- Iklan -
Luar Sana

Aktivis gesa reformasi monarki Thailand dipenjara 4 tahun kerana hina raja

Keputusan itu adalah yang pertama daripada 14 kes lese majeste terhadap Arnon, salah satu daripada ratusan yang telah didakwa di bawah undang-undang, antara yang paling tegas di dunia.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Arnon Nampa, seorang aktivis terkenal dan bekas peguam hak asasi manusia, memberi tabik hormat tiga jari ketika tiba menjelang keputusan mahkamah dalam kes menghina monarki, di mahkamah jenayah di Bangkok, Thailand, 26 September. Gambar: Reuters

Seorang aktivis dan peguam yang terkenal dengan gesaan terbukanya bagi reformasi monarki di Thailand dijatuhi hukuman penjara empat tahun atas kesalahan menghina institusi raja, kata seorang hakim dan peguamnya. 

Peguam hak asasi manusia Arnon Nampa terkenal dengan ucapannya yang melanggar undang-undang semasa protes prodemokrasi pada 2020.

Ketika itu, beliau menggesa perdebatan awam mengenai peranan raja yang sangat berkuasa di Thailand.

Arnon bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Undang-undang lese-majeste Thailand melindungi istana daripada kritikan dan sebarang kesalahan boleh membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun bagi setiap penghinaan terhadap monarki.

Hukuman tersebut bagaimanapun dikecam secara meluas oleh kumpulan hak asasi manusia antarabangsa. 

"Kami cuba mendapatkan dia diikat jamin," kata peguamnya Krisadang Nutcharus kepada Reuters.

Keputusan itu adalah yang pertama daripada 14 kes lese majeste terhadap Arnon, salah satu daripada ratusan yang telah didakwa di bawah undang-undang, antara yang paling tegas di dunia. 

Beliau adalah seorang pemimpin dalam gerakan prodemokrasi yang dipimpin belia dengan protes di Bangkok pada 2020, menarik ratusan ribu orang di jalanan.

Penunjuk perasaan menggesa bekas perdana menteri Prayuth Chan-ocha berundur selepas berkuasa dalam rampasan kuasa, selain mereformasi sistem beraja dan memansuhkan undang-undang penghinaan terhadap institusi itu, yang dikenali sebagai artikel 112 kanun jenayah. 

Sehingga bulan lalu, sekurang-kurangnya 257 orang telah didakwa dengan 112 kesalahan sejak 2020, menurut kumpulan undang-undang, Thai Lawyers for Human Rights. 

Pihak istana bagaimanapun tidak akan mengulas mengenai perkembangan itu.