- Iklan -
Rencana

Kebuntuan politik salah rakyat atau ahli politik?

Jangan sesekali menggunakan rakyat dalam segala isu, walhal bukan semuanya adalah salah rakyat.

Ismail Hashim Yahaya
2 minit bacaan
Kongsi
Rakyat tetap mematuhi SOP sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Rakyat tetap mematuhi SOP sepanjang tempoh pandemik Covid-19.

Tindakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin membuat kesimpulan mudah berhubung kebuntuan politik yang dialami negara sekarang disebabkan pilihan rakyat adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

Dakwaannya keputusan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) punca kerajaan tidak memiliki jumlah majoriti di Parlimen.

Jika rakyat dipersalahkan, mengapa perkataan “rakyat” itu masih digunakan dalam wacana politik, seperti “suara rakyat”, “demi rakyat”, “atas nama rakyat”, “kuasa di tangan rakyat” dan yang popular ketika ini “mandat rakyat”.

Ia langsung tidak lekang di bibir-bibir ahli politik ketika berceramah atau berucap di tempat-tempat awam.

Dalam cadangan darurat oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN), rata-rata tinjauan pendapat dalam media sosial rakyat dilihat membantah.

Adakah keputusan Yang di Pertuan Agong pada Ahad lalu menolak cadangan tersebut mengambil kira bantahan rakyat juga?

Rakyat juga sering disebut setiap kali diadakan pilihan raya atau timbul sebarang isu penting, ia tidak bermakna rakyat memainkan peranan utama dalam pertimbangan keputusan parti-parti politik.

Ia langsung tidak lekang di bibir-bibir ahli politik ketika berceramah atau berucap di tempat-tempat awam.

Dalam Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru kuasa dan kemenangan didahulukan, rakyat  telah dipinggirkan kerana para pemimpin politik gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Jari terus menuding ke arah rakyat menjadi punca penularan pandemik ke seluruh negara.

Demokrasi negara sering juga dikaitkan dengan “kekuasaan rakyat”, realitinya ia tidak direalisasikan dalam kalangan ahli Parlimen bertindak mengkhianati kepercayaan rakyat yang mengundi mereka.

Adakah rakyat telah ditipu dan dikhianati? Bagaimana rakyat sering disalahkan dalam hal ini?

Percaturan di sebalik tabir yang membawa kemunculan Kerajaan PN yang tidak mendapat mandat rakyat itu, adakah rakyat dipersalahkan juga?

* Penulis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Komputeran, Universiti Selangor (Unisel)

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pendirian MalaysiaNow.

 

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi