- Iklan -
Kolum

Melindungi kemanusiaan daripada AI dan AGI

Ada juga kalangan yang menyifatkan ancaman AI adalah lebih bahaya daripada perubahan iklim.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Rabu lalu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Antonio Guterres mencadangkan supaya ditubuhkan satu badan antarabangsa seperti Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) untuk memantau perkembangan kecerdasan buatan (AI).

Beliau memberi amaran bahawa AI akan digunakan untuk penyebaran kebencian dan maklumat palsu yang boleh menjejaskan demokrasi dan hak asasi manusia.

PBB sendiri mempunyai pusat bagi AI dan Robotik untuk memantau perkembangan AI dan antara misinya adalah hendak memastikan bahawa mereka tidak mengatasi kecerdasan manusia.

Seruan bagi mencadangkan badan seumpama IAEA menunjukkan keseriusan ancaman daripada AI. 

Maknanya kedudukan ancaman AI adalah seperti tenaga nuklear. 

Ia adalah alat yang boleh mendatangkan manfaat bagi manusia, tetapi jika disalah guna, ia boleh memusnahkan manusia. 

Ada juga kalangan yang menyifatkan ancaman AI adalah lebih bahaya daripada perubahan iklim.

Sememangnya dalam perbincangan oleh pemuka-pemuka AI sejak November lalu, ada yang menyamakan perkembangan pesat teknologi dengan bom nuklear dari segi bahaya dan ancaman bagi kewujudan manusia (existential threat).

Ini kerana kepintaran AI yang berkembang pesat itu akan mengatasi kepandaian manusia, dan akhirnya menjadi AGI iaitu Artificial General Intelligence atau Kecerdasan Umum Buatan yang boleh berasa, berfikir dan bertindak seperti manusia. 

Dengan kepandaian yang lebih besar, mereka boleh menguasai manusia.

Keadaan ini lama sudah dipaparkan melalui fiksyen sains seoerti dalam filem-filem Space Odyssey 2001, AI, I Robot,Terminator dan Matrix. 

Walaupun mungkin banyak orang sukar mempercayai keadaan itu boleh benar-benar berlaku tetapi ia adalah apa yang dibimbangi oleh pemuka-pemuka AI.

Tokoh-tokoh yang tergolong sebagai pemuka AI adalah terdiri daripada ahli teknologi bidang AI, saintis, usahawan dan pelabur. 

Elon Musk yang turut terlibat dalam membangun AI adalah antara pemuka yang mencadangkan supaya perkembangan AI dihentikan dahulu supaya undang-undang untuknya digubal.

Ada pihak yang menggambarkan bahawa suatu undang-undang seperti yang dibuat untuk kejuruteraan genetik digubal bagi perkembangan AI. 

Undang-undang untuk kejuruteraan genetik ini digubal untuk menghalang saintis daripada membuat klon manusia dan lain-lain makhluk pelik.

Apa yang menjadikan perkembangan ini pesat seperti yanb dikatakan oleh pemuka-pemuka AI itu ialah struktur ekonomi dunia. 

Maksudnya sistem ekonomi kapitalisme yang sudah terpakai di seluruh dunia sedang mendorong perkembangan pesat AI ini. 

Ia dijana oleh dana dari pelabur-pelabur yang melihat potensi keuntungan besar. 

Seperti yang mereka kata, bilionair mahu menjadi trilionair. 

Matlamat mereka adalah keuntungan wang dengan berdiri di atas sifat tamak. 

Di pihak ahli teknologi yang terlibat dengan membangun AI pula, ada yang bermibat untuk melihat apa yang mampu mereka lakukan terhadap AGI dan penciptaan robot super.

Tetapi Guterres kata, PBB tidak dapat melakukan apa-apa termasuk untuk menubuhkan agensi pemantau AI itu. 

Ini kerana PBB memerlukan inisiatif dan usul dari negara-negara anggotanya. 

Jika negara-negara tidak mengambil berat mengenainya, maka PBB hanya mampu bercakap. 

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden sudah pun menubuhkan pasukan untuk menggubal peraturan dan undang-undang berhubung AI. 

Lebih-lebih lagi buat masa ini kuasa besar AI ialah AS. 

Tetapi negara-negara lain seperti Jerman, China, Jepun dan Rusia juga kempunyai ahli teknologi yang sedang membangun AI. 

Ia sudah menjadi perlumbaan antara negara untuk memajukan AI. Lebih-lebih lagi ia dapat digunakan untuk keperluan ketenteraan.

