- Iklan -
Rencana

Pentadbiran Anwar masih tiada penyelesaian jangka panjang kos sara hidup

Penurunan nilai mata wang ringgit yang parah telah mengakibatkan kenaikan harga yang mendadak.

Shukor Abdul Rahman
3 minit bacaan
Kongsi

Kebelakangan ini, sesetengah pihak sering menuduh Perikatan Nasional (PN) mengapi-apikan sentimen perkauman untuk meraih undi menjelang pilihan raya negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.

Dakwaan sedemikian bukan perkara baharu. Sejak sekian lama, PN dimomokkan sebagai batu api dalam memainkan isu-isu "3R" iaitu raja, perkauman dan agama. 

Bezanya sebelum ini dakwaan sedemikian rata-rata datang daripada pihak seperti DAP, sebuah parti yang didominasi oleh kaum Cina, dan bukannya dari komuniti Melayu sendiri.

Tetapi kini PN menghadapi serangan bertubi-tubi bukan sahaja dari parti seperti DAP, malah pemimpin-pemimpin Melayu dan pengikut-pengikut mereka di dalam kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Bagi saya, serangan-serangan sedemikian hanya taktik penyokong kerajaan perpaduan untuk mengalihkan perhatian pengundi akan masalah ekonomi negara yang kian merudum.

Seperti yang sedia maklum, ekonomi negara belum pulih sepenuhnya daripada pandemik Covid-19.

Pelbagai janji ekonomi yang dibuat oleh Anwar sebelum dilantik perdana menteri, umpamanya penurunan harga minyak, belum dan dijangka tidak akan ditunaikan.

Penurunan nilai mata wang ringgit yang parah telah mengakibatkan kenaikan harga yang mendadak kerana Malaysia merupakan pengimport banyak barang keperluan harian, termasuk makanan. 

Kini, AS$1 sudah mencapai RM4.68. Adakah ia akan mencapai RM5 tidak lama lagi?

Yang paling terkesan daripada fenomena kenaikan harga barang adalah komuniti Melayu, iaitu kaum terbesar dalam segmen B40. 

Ramai masih hidup merempat, bukan sahaja di desa atau kampung, tetapi juga di tengah-tengah kota seperti Kuala Lumpur di mana kos sara hidup jauh lebih tinggi.

Yang meraih keuntungan akibat kenaikan kejatuhan mata wang tempatan adalah pengeksport, yang rata-ratanya bukan daripada komuniti Melayu.

Baru-baru ini, rakyat dikejutkan dengan keputusan Bank Negara Malaysia menaikkan kadar dasar semalaman (OPR).

Keputusan ini memberi impak bukan sahaja kepada rakyat biasa tetapi membawa kesan limpahan negatif ke atas ekonomi secara keseluruhannya.

Bagi rakyat, khususnya mereka yang mempunyai pinjaman dengan bank, mereka terpaksa membayar ansuran bulanan yang lebih tinggi atau memanjangkan tempoh pinjaman. 

Mengapakah kerajaan memekakkan telinga kepada rayuan dan rintihan rakyat tentang kos sara hidup yang semakin berat sehingga sanggup meningkatkan beban kewangan mereka?

Alasan kerajaan kononnya menaikkan OPR untuk menstabilkan mata wang tempatan tidak masuk akal langsung kerana ringgit terus jatuh. 

Banyak perniagaan juga telah memindahkan kos operasi yang meningkat akibat kenaikan OPR, kepada pengguna. Akibatnya, golongan B40 dan M40 juga yang menjadi mangsa.

Pendek kata, keadaan ekonomi semasa negara memang amat tenat. Lebih buruk lagi, kerajaan Madani seperti tiada “game plan” untuk membetulkan keadaan. 

Ini berbeza dengan zaman Dr Mahathir Mohamad yang telah merencanakan pelan menambat US$1 kepada RM3.80 pada tahun 1998.

Ataupun inisiatif-inisiatif di bawah pimpinan Muhyiddin Yassin yang melaksanakan pelbagai rancangan dan inisiatif untuk memulihkan dan merangsangkan ekonomi yang teruk dibadai akibat pandemik Covid19.

Sementara itu, Anwar yang juga menyandang jawatan menteri kewangan lebih asyik menghadiri program-program seperti dialog bersama penuntut-penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Sebagai menteri kewangan, beliau harus memberi fokus penuh kepada isu-isu ekonomi, terutamanya yang memberi impak terus kepada rakyat. 

Masalah seperti inflasi, pengangguran belia dan kos sara hidup masih tiada penyelesaian jangka panjang.

Bagi menutup kelemahan ini, Anwar serta tentera siber beliau cuba mengalihkan perhatian umum dengan mendakwa PN memainkan sentimen 3R untuk meraih undi. 

Rata-rata masyarakat Melayu tidak pernah menghalang golongan bukan Melayu mempraktikkan kebudayaan dan agama mereka.

Yang sering menjadi batu api adalah parti seperti DAP dengan slogan "Malaysian Malaysia"nya.

Maka jelaslah tohmahan bahawa PN bersikap rasis bukan sahaja tidak benar, ia hanya usaha pentadbiran Anwar menutup kelemahan Perdana Menteri yang telah gagal memacu ekonomi negara yang kian merudum.

Shukor Abdul Rahman adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow.