- Iklan -
Berita

Polis rakam keterangan Mahathir berhubung kenyataan hina institusi raja

Turut diambil keterangan ialah bekas pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan dan bekas timbalan presiden Pejuang Marzuki Yahya.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad semalam dirakam keterangan bagi membantu siasatan berhubung kenyataan berunsur penghinaan terhadap institusi raja seperti yang disiarkan sebuah portal berita pada 6 Jun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata turut diambil keterangan bagi membantu siasatan adalah bekas Pengerusi Pejuang Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan dan bekas Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya.

Beliau berkata kes masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah hingga mengganggu proses siasatan. 

“Kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Shuhaily dalam kenyataan berasingan juga mengesahkan menjalankan siasatan terhadap pemilik atau pengendali akaun Facebook Iman Mustaqim yang memuat naik hantaran berbaur penghinaan terhadap Sultan Selangor semalam. 

Menurutnya hantaran di Facebook tersebut berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan penghinaan atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Beliau berkata kes turut disiasat oleh unit yang sama di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Kes berkenaan juga masih di peringkat siasatan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau berkongsi maklumat yang salah sehingga mengganggu proses siasatan,” katanya.