Di Jepun, pengajaran AI sudah diperkenalkan di darjah satu. 

AI sememangnya akan mengubah gaya hidup manusia. Ia akan mengubah semua bidang kehidupan manusia: perniagaan, perusahaan, pendidikan, akademik, sains, kesusasteraan, media, kewartawanan dan lain-lain. 

Di Malaysia, ada universiti yang mengorbankan fakukti kewartawanannya untuk digantikan dengan pengajian AI yang mula ditawarkan pada tahun ini.

Semua negara wajar mengambil perhatian terhadap perkembangan teknologi termasuk AI. 

Zaman ini, iaitu dalam awal abad ke-21 adalah masanya teknologi yang didorong oleh struktur ekonomi global mencorakkan kehidupan manusia.

Kerajaan setiap negara perlu mengambil berat mengenai cara mana rakyat boleh memanfaatkan dari kemajuan teknologi maklumat.

Inilah realiti kehidupan bagi setiap negara. 

Zaman di mana retorik terhadap sesuatu idealisme yang sesuai pada tahun 1980-an dan 1990-an sudah tidak relevan lagi, terutamanya bagi generasi milenial.

Mungkin banyak negara yang melihat isu AI ini adalah masalah AS yang rakyatnya menguasai bidang komputer dan teknologi maklumat di dunia ini.  

Maknanya negara-negara lain hanya perlu menonton apa yang dilakukan oleh AS, dan kemudiannya mengikut saja.

Oleh kerana syarikat-syarikat AS yang membangun AI dan menyedari tentang bahayanya, maka merekalah yang akan mencari penyelesaiannya. 

Umpamanya AS akan mengadakan peraturan terhadap AI seperti sedang difikirkan oleh White House.

Jadi negara-negara lain hanya perlu menurut apa yang dilakukan oleh AS dan bertindak sewajarnya. 

Contohnya, menyokong agensi AI di peringkat antarabangsa seperti mana yang disarankan oleh PBB.  

Masalah dari segi perspektif ini ialah apapun yang dilakukan oleh AS ialah mengutamakan kepentingan geopolitik mereka dan bukannya manusia sejagat. 

Bagi mereka, AI hendaklah digunakan untuk memelihara dominasi politik dan ekonomi AS ke atas dunia. 

Bagi mereka, ia adalah wajar kerana AI adalah ciptaan mereka.

Tentulah keadaan ini tidak dapat diterima oleh negara-negara yang sekarang bersaing dengan AS. 

China, Rusia dan Iran tentunya tidak dapat menerima dominasi AS terhadap dunia. 

Bagi mereka, dunia adalah hak milik semua negara dan tidak wajar dibolot AS AI walaupun dicipta di AS, tetapi ia merupakan milik semua manusia.

Sebenarnya semua negara, besar dan kecil mempunyai kepentingan masing-masing yang berbeza daripada AS walaupun mereka adalah sekutunya. 

United Kingdom, Jerman, Canada, Australia dan Perancis adalah sekutu AS tetapi tentulah mempunyai kepentingan masing-masing yang berbeza daripada AS. 

Oleh itu, mereka juga wajar membangun AI sendiri dan Kesatuan Eropah perlu menggubal peraturan sendiri.

AI bergantung pada data yang terkumpul di dalam dan di luar internet. 

Maka tentunya bahasa Inggeris mendominasi tetapi semua bahasa turut menyumbang pada himpunan data itu. 

Maka bahasa-bahasa lain perlu aktif bagi membolehkan AI turut memperoleh data yang tidak terdapat dalam bahasa Inggeris.

Ini bernakna bahawa setiap negara perlu berperanan berhubung dengan AI dan tidak membiarkan sahaja AS menentukan agenda AI sejagat. 

Walaupun AI lahir di AS tetapi seperti ciptaan teknologi yang lain, ia adalah milik seluruh manusia. 

Lagipun mereka yang terlibat dengan ciptaan itu juga datang dari pelbagai negara seperti India, China dan negara-negara Eropah.

Sebarang ancaman dari AI, AGI dan robot yang tidak terkawal akan membahayakan semua manusia, dan bukan sahaja AS.  

Seperti mana juga ancaman yang diberikan oleh senjata nuklear dan perubahan iklim.

Maka saranan Guterres itu perlu disegerakan sebelum terlewat.

Itupun ia tidak menjamin manusia terselamat daripada ancaman AI yang tidak terkawal kerana ada saja pihak mahu melakukan sesuatu perkara buruk atas dorongan ketamakan untuk menjadi lebih kaya raya.