- Iklan -
Rencana

Berhenti tuding jari warga asing kerana peningkatan kes Covid-19

Pekerja asing tidak seharusnya dijadikan kambing hitam bagi situasi Covid-19 yang semakin buruk.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar yang dirakam pada 8 Mei lalu, menunjukkan pekerja warga asing berbaris bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.
Gambar yang dirakam pada 8 Mei lalu, menunjukkan pekerja warga asing berbaris bagi melakukan ujian saringan Covid-19 di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) amat terkejut dengan kenyataan yang diberikan oleh Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob yang mengatakan bahawa pihak pengurusan kawasan kediaman dan kondominium dibenarkan untuk membuat ujian swab Covid-19 satu keperluan yang diwajibkan untuk penyewa, terutama sekali warga asing sebelum mereka dibenarkan untuk memasuki premis.

Akta Pengurusan Strata (SMA) 2013 tiada peruntukan membenarkan badan pengurusan bersama atau perbadanan pengurusan untuk memaksa penghuni untuk menyerahkan hasil ujian swab mereka atau menghalang mereka jika gagal untuk mematuhinya.

Kenyataan yang menyasarkan warga asing itu adalah tidak bijak terutamanya apabila ia datang daripada seorang menteri, kerana ia boleh mencetuskan serangan xenofobia terhadap pekerja asing yang telah membuat sumbangan besar kepada pertumbuhan ekonomi kita.

Lebih-lebih lagi, apabila beliau menyatakan “kondominium”, adakah ia termasuk kakitangan pengurusan asing, pakar dan penyelidik.

Jika beliau merujuk kepada pekerja asing kilang yang ditempatkan di flat kos rendah maka kerajaan perlu dipersalahkan kerana ketika keadaan yang lebih baik kerajaan tidak memastikan penginapan yang sempurna untuk pekerja asing ini.

Ia dibiarkan kepada majikan untuk mengisi pekerja ini di unit flat dengan penuh sesak serta keadaan yang tidak bersih.

Memaksimumkan keuntungan merupakan objektif utama majikan ini dan kerajaan tidak boleh mengabaikannya.

Walaupun situasi buruk itu telah dilaporkan kepada pihak berkuasa sejak bertahun-tahun, antara yang terbaharu ialah oleh “Ethical Trading Initiative” pada 2019, masalahnya masih kekal.

Kerajaan telah mengarahkan majikan supaya memastikan bahawa semua pekerja asing mereka menjalani pemeriksaan Covid-19 mandatori bermula 2021.

Kami ingin bertanya jika hasil ujian swab yang dilakukan sebulan itu masih sah atau jika mereka perlu mengambil ujian swab setiap dua minggu?

Andaikan bahawa pihak pengurusan hartanah memaksa pekerja asing menunjukkan hasil ujian swab Covid-19, hampir tiada seorang pun daripada pekerja ini mampu menjalani ujian jika majikan tidak mahu membayar untuk mereka.

Pekerja asing tidak seharusnya dijadikan kambing hitam bagi situasi Covid-19 yang semakin buruk.

Jelas bahawa situasi pandemik semasa yang sangat buruk ini berlaku selepas pilihan raya Sabah pada 26 September tahun lepas, dan apabila perjalanan rentas daerah dan negeri dibenarkan pada 7 Disember 2020.

Bahkan, adakah itu bermakna bahawa jika seseorang itu tidak mampu untuk menunjukkan hasil ujian swab terpaksa tidur di jalanan tidak kira sama ada mereka dijangkiti atau tidak?

Kami menggesa pihak berkuasa supaya mencari penyelesaian yang rasional untuk mengekang penularan pandemik dan pada masa yang sama memastikan orang asing tidak menjadi mangsa.

Mohideen Abdul Kader merupakan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi