'Jangan salah pilih bos pertama': Bekas ikon reformasi akui kesilapan lampau di bawah 'raja persepsi'
Individu yang satu masa dulu paling rapat dengan Anwar Ibrahim berkata senjata yang pernah digunakan melawan kerajaan kini bakal 'memakan tuan'.
Terkini
Salah seorang individu yang pernah menjadi sekutu paling rapat Anwar Ibrahim berkata beliau tidak terkejut dengan pelbagai janji yang gagal ditunaikannya sejak mengambil alih kerajaan, menyifatkannya rentetan daripada sikap membina reputasinya bersandarkan persepsi.
Ezam Mohd Nor, orang yang menjadi tulang belakang kepada gerakan reformasi yang dicetuskan Anwar pada lewat 1990-an sebaik sahaja dipecat dari kerajaan, berkata beliau menganggap perdana menteri seorang "pelakon".
"Kelebihan dia, saya kata, P Ramlee berlakon dalam filem, dia berlakon luar filem. Itu saya kenal tentang kelebihan Anwar Ibrahim. Dia berlakon ini hebat. Dia raja persepsi, dia membina reputasinya bersandarkan persepsi. ,” kata Ezam, bekas setiausaha politik Anwar pada era 1990-an, dalam wawancara bersama MalaysiaNow baru-baru ini.
Malah beberapa kali dalam wawancara bersama MalaysiaNow, Ezam memanggil bekas bosnya sebagai "con man" (penipu).
Apabila diberitahu istilah itu mungkin terlalu keras untuk penerbitan, Ezam menjelaskan:
"Cuma Anwar ini great con man. 'Con man' punya modus operandi macam tu. Dia beralih setiap tempat. Dia tak boleh kekal di satu tempat sebab dia bersandarkan persepsi. Yang paling pandai bercakap, paling rapi, dia lah.
"Con man bukan macam pencuri. Pencuri ini kita nampak muka macam penyamun. Con man pula, dia yang paling smart, paling 'handsome', paling pandai bercakap," katanya kepada MalaysiaNow.
Ezam berkata beliau tidak hairan sekiranya ramai yang dianggap rapat dengan Anwar hari ini, akan bertukar status menjadi musuh. Memberikan contoh Farhash Wafa Salvador, Ezam berkata tidak mustahil suatu hari orang sama akan menjadi lawan.
Seperti ramai lain yang pernah bekerja di bawah Anwar, Ezam masih muda ketika pertama kali direkrut oleh ahli politik itu.
Menceritakan pertemuan awalnya dengan Anwar, Ezam yang kini berusia 58 tahun berkata beliau merupakan pemimpin pelajar dan penuntut tahun akhir dalam jurusan Ekonomi di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), ketika negara dikejutkan dengan peristiwa pemecatan ketua hakim negara ketika itu, Salleh Abas, yang mencetuskan krisis kehakiman.
Katanya, Salleh, walaupun berstatus sebagai hakim tertinggi Malaysia ketika itu, menyertai kelas bahasa Arab pada waktu malam yang ditawarkan di universiti itu, dan hadir sebagai penuntut bersama dengan orang awam lain.
Ezam berkata dirinya antara yang lantang menentang pemecatan itu, termasuk bersuara di hadapan Anwar, yang pada masa itu merupakan menteri pendidikan merangkap presiden UIA.
"Dia (Anwar) cuba beri penjelasan. Saya sebagai pemimpin pelajar masa itu, saya bangkit dan nyatakan bantahan. Selepas itu, dia hantar orang-orang dia jumpa saya. Dan sebelum saya habis belajar lagi, dia dah tawarkan saya kerja di think tank dia, Institut Kajian Dasar," katanya.
Ezam kemudiannya menjadi salah seorang yang paling dipercayai Anwar, sehinggalah peristiwa penuh drama pada 2 September 1998, apabila Mahathir memecat Anwar daripada semua jawatan Kabinet dan parti susulan tuduhan moral dan salah guna kuasa.
Kawan sementara
Ezam bersama beberapa individu lain, termasuk tokoh pemikir terkemuka Chandra Muzaffar dan bekas setiausaha sulit Anwar, Azmin Ali, kemudian mengasaskan Parti Keadilan Nasional, yang dijenamakan semula menjadi PKR.
Meskipun menjadi pelopor gerakan reformasi yang menaikkan Anwar, kini ketiga-tiga mereka dianggap musuh.
Menurut Ezam, Anwar sukar mengekalkan sokongan jangka panjang disebabkan politik berasaskan persepsi.
Ini terserlah apabila tiada pengikutnya yang benar-benar setia, kata Ezam, sambil menambah perjuangan Anwar bukan berasaskan prinsip yang konsisten tetapi semata-mata persepsi.
"Sebab itu, daripada mula Parti Keadilan lagi, orang yang dikeliling dia sentiasa berubah. Lima tahun lagi, siapa yang dikeliling dia hari ini, mungkin tiada lagi,” tambahnya.
Ezam berkata beliau tidak hairan sekiranya ramai yang dianggap rapat dengan Anwar hari ini, akan bertukar status menjadi musuh.
Memberikan contoh Farhash Wafa Salvador, individu yang baru-baru ini digelar Anwar sebagai "sahabat baik", Ezam berkata tidak mustahil suatu hari orang sama akan menjadi lawan.
'Penuhkan Dataran, tumbanglah orang tua tu'
Ezam berkata ketika memimpin gerakan reformasi, beliau diajar oleh Anwar tentang kepentingan perhimpunan besar-besaran sebagai senjata mencabar kerajaan.
Katanya, senjata itu kini memakan tuan, seperti yang dapat dilihat ketika perhimpunan "Turun Anwar" 26 Julai lalu, yang dihadiri puluhan ribu orang menjadikannya demonstrasi terbesar sejak Anwar menjadi perdana menteri.
"Itu formula dia pada saya. Saya ni kepala demonstrasi masa kes pertama beliau, kes liwat," kata Ezam, mengingat kembali ketika menjawat ketua pemuda Parti Keadilan Nasional.
"Dia kata, apa lagi? You mengamuk lah (di seluruh) KL. Ayat itu saya masih ingat: ‘You buat pemuda mengamuk di KL.’ Itu yang saya buat Black 14,” kata Ezam, merujuk demonstrasi yang dianjurkan pada 14 April 2001 bagi membantah keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 6 tahun atas empat pertuduhan rasuah terhadap Anwar.
Ezam berkata Anwar mahu Dataran Merdeka dipenuhi lautan manusia bagi menunjukkan rakyat menolak Mahathir.
"Itu yang disebut (kepada) saya. Kita nak jatuhkan Mahathir, kita kena penuhkan Dataran Merdeka. Penuh Dataran Merdeka, tumbanglah orang tua tu," kata Ezam.
"Itu formula dia. Itu benchmark dia. Jadi, saya boleh gambarkan sekarang, Anwar berada dalam keadaan yang ketakutan," katanya.
'Salah pilih bos pertama'
Sepanjang perjuangannya mempertahankan Anwar, Ezam pernah menghabiskan tiga tahun di penjara, dipenjarakan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri serta di bawah Akta Rahsia Rasmi.
Bagaimanapun, beliau berkata tidak timbul persoalan sama ada menyesal dengan perjuangan yang dipilihnya.
Ezam berkata antara kelemahan dirinya ialah silap memilih bos.
"Kepada anak muda, saya selalu cakap, 'your first boss is very important' (majikan pertama adalah penting). Dia yang akan membentuk kamu dan memberikan kesan besar kepada kamu. Silap pilih bos, maka kamu terpaksa mengambil jalan panjang untuk memperbetulkannya.
"Macam kes saya, saya pilih Anwar Ibrahim jadi ketua saya dari segi politik, dari segi perjuangan dan sebagainya. Ia berakhir menjadi bencana."
Ezam yang kini menyertai PAS, mengakui beliau seorang yang suka berpindah parti, termasuk menyertai beberapa parti kecil.
Menurutnya, tujuannya ialah menubuhkan parti yang fokus kepada melawan rasuah.
Beliau mengakui usaha itu gagal. Akhirnya, beliau menganggotai PAS, menyifatkan keputusan itu memberikan ketenangan.
"Saya masuk PAS dalam keadaan saya memang dah berserah, dah memang bersara, dan tidak mahu lagi berpolitik."
Ikuti kami di WhatsApp & Telegram
Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.
