komunisme yang merupakan satu lagi perkara yang menakutkan bagi masyarakat di Malaysia kerana sejarah lampau negara ini yang terlibat pada zaman darurat, oleh sebab itulah pihak penguasa merampas buku terbabit.

Namun yang pasti, perkara ini dilihat sedikit sebanyak mendatangkan kekecewaan kepada ramai orang terutamanya kepada pencinta buku bahawa insiden rampasan buku ini masih lagi berlaku di Malaysia dan itu seharusnya tidak berlaku lagi pada tahun 2023 ini.

Kita sedia maklum bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berperlembagaan dan setiap masyarakat diberi kebebasan untuk bersuara, dan itu termasuk dalam kebebasan untuk berkarya. 

Ini bermakna setiap daripada rakyat diberikan hak untuk bebas berucap, memberi pendapat bahkan diberikan kebebasan untuk bersuara di pelbagai medium seperti medium buku atau karya sebagai tempat untuk mereka meluahkan pendapat mereka.

Cuma yang kesalnya adalah ada sesetengah pihak terutama sekali pihak berkuasa menggunakan agensi kerajaan seperti pihak penguat kuasa KDN untuk datang ke kedai buku, melihat buku yang mana pada pandangan mereka berpotensi untuk memberi unsur subversif kepada negara, dan kemudian merampas buku-buku terbabit meskipun buku-buku tersebut tidak tersenarai pun dalam senarai buku-buku yang dilarang untuk dijual.

Tambah malu lagi ialah insiden rampasan buku ini dilakukan pada zaman Perdana Menteri Anwar Ibrahim, seorang tokoh reformasi yang mana kita ketahui sendiri merupakan seorang yang suka membaca buku dan selalu memetik nama tokoh-tokoh besar di dalam ucapannya.

Jadi persoalannya sekarang adakah kita mahu kembali kepada zaman tahun 80-an yang mana kerajaan ketika itu bertindak agak represif, bertindak menutup beberapa syarikat akhbar dan penerbitan atas alasan tidak menyokong kerajaan dan sebagainya. 

Jadi adakah kerajaan sekarang melihat buku-buku ini sebagai suatu unsur untuk menentang kepimpinan negara?

Sepatutnya insiden-insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku lagi pada era digitalisasi ini. Bahan ilmiah seperti buku-buku, karya-karya merupakan khazanah ilmu pengetahuan yang cukup bernilai yang seharusnya dibaca, ditelaah, dan dihayati oleh setiap rakyat di negara ini.

Namun agak malangnya apabila masyarakat mendambakan ilmu pengetahuan tetapi bahan-bahan yang ingin dibaca tidak dapat diakses kerana bahan tersebut dirampas oleh pihak penguasa atas alasan “memberi ancaman keselamatan kepada negara”, atau “tidak menepati akta penerbitan 1984”.

Pada Jun lepas, kerajaan melalui Menteri komunikasinya, Fahmi Fadzil menyatakan bahawa kerajaan setakat sekarang ini tidak berhasrat untuk memansuhkan akta penerbitan 1984 lagi. 

Ini dilihat bertentangan dengan apa yang mereka janjikan semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu di mana mereka berjanji akan memansuhkan “Akta-akta zalim yang boleh disalahgunakan untuk menyekat kebebasan bersuara”. 

Namun kerajaan sekarang ini dilihat menggunakan akta ini untuk menggeledah atau istilah bahasa Indonesia dipanggil “membredel “karya-karya yang dilihat agak kritis dan kritikal dan kita dapat lihat dengan insiden yang terjadi ini terbukti benar. Jadi tidak ada beza pun antara kerajaan “Madani” dengan kerajaan BN sebelum ini.

Penulis ingin cadangkan memandangkan penulis telah menyentuh soal akta ini, apa kata akta penerbitan 1984 ini disemak semula ataupun dalam erti kata lain digubal semula supaya akta penerbitan ini dilihat lebih efisien dan bersesuaian pada zaman sekarang ini, jika dibandingkan dengan sebelum ini di mana akta tersebut hanya terpakai pada era tahun 80-an tersebut dan tidak bersesuaian lagi pada tahun 2023 ini. 

Kesimpulannya, penulis berharap agar insiden seperti ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Jadi tidak ada guna pun kalau pihak penguasa merampas buku-buku kritis sebegini kerana masyarakat kita sekarang ini sudah mula kembali cintakan ilmu pengetahuan dan berminat untuk membaca kembali karya-karya yang kritis dan kritikal yang menyentuh mengenai persoalan masyarakat untuk melahirkan masyarakat yang berpengetahuan luas dan menjadi warganegara Malaysia yang berfikiran kritis dan bernilai moral.

Nur Muhammad Naufal Durokhman ialah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.