- Iklan -
Rencana

KDN harus pegang prinsip reformasi, kaji semula Sosma

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution hanya memberi retorik lama bagi undang-undang zalim itu.

Sevan Doraisamy
2 minit bacaan
Kongsi
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution (pusat) bercakap pada sidang media diiringi Ketua Setiausaha Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud (kanan) di Putrajay pada 9 Disember. Gambar: Bernama
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution (pusat) bercakap pada sidang media diiringi Ketua Setiausaha Dalam Negeri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz (kiri) dan Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud (kanan) di Putrajay pada 9 Disember. Gambar: Bernama

Suara Rakyat Malaysia (Suaram) kecewa dengan kenyataan Menteri Dalam Negeri (KDN) Saifuddin Nasution bahawa pihak beliau tidak berniat untuk menyemak semula Sosma (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas).

Beliau hanya memberi retorik lama untuk kewujudan undang-undang zalim tersebut. Kenyataan Menteri KDN juga bercanggah dengan pendirian Pakatan Harapan yang pernah menolak usul pelanjutan tempoh pelaksanaan  subseksyen 4(5) Sosma di Dewan Rakyat pada Mac dan Julai 2022 yang lalu.

Perkara yang harus diketahui oleh menteri dalam negeri adalah:

Sosma masih membenarkan penahanan tanpa bicara iaitu penahanan di bawah kuasa polis selama 28 hari tanpa melalui proses mahkamah atau campur tangan majistret. 

Orang kena tahan (OKT) dinafikan hak dan akses kepada peguam dan ahli keluarga pada 48 jam pertama dan selepas itu hak OKT masih bergantung kepada budi bicara pihak polis.

Peruntukan tersebut juga meningkatkan risiko OKT diseksa dan membuat pengakuan paksa tanpa pengawasan daripada pihak mahkamah atau majistret.

Di bawah Sosma, badan kehakiman tidak mempunyai kuasa budi bicara malah sebaliknya, pihak pendakwa raya yang memegang kuasa mutlak untuk menentukan sama ada seseorang itu diberikan peluang untuk diikat jamin atau tidak. Dalam hal ini, kebanyakan kes tidak diberikan jaminan.

Antara kes Sosma yang dipantau Suaram terdapat individu yang ditahan melebihi 5 tahun sehingga perbicaraan tamat dan dihukum.

Dasar "tiada ikat jamin" ini bukan sahaja melanggar hak tahanan untuk perbicaraan yang adil, tetapi seolah-olah individu tersebut telah diisytiharkan bersalah sebelum mahkamah.

Sosma juga membenarkan "saksi yang dilindungi" merahsiakan identiti mereka daripada tertuduh dan peguam bela semasa memberikan keterangan.

Hal ini menyukarkan tertuduh untuk mencabar kredibiliti saksi dan sukar untuk membuat pembelaan yang mencukupi bagi pertuduhan.

Di bawah Sosma, “apa-apa pernyataan oleh seseorang tertuduh sama ada secara lisan atau bertulis kepada mana-mana orang pada bila-bila masa” hendaklah boleh diterima sebagai keterangan, tanpa mengira ia adalah pengakuan paksa atau sebaliknya.

Oleh hal yang demikian, kami ingin menegaskan bahawa kenyataan Saifuddin mengenai peruntukan Sosma adalah tidak tepat sedangkan ianya jelas melanggar prinsip perbicaraan yang adil di bawah Perlembagaan Malaysia dan piawaian antarabangsa.

Kami memahami Saifuddin merupakan menteri yang baru dilantik, malah memerlukan masa untuk mendengar taklimat dan memahami perkara-perkara berkaitan dengan Kementerian beliau.

Namun, kami ingin menggesa agar beliau juga mendengar pandangan para pemegang taruh termasuk kumpulan masyarakat sivil sebelum memberi sebarang kesimpulan terutamanya dalam isu hak asasi manusia.

Akhir sekali, kami menyeru agar kerajaan baru yang ditubuhkan atas nama reformasi perlu mengambil langkah segera dalam penilian semula dan kerja pemansuhan Sosma serta undang-undang drakonian yang lain.

Sevan Doraisamy adalah pengarah eksekutif Suaram

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow