- Iklan -
Rencana

Selamat ulang tahun ke-6 Bersatu!

Perjuangan Bersatu dalam melawan kleptokrasi dan membangun pentadbiran berintegriti dan bebas rasuah dipacu ahli-ahli parti yang sentiasa menghayati semangat penubuhannya.

Muhyiddin Yassin
2 minit bacaan
Kongsi
Perwakilan Bersatu mendengar ucapan pimpinan parti pada perhimpunan tahunan parti Disember tahun lalu.
Perwakilan Bersatu mendengar ucapan pimpinan parti pada perhimpunan tahunan parti Disember tahun lalu.

Hari ini Bersatu menyambut ulang tahun ke-6 penubuhannya.

Walaupun baru menginjak usia enam tahun, Bersatu telah memberikan sumbangan yang besar dalam pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat. 

Kita telah berjuang melawan kleptokrasi, mewujudkan pemerintahan yang berintegriti dan bebas rasuah serta melaksanakan pelbagai program prihatin rakyat yang menunjukkan Bersatu berada di landasan perjuangan yang selari dengan matlamat penubuhan parti.

Kekuatan Bersatu semestinya terletak di tangan ahli-ahlinya. Sekiranya ahli-ahli parti terus istiqamah dalam menghayati semangat perjuangan parti dan terus mendokong matlamat dan perjuangan parti sepertimana yang termaktub dalam perlembagaannya, maka Bersatu akan terus melangkah gagah dalam menjulang obor perjuangan parti.

Ini termasuk mewujudkan sebuah pentadbiran kerajaan yang bebas rasuah, melaksanakan tadbir urus yang berintegriti, menegakkan sistem demokrasi berparlimen, memperjuangkan keadilan sosial, menghormati doktrin pengasingan kuasa termasuk kebebasan badan kehakiman, menegakkan Islam sebagai agama persekutuan, menghormati hak semua individu untuk mengamalkan agama masing-masing, mempertahankan kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum, memelihara hak-hak asasi rakyat, memupuk perpaduan dan keharmonian rakyat, mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara dan mendokong Perlembagaan Persekutuan.

Ini adalah prinsip-prinsip penting perjuangan parti yang terkandung dalam perlembagaan Bersatu. Prinsip-prinsip ini mestilah diamalkan dan diperjuangkan oleh setiap ahli Bersatu. Ahli-ahli Bersatu mesti dikenali dengan prinsip-prinsip ini yang membezakan mereka dengan yang lain. 

Ahli-ahli Bersatu juga mestilah sentiasa bersatu padu dan menjadi contoh teladan yang baik dalam membentuk suatu budaya politik yang murni supaya parti kita dihormati oleh semua.

Ini penting supaya parti kita terus kekal bersatu, beramanah dan bermaruah selaras dengan cogan kata parti.

Sepertimana yang kita semua maklum, pilihan raya umum boleh diadakan pada bila-bila masa.

Justeru, saya menyeru kepada seluruh ahli parti, terutamanya jentera parti di semua peringkat, supaya sentiasa bersiap-siaga untuk menghadapi pilihan raya. Insya Allah, berkat usaha dan doa saudara-saudari semua, dokongan rakyat dan izin Allah SWT, Bersatu akan kembali menerajui kerajaan menerusi Perikatan Nasional.

Selamat Menyambut Ulang Tahun Bersatu Ke-6!

Muhyiddin Yassin adalah presiden Bersatu.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow