- Iklan -
Rencana

Debat Najib-Anwar rintis jajaran baru politik Umno-PKR

Debat malam ini adalah satu babak penting dalam perancangan yang sudah lama digerakkan kluster mahkamah Umno dan kartel Anwar dalam PKR.

Saladin Hasan Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam sebuah pertemuan pada 2017 ketika Najib melawat presiden PKR itu di hospital. Mereka berdua sudah tidak lagi dipandang sebagai seteru utama politik selepas surat Najib diserahkan kepada Istana Negara pada 2020 menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai perdana menteri. Gambar: Twitter
Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam sebuah pertemuan pada 2017 ketika Najib melawat presiden PKR itu di hospital. Mereka berdua sudah tidak lagi dipandang sebagai seteru utama politik selepas surat Najib diserahkan kepada Istana Negara pada 2020 menyatakan sokongannya kepada Anwar sebagai perdana menteri. Gambar: Twitter

Malam ini, satu sejarah baru politik negara bakal tercipta.

Sejarahnya bukanlah berkisar soal kejantanan bekas perdana menteri, Najib Razak dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang berani, lagi lincah “berpencak lidah” di atas pentas debat.

Sebaliknya, ia berkaitan usaha terbuka pertama untuk menyukat tahap penerimaan rakyat terbanyak terhadap gabungan kepimpinan Najib-Anwar sebagai pengemudi negara.

Debat “test market” ini bukanlah gerakan baru, namun satu babak penting dalam perancangan yang telah lama digerakkan kluster mahkamah Umno dan kartel Anwar dalam PKR.

Gerakan itu juga bukanlah rahsia lagi kerana sebelum ini pun sudah terlondeh pelbagai plot “perselingkuhan” kedua belah pihak.

Pastinya ramai daripada kita pernah mendengar rakaman perbualan telefon antara Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Anwar yang dipanggilnya dengan penuh hormat sebagai guru.

Tentulah ramai juga pernah membaca salinan surat sokongan Umno untuk Anwar menjadi perdana menteri yang diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Walaupun dinafikan Umno, bekas setiausaha agungnya, Annuar Musa mengesahkan surat itu adalah tulen.

Plot semakin nyata apabila Saifuddin Nasution dalam debat calon timbalan presiden PKR bersama Rafizi Ramli, semalam, mengesahkan parti telah mengarahkannya memujuk Najib dan Zahid menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Saifuddin membuat pengesahan bagi mempertahankan diri selepas Rafizi mempertikaikan kenapa dia berunding dengan dua tokoh Umno yang terpalit kes rasuah dan salah guna kuasa.

Sudah tentu kerjasama Najib-Anwar bukanlah mudah untuk diterima akar umbi masing-masing yang hubungannya ibarat minyak dan air atau anjing dengan kucing.

Ada penyokong PKR menganggap Anwar telah memuliakan dan mengiktiraf Najib yang sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng wang rakyat apabila menerima cabaran debat Najib.

Begitulah juga di pihak Umno yang yang terikat dengan keputusan perhimpunan agungnya iaitu “No Anwar, No DAP’.

Tetapi bagi Najib, Zahid dan Anwar, move politik yang telah lama dirancang itu perlu terus diperhebatkan kerana masanya sudah sampai, bak kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan : “Strike while the iron is hot,”.

Kerana itu usaha kali ini dibuat secara lebih terbuka melalui “publicity stunt” yang melibatkan rakyat.

Sekiranya sentimen rakyat terhadap gabungan Najib-Anwar adalah positif, maka jalan baru kerjasama politik Umno-PKR akan diteroka.

Pembentukan jajaran baru politik ini juga membuka seluas-luasnya jalan untuk menyingkirkan Ismail Sabri Yaakob daripada kerusi perdana menteri.

Malangnya, ahli Umno masih terbuai “disihir” sandiwara Najib dan Zahid sehingga tidak menyedari bahawa debat itu ada udang di sebalik batu.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow