- Iklan -
Rencana

Bekas ketua hakim perjelas isu raja berpelembagaan

Penjelasan tentang tugas perdana menteri dalam sistem raja berperlembagaan di Malaysia.

Abdul Hamid Mohamad
2 minit bacaan
Kongsi
Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.
Bekas ketua hakim negara Abdul Hamid Mohamad.

Setelah membaca komen-komen pembaca, saya membaca semula rencana berkenaan dengan teliti. Perlu diingati bahawa ia adalah rencana ilmiah undang-undang.  Ujian terhadapnya ialah sama ada ia betul atau tidak di sisi undang-undang, bukan sama  ada ia disukai atau tidak.

Setakat ini belum ditunjukkan di mana pandangan dan hujah-hujah kami yang tidak betul. Pendirian saya adalah, jika ditunjukkan di mana pandangan kami yang tidak betul, disertai dengan hujah-hujah yang lebih baik, saya akan menerimanya dan membuat pembetulan. 

Setelah menelitinya semula, saya dapati satu klausa telah tertinggal di perenggan akhir,  walaupun ia diulang sebanyak dua kali sebelumnya. Klausa itu ialah melainkan  dalam perkara-perkara yang dikecualikan oleh Perlembagaanseperti yang terdapat  dalam halaman 1, perenggan 7 atau yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara  baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaanyang terdapat dalam halaman 2,  perenggan 2. 

Ketertinggalan klausa tersebut mungkin telah menyebabkan pembaca-pembaca yang hanya membaca perenggan terakhir (rencana sepatutnya dibaca keseluruhannya) menanggap bahawa mengikut rencana itu Yang di-Pertuan Agong mesti menurut nasihat perdana menteri dalam semua perkara. 

Maka, untuk mengelak anggapan sedemikian, dengan ini dimasukkan klausa dalam  perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaanke dalam ayat yang bermula dengan kata-kata Dalam kata  lain…..” menjadikan ayat itu berbunyi begini: 

“Dalam kata lain, adalah lebih tepat untuk baginda menurut nasihat perdana menteri  dalam perkara yang tidak bersifat tindakan atas budi bicara baginda seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan dan nasihat peguam negara yang berkuasa pada masa  ini. Pada ketika-ketika tertentu baginda boleh menyampaikan pandangan baginda  kepada Kerajaan.” 

Diharapkan dengan memasukkan klausa itu akan dapat mengelakkan salah faham terhadap maksud sebenar rencana itu. 

Saya juga ingin menarik perhatian pembaca bahawa dalam rencana tersebut kami tidak  memberi pandangan sama ada, untuk memanggil persidangan Parlimen menurut  seksyen 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Yang di-Pertuan Agong  perlu melakukannya atas nasihat perdana menteri atau tidak.  

Abdul Hamid Mohamad adalah bekas ketua hakim negara.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.