- Iklan -
Rencana

Nga Kor Ming jangan bermain dengan api

Sebagai seorang pemimpin politik pengerusi DAP Perak itu seharusnya membuat kenyataan tanpa emosi dan perlu berdasarkan hujah logik.

Mahathir Mohd Rais
2 minit bacaan
Kongsi
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming. Gambar: Bernama
Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming. Gambar: Bernama

Lihatlah kebiadapan dan betapa kurang ajarnya pengerusi DAP Perak yang sekali lagi membuat kenyataan tanpa logik bahkan secara jelas dilihat berbaur perkauman dan boleh membawa kepada suatu hasutan.

Rantaian pandangan, serangan dan juga kritikan Nga terhadap Perikatan Nasional adalah sekadar teori dan pandangan peribadi semata-mata, dan menyimpang dari gambaran yang sebenar.

Tuduhannya yang mengatakan mengundi Perikatan Nasional bakal menyebabkan negara ditadbir seperti pemerintahan Taliban di Afghanistan adalah satu tuduhan yang amat berat dan ekstrem. 

Tidak salah kiranya sesebuah isu yang disuarakan secara terbuka itu adalah untuk mendapatkan penjelasan, namun apakah kita pasti bahawa setiap patah perkataan yang digunakan dalam melakar sesebuah persoalan atau pertanyaan itu tidak dipengaruhi emosi ataupun agenda tersembunyi.

Kenyataan Nga Kor Ming ini jelas mengguris perasaan umat Melayu dan Islam, seolah-olah mengambarkan pentadbiran dibawah Islam bakal berlandaskan "barbaric law" dan menindas rakyat jika itu pemahaman yang ingin dia tonjolkan berkaitan isu ini.

Di sini dapat dilihat betapa bahaya apabila seorang pemimpin berbicara tanpa hujah logik.

Kerana setiap pemimpin ada akar umbinya, dan setiap kenyataan yang dibuat oleh pemimpin tersebut mampu meraih sokongan yang membuta-tuli tanpa mengira faktor kesahihan mahupun kebenaran dalam maklumat yang disampaikan.  

Ramai pihak terlepas pandang bahawa negara ini adalah negara yang berlandaskan demokrasi raja berperlembagaan dan setiap rakyatnya berhak menyuarakan pendapat serta pandangan, namun ia tidak bermakna setiap pandangan mahupun pendapat itu perlu disulam rasisme.

Dalam menyuarakan pendapat, terutama anda yang berjawatan dalam politik harus lebih peka menggunakan logik akal dan bukan berlandaskan hati dan lidah semata-mata.

Nga harus berhati-hati dengan keceluparan mulutnya dan tidak sepatutnya menyumbat maklumat ke telinga rakyat penuh emosi.

Sekilas ingatan daripada karya agung sasterawan Usman Awang,

Watak melayu menolak permusuhan,
setia dan sabar tiada sempadan,
tetapi jika marah tak nampak telinga,
musuh dicari ke lubang cacing,
tak dapat tanduk telinga dijinjing,
maruah dan ugama dihina jangan,
hebat amuknya tak kenal lawan.

Mahathir Mohd Rais adalah ketua penerangan Perikatan Nasional Wilayah Persekutuan.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.