- Iklan -
Rencana

Bekalan vaksin mencukupi sekiranya negara kaya mahu berkongsi

Sasaran imuniti kelompok seluruh dunia amat sukar untuk dicapai kerana negara kaya menyimpan stok vaksin melebihi keperluan rakyat mereka.

Aina Hayati Sharir
3 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur panjang untuk mendapatan vaksin Covid-19 di Mumbai, India. Gambar: AP
Orang ramai beratur panjang untuk mendapatan vaksin Covid-19 di Mumbai, India. Gambar: AP

Ketika vaksin Pfizer yang berjumlah sebanyak 148 juta dos mula diluluskan pada bulan Februari 2021, sebenarnya jumlah dos sebanyak ini sudah melebihi jumlah keseluruhan kes Covid-19 yang direkodkan sejak pandemik bermula.

Pada 24 Mei 2021, lebih daripada 1.7 bilion dos vaksin Covid-19 diluluskan di serata dunia, bersamaan dengan 22 dos untuk setiap 100 orang.

Secara teorinya, hal ini bermakna sasaran imuniti kelompok akan dapat dicapai dalam masa yang terdekat.

Namun begitu, melihat kepada keadaan semasa sekarang ini, sasaran ini amat sukar untuk dicapai kerana negara kaya menyimpan stok vaksin melebihi keperluan rakyat mereka.

Fenomena ini dinamakan sebagai nasionalisme vaksin, seperti yang digelar oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

Situasi ini sudah dijangka akan berlaku.

Pada bulan Ogos tahun lepas, WHO memberi amaran agar kita mestilah sedaya-upaya mengelakkan daripada berlakunya nasionalisme vaksin, di mana kerajaan diberi pelepasan untuk membeli bekalan vaksin daripada syarikat farmasi secara terus demi rakyat mereka sebelum vaksin tersebut diluluskan di pasaran.

Maka, terdapat segelintir negara yang menggunakan kuasa ekonomi besar mereka untuk mendahului bekalan vaksin – dan rata-ratanya melebihi keperluan populasi negara mereka.

Sebagai contoh, 27 buah negara terkaya di dunia kini mempunyai 35.5% daripada bekalan vaksin global, meskipun populasi mereka hanyalah 10.5% berbanding populasi dunia.

Amerika Syarikat sahaja, mempunyai 20% dari bekalan vaksin global ini, yang berupaya untuk memastikan rakyatnya mendapat suntikan vaksin melebihi tiga kali pusingan.

Pada masa sama, WHO juga berhadapan dengan masalah untuk memastikan agihan bekalan vaksin secara saksama melalui inisiatif Covax global yang dikendalikan oleh pertubuhan tersebut.

Ketika artikel ini ditulis, Institut Serum India (Serum Institute of India, SII) atau lebih dikenali sebagai pengeluar vaksin AstraZeneca, iaitu pembekal terbesar vaksin bagi inisiatif tersebut, melaporkan syarikat itu tidak lagi berupaya untuk mengeksport bekalan vaksin yang dihasilkannya.

Hal ini akan memberi kesan yang cukup besar kepada inisiatif Covax ini, kerana SII sudah berjanji untuk membekalkan sebanyak 200 juta dos, meskipun hanya 30 juta dos sahaja yang sudah diagihkan sehingga lewat Mei.

Menurut Unicef, kelewatan dos yang seharusnya dibekalkan oleh SII berlaku kerana beberapa faktor, dan hal ini termasuklah disebabkan kapasiti pengeluaran yang terhad, kekurangan dana, dan nasionalisme vaksin.

Situasi ini amat membimbangkan.

Pada 5 Mei yang lalu, Presiden Joe Biden mengumumkan Amerika Syarikat menyokong pelepasan sementara hak yang melindungi hak harta intelek (IP) bagi vaksin Covid-19.

Pengumuman ini hanyalah sebuah respons yang reaktif daripada negara tersebut, berikutan peningkatan kes yang mendadak di India.

Sokongan ini seharusnya diumumkan lebih awal lagi, terutamanya apabila wujudnya varian Covid-19 baru lebih berbahaya yang dikenal pasti di Afrika Selatan dan India.

Situasi kompleks ini yang melibatkan vaksin dan kewujudan varian baru amat membimbangkan, dan memberi sebab yang lebih kukuh mengapa nasionalisme vaksin bukanlah jalan yang menguntungkan sesiapapun.

Meskipun rakyat di negara kaya masih boleh memilih untuk tidak menerima suntikan vaksin, rakyat di negara miskin sebaliknya tidak mempunyai pilihan tersebut kerana mereka langsung tidak mendapat bekalan vaksin.

Negara membangun seperti Malaysia akan terus menghadapi kekurangan atau kelewatan bekalan vaksin sehinggalah negara maju memutuskan untuk berkongsi vaksin mereka yang melebihi keperluan itu.

WHO menjangkakan 80% daripada keseluruhan populasi sesebuah negara, ataupun empat daripada lima orang dewasa, mestilah diberi suntikan vaksin supaya imuniti kelompok dicapai.

Kini, masih belum ada kepastian sekiranya satu daripada 10 rakyat di negara miskin akan mendapat suntikan vaksin mereka.

Nasionalisme vaksin ini akan merugikan semua pihak, di mana cara fikir yang monopolistik sebegini hanya akan memberi kesan yang sebaliknya.

Tiada sesiapa yang akan terselamat sehinggalah semua orang termasuklah mereka yang berada di wilayah-wilayah rentas sempadan selamat.

Adakah kita belum mengambil pelajaran bahawa pandemik ini tidak mengenal batasan negara?

Vaksinasi mestilah dijalankan secara bersama-sama oleh semua negara kerana kita semua tidak akan dilindungi sehinggalah semua orang divaksinasi.

Situasi ini bukanlah sekadar melibatkan rantaian bekalan vaksin global yang gagal memenuhi keperluan.

Situasi ini secara keseluruhannya membuktikan tentang kegagalan moral negara kaya untuk melakukan hal yang benar dan tepat, dan kegagalan mereka ini bukanlah sesuatu yang baru.

Aina Hayati Shahir merupakan felo Perdana di Pejabat Perdana Menteri.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestnya mencerminkan pandangan MalaysiaNow