- Iklan -
Berita

Tiada kebebasan, penguat kuasa KDN masih ‘berkeliaran’ di PBAKL, kata penerbit

Mereka berkata kehadiran penguat kuasa menunjukkan tidak berlakunya sebarang reformasi dalam kerajaan.

Nur Hasliza Mohd Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dilihat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023. Gambar: Facebook Benz Ali
Penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri dilihat di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023. Gambar: Facebook Benz Ali

Penerbit dan penulis buku meluahkan rasa kesal terhadap perkembangan terbaru dalam penganjuran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) yang memulakan tirai pada Jumaat lalu.

Ini susulan kehadiran pasukan penguat kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) di rerurai jualan buku sejak hari pertama program itu berlangsung tanpa memberikan sebab dan alasan kepada para peserta.

Penulis dan bekas pengarang kanan di Utusan Malaysia Zin Mahmud memberitahu situasi itu jelas menunjukkan tidak berlakunya sebarang reformasi dalam KDN dan kerajaan baru berhubung penerbitan buku tempatan.

Zin menegaskan, lawatan dan kehadiran anggota penguat kuasa KDN hanya meneruskan polisi terdahulu ketika dunia tertutup tanpa akses internet dan media sosial.

"Saya amat kesal dengan lawatan penguat kuasa KDN ke pesta buku kerana ia menunjukkan kerajaan mahu mengongkong kebebasan penulisan rakyat.

"Lawatan itu menakut-nakutkan para penulis untuk berkarya dan para penerbit untuk berniaga sekali gus menunjukkan kerajaan tidak meletakkan kepercayaan pada rakyat," katanya kepada MalaysiaNow.

Penganjuran PBAKL 2023 kali ke-40 berlangsung sejak Jumaat lalu hingga 4 Jun ini menampilkan 815 reruai yang disertai pempamer dari dalam dan luar negara.

Ia turut dianjurkan secara hibrid bagi tahun kedua dengan kerjasama platform e-dagang, Shopee bagi membolehkan akses meluas kepada peminat buku.

Mengulas lanjut, Zin berkata prosedur lawatan pasukan penguat kuasa ke mana-mana penganjuran Pesta Buku sudah menjadi kelaziman sejak sekian lama.

Ini kerana, katanya, kerajaan terdahulu mahu mengongkong pemikiran rakyat kerana bimbang mereka akan menentang kerajaan dalam suasana wujudnya ancaman komunisme.

Dalam pada itu, seorang penerbit dan pempamer PBAKL mahu dikenali sebagai Benz Ali berkongsi beberapa keping foto di Facebooknya menunjukkan kehadiran pasukan penguat kuasa KDN pada hari pertama pesta itu berlangsung.

Ketika dihubungi MalaysiaNow, beliau mengesahkan perkara tersebut.

Bagaimanapun, katanya, beliau hanya melihat ianya sebagai satu bentuk prosedur yang biasa kerana tiada sebarang rampasan buku atau bahan bacaan yang dibuat oleh para petugas berkenaan.

"Tetapi PBAKL masih belum berakhir. Ada beberapa hari lagi.

"Kita tidak tahu apa akan terjadi sehingga ke hari akhir," katanya kepada MalaysiaNow.

Di ruangan komen hantaran Facebooknya, ramai peminat buku mengkritik situasi itu mengatakan tindakan penguatkuasaan KDN tidak bijak dan rasional.

Bagi mereka, tiada apa yang perlu ditakutkan dengan penerbitan buku sebaliknya video-video dan penghasilan kandungan dalam internet yang lebih pantas mempengaruhi minda rakyat.

"Sama sahaja Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memerintah," tulis Abdul Razak Endot.  

"Kedai saya pun KDN rajin datang," tulis Syedshahriman Jamalullayl.

Pada masa sama, Benz juga berpandangan sama dengan Zin mengatakan tiada perubahan dan reformasi dalam KDN berhubung penerbitan buku tempatan.

"Saya nampak masih sama seperti kerajaan-kerajaan dulu.

"Di Pesta Buku Alternatif Kuala Lumpur pada bulan Februari lepas juga KDN masih berkeliaran di pesta buku itu yang diadakan di Pasar Seni, Kuala Lumpur," katanya.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